TIDUR ORANG YANG BERPUASA ITU IBADAH? BETUL KE?

TIDUR ORANG PUASA ADALAH IBADAH BETUL KE

TIDUR ORANG YANG BERPUASA ITU IBADAH, BETUL KE?

Tidur bagi seseorang yang berpuasa itu sebuah ibadah. Betul ke? Hal ini berdasarkan sebuah hadith yang masyhur dan ia sering ditimbul apabila tibanya bulan Ramadhan.

Daripada Abdullah bin Awfa RA, dikatakan bahawa Nabi SAW bersabda:

نَوْمُ الصَّائِمِ عِبَادَةٌ، وَصَمْتُهُ تَسْبِيحٌ، وَدُعَاؤُهُ مُسْتَجَابٌ، وَعَمَلُهُ مُضَاعَفٌ

Maksudnya: “Tidur seorang yang berpuasa adalah ibadah, diamnya adalah tasbih, doanya mustajab dan amalannya berganda.” (HR al-Baihaqi)

Hukum Hadith

Imam al-Baihaqi menyatakan di dalam sanad hadith ini terdapat dua orang perawi yang dhaif iaitu Ma’ruf bin Hassan dan juga Sulaiman bin ‘Amr al-Nakha’ie tetapi Sulaiman lebih dhaif berbanding Ma’ruf. Selain itu, Imam al-‘Iraqi menyatakan Sulaiman al-Nakha’ie merupakan salah seorang pendusta.  Tambahan pula, Imam al-Suyuthi juga menilai hadith ini sebagai dhaif.

Melihat kepada beberapa pandangan ulama di atas dalam menilai hadith di atas, kami cenderung kepada kedhaifan hadith ini kerana di dalam sanadnya terdapat lebih daripada seorang perawi yang dinilai dhaif oleh para ulama.

Walaupun begitu, tidur boleh menjadi ibadah apabila seseorang itu menetapkan di dalam hatinya bahawa dengan tidur tersebut untuk menjadikan dia kuat dalam beribadah kepada Allah SWT seperti membaca al-Qur’an, berzikir, menuntut ilmu dan lain-lain lagi. Justeru itu, tidur seseorang itu boleh menjadi ibadah bergantung kepada niatnya. Secara umumnya, tidur orang yang berpuasa adalah ibadah kerana dia tidur dalam keadaan dia sedang berpuasa.

Adapun berkaitan, doa orang yang berpuasa adalah mustajab ada dinyatakan di dalam hadith yang lain iaitu:

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

ثَلَاثُ دَعَوَاتٍ مُسْتَجَابَاتٌ: دَعْوَةُ الصَّائِمِ، وَدَعْوَةُ الْمُسَافِرِ، وَدَعْوَةُ الْمَظْلُومِ

Maksudnya: “Tiga doa yang mustajab: Doa orang yang berpuasa, doa orang yang bermusafir dan doa orang yang dizalimi.” (HR al-Baihaqi)

Di dalam riwayat yang lain pula, daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

ثَلَاثَةٌ لَا تُرَدُّ دَعْوَتُهُمْ: الصَّائِمُ حَتَّى يُفْطِرَ، وَالإِمَامُ العَادِلُ، وَدَعْوَةُ المَظْلُومِ

Maksudnya: “Tiga doa yang tidak akan ditolak: Doa orang yang berpuasa sehingga dia berbuka, doa pemimpin yang adil dan juga doa orang yang dizalimi.” (HR al-Tirmizi)

Berdasarkan kepada dua hadith ini, para ulama melihat sunat bagi orang yang berpuasa untuk memperbanyakkan berdoa bermula daripada awal hari (bermula puasa) sehingga ke akhirnya.

Selain itu juga, sememangnya Allah SWT menggandakan pahala amalan bagi orang yang berpuasa. Ini berdasarkan kepada sebuah hadith yang sahih

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ يُضَاعَفُ، الْحَسَنَةُ عَشْرُ أَمْثَالِهَا إِلَى سَبْعمِائَة ضِعْفٍ

Maksudnya: “Setiap amalan anak Adam akan digandakan, satu kebaikan digandakan dengan sepuluh kali sehingga tujuh ratus kali ganda.” (HR Muslim)

Oleh itu, walaupun hadith tersebut dhaif tetapi terdapat hadith-hadith lain yang menyokong makna hadith tersebut. Ini menunjukkan orang yang berpuasa mempunyai banyak kelebihan yang diberikan oleh Allah SWT.

Jom edekah

TIDUR SEPANJANG HARI, BATAL ATAU TIDAK?

Telah disebutkan diatas bahawa hadith menyatakan tidur orang yang berpuasa itu adalah ibadah bersifat dhaif kerana sanadnya. Namun, tidur itu sememangnya boleh menjadi sebuah ibadah kerana disebutkan begitu banyak fadhilat bagi orang yang berpuasa dan jika tidurnya itu membuatkjan seseorang itu kuat dan bertenaga untuk beribadah.

Oleh itu, bagaimana pula dengan golongan yang hanya tidur sepanjang siang dengan alasan letih atau ingin memburu ibadah pada malam harinya sahaja. Apakah hukmnya? Sah atau tidak puasanya?

Suka untuk diingatkan semula bahawa bulan Ramadhan adalah bulan yang digalakkan untuk memperbanyakan beribadah seperti membaca al-Quran dan lain-lain lagi. Begitu juga, bulan Ramadhan adalah bulan yang diberi ganjaran pahala yang besar serta berlipat kali ganda. Ini sepertimana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, sabda Nabi SAW:

كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ يُضَاعَفُ الْحَسَنَةُ عَشْرُ أَمْثَالِهَا إِلَى سَبْعِمِائَةِ ضِعْفٍ

Maksudnya: Setiap amalan anak Adam akan digandakan, satu kebaikan digandakan dengan sepuluh kali sehingga tujuh ratus kali ganda (HR Muslim)

Berbalik kepada persoalan berkenaan dengan tidur sepanjang hari, hal ini tidak membatalkan puasa oleh kerana tidur sepanjang hari bukanlah termasuk dalam perkara yang membatalkan puasa. Imam al-Nawawi menyebut:

وَلَوْ نَامَ جَمِيعَ النَّهَارِ، صَحَّ صَوْمُهُ عَلَى الصَّحِيحِ الْمَعْرُوفِ

Maksudnya: Dan jika tidur seseorang itu sepanjang siang hari, maka sah puasanya menurut pendapat yang sahih lagi diketahui

Begitu juga yang disebut oleh Imam Syihab al-Din al-Ramli bahawa, tidak menjadi kemudharatan (kepada puasanya) sekiranya ia tidur yang nyenyak sehingga habisnya waktu siang mengikut pandangan yang sahih. Ini kerana ia tetap sebagai golongan yang diperintahkan oleh syara’ (untuk berpuasa). Lalu apabila dikejutkannya dan ia terjaga dari tidurnya maka ia diwajibkan untuk mengqada’ sembahyang yang tertinggal ketika tidur, bukan tertinggal disebabkan ia pengsan.

Namun perbuatan tidur sepanjang hari pada bulan Ramadhan adalah perbuatan yang boleh mengurangkan fadhilatnya serta berlawanan dengan adab dan hilangnya nikmat merasa kepayahan serta kesusahan berpuasa. Ini jelas bahawa kesusahan dalam menghadapi bulan ramadhan merupakan salah satu hikmah berpuasa bahawa Allah SWT ingin mentarbiah hambanya supaya sentiasa mengawal diri dan nafsu daripada memenuhi keinginannya serta sentiasa mengingati Allah SWT.

Hal ini seperti yang disebut oleh Imam al-Ghazali:

بل من الآداب أن لا يكثر النوم بالنهار حتى يحس بالجوع والعطش ويستشعر ضعف القوي فيصفو عند ذلك قلبه

Maksudnya: Bahkan daripada adab (berpuasa) adalah tidak memperbanyakkann tidur pada siang hari, sehingga seseorang itu merasakan kelaparan, haus dan merasakan lemah keupayaannya. Maka dengan itu akan dibersihkan hatinya

Oleh itu, para ulama menyebut bahawa tidur sepanjang siang hari pada bulan Ramadhan adalah termasuk daripada perkara yang dimakruhkan. Imam al-Hattab al-Maliki menyebut di dalam kitabnya, di antara perkara makruh ketika berpuasa adalah banyak tidur pada siang hari di bulan ramdhan

Begitu juga, Dr Muhammad Zuhaili menyebut, di antara perkara makruh yang dilakukan ketika berpuasa adalah banyak tidur dan bercakap perkara yang tidak berfaedah. Ini kerana boleh menghilangkan faedah berpuasa.

Kesimpulan

Berbalik kepada penjelasan dan nas ulama yang diberikan dapat Mufti Wilayah Persekutuan simpulkan bahawa perbuatan tidur sepanjang hari di siang Ramadhan adalah perkara yang dimakruhkan serta sah puasanya pada hari tersebut. Namun sebaiknya pada bulan Ramadhan adalah bulan untuk melipat gandakan amalan dan beribadah kepada Allah SWT.

Dan sekiranya seseorang itu tidur dan berniat di dalam hatinya bahawa dengan tidurnya itu dapat merehatkan tubuh badannya supaya ia dapat melakukan ibadah dengan lebih kuat, maka tidurnya itu boleh menjadi ibadah bergantung dengan niatnya. Ini secara umumnya tidur orang yang berpuasa itu adalah ibadah kerana tidur dalam keadaan dia sedang berpuasa.

Justeru, di bulan yang penuh dengan keberkatan ini kami menyeru agar memperbanyakan amalan ibadah dan melakukan perbuatan yang bermanfaat agar amalan pada Ramadhan pada kali ini diterima oleh Allah SWT serta menjadikan Ramadhan yang terbaik daripada sebelumnya.

TIDAK CUKUP TIDUR MEMBURU LAILATUL QADR

Pada 10 malam terakhir Ramadan ini yang terkandung didalamnya lailatul qadr, amatlah rugi bagi seseorang yang memenuhkan siangnya hanya dengan tidur atau perkara yang sia-sia. Ibn rejab menukilkan, As-Sya’bi menyebutkan tentang lailatul qadr: “Kelebihan malamnya sama seperti siangnya”.

Imam as-Syafie pula berpesan pada pandangan qadimnya: “Aku sangat menggalakkan seseorang itu bersungguh-sungguh beramal pada waktu siangnya sebagaimana kesungguhannya pada waktu malamnya”. Ini menunjukkan pentingnya bersungguh-sungguh pada keseluruhan masa 10 hari akhir Ramadan pada waktu malam dan siang. Memburu lailatul qadr bukan hanya bersungguh-sungguh di malam hari sahaja, tetapi tidak mensia-siakan waktu siang kita dan memperbanyakkan amal juga adalah cara untuk menggapai anugerah lailatul qadr. Ini yang sepatutnya dilakukan sehingga menyebabkan seseorang itu tidak cukup tidur kerana membanyakkan amalan. Bukannya membanyakkan tidur dengan alasan berlapar dan dahaga.

Selamat meneruskan amalan. Wallahua’lam.

Jika anda ingin lakukan amal sedekah kepada golongan yang memerlukan, boleh klik pada butang “Bantu Mereka” dibawah dan salurkan sumbangan. Terima kasih.

Sudahkah Anda Menjadi Tangan Yang Memberi?

Jika belum jom sama-sama dengan Perkim Datuk Keramat membantu mereka yang dalam kesusahan seperti ibu tunggal, mereka yang menghidap penyakit kronik dan pelbagai lagi. Sesungguhnya sedikit sumbangan anda, memberi 1000 kemanisan untuk mereka

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top