TIPS KHATAM AL-QURAN DALAM BULAN RAMADHAN

TIPS KHATAM AL-QURAN DALAM BULAN RAMADHAN

TADARUS AL-QURAN

Bulan Ramadhan adalah bulan yang dimuliakan kerana banyak perkara dan salah satunya ialah kerana turunnya al-Quran pada bulan ini. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat ke-185:

شَهْرُ رَمَضَانَ ٱلَّذِىٓ أُنزِلَ فِيهِ ٱلْقُرْءَانُ هُدًۭى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَـٰتٍۢ مِّنَ ٱلْهُدَىٰ وَٱلْفُرْقَانِ ۚ

Maksudnya: “Bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk itu dan membezakan antara yang benar dengan yang salah.”

Justeru, kita digalakkan untuk memperbanyak membaca al-Quran di bulan Ramadhan. Membaca al-Quran pada bulan Ramadan tidak sama dengan membacanya pada bulan lain kerana hukum membaca al-Quran bukan wajib, tetapi sunat. Namun, apabila dibaca pada bukan Ramadan, ganjarannya ibarat melakukan amalan wajib pada bulan lain.

Oleh itu, sesiapa yang melakukan biarpun sekecil kebajikan dengan tujuan mendekatkan diri kepada Allah SWT pada bulan mulia ini, termasuk membaca al-Quran, dia seakan sudah melaksanakan amalan fardhu. Jika kita boleh adakan masa untuk membeli juadah berbuka puasa dan baju raya, kenapa kita tidak boleh adakan masa untuk membaca al-Quran.

Satu amalan fardhu yang dilakukan pada bulan Ramadan mendapat 70 pahala amalan fardhu pada bulan lain dan satu amalan sunat mendapat pahala satu amalan fardhu. Justeru, tawaran keemasan sebegini tidak wajar dilepaskan.

Lebih-lebih lagi ketika mengakhiri bulan Ramadhan iaitu penantian lailatulqadar. Jangan sampai tidak baca al-Quran di malam itu kerana Allah SWT menyatakan lailatulqadar lebih baik daripada seribu bulan atau sama dengan 354,000 kali malam biasa.

Allah SWT berfirman dalam surah al-Qadr ayat 1-3:

Maksudnya: “Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) ini pada malam lailatulqadar. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam lailatulqadar itu? Malam lailatulqadar lebih baik daripada seribu bulan.”

Justeru, ada yang meletakkan matlamat untuk khatam sekali, dua kali bahkan tiga kali. Namun, ada juga di antara kita yang tidak pernah buat langsung. Ada juga yang mahu buat tapi tidak buat-buat. Salah satu cara untuk memastikan diri kita dapat merasakan kenikmatan khatam al-Quran adalah dengan menyertai mana-mana kumpulan tadarus. Kebiasaannya, akan ada bacaan tadarus di masjid atau surau. Dengan menyertai kumpulan ini sedikit sebanyak akan memberikan suatu punca untuk memaksa/menolak diri agar memperbanyak bacaan al-Quran

Jom edekah

KEPENTINGAN TADARUS AL-QURAN PADA BULAN RAMADHAN

Amalan tadarus Al-Quran telah menjadi ikutan dan dihayati oleh para sahabat dan orang-orang soleh dari dahulu hingga kini. Mereka bertadarus Al-Quran sehingga tamat beberapa kali sepanjang bulan Ramadhan. Ada yang mengkhatamkannya seminggu sekali, tiga hari sekali, sekali setiap malam atau lain lain tempoh mengikut kesungguhan serta keupayaan masing-masing. Imam Asy-Syaaf’i juga dilaporkan dua kali khatam Al-Quran dalam sehari di bulan Ramadhan. Mari kita hayati kelebihan membaca al-Quran.

  • Ditinggikan Darjat Di Sisi Allah SWT

Orang yang membaca Al-Quran di bulan Ramadhan akan ditinggikan darjatnya oleh Allah SWT, sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: “Allah mengangkat derajat sebagian kaum melalui kitab ini (Al-Quran) dan Dia merendahkan sebagian kaum yang lain melalui kitab ini juga” (HR Muslim)

  • Memberi Syafaat Pada Hari Kiamat

Membaca Al-Quran dapat membawa kebaikan dan kemuliaan pada hari kiamat. Sebagaimana hadis ini menyatakan yang bermaksud: “Bacalah ayat-ayat Al-Quran kerana sesungguhnya pada hari kiamat akan datang memberi syafaat yang baik kepada pembacanya” (HR Muslim)

  • Mendapat Pahala Yang Berlipat Ganda

Satu lagi fadhilat yang akan anda perolehi dari tadarus Al-Quran di bulan Ramadhan ialah mendapat pahala yang berlipat ganda. Segala ibadah yang dilakukan di bulan Ramadhan ini akan diberikan pahala yang berlipat ganda oleh Allah SWT termasuk tadarus Al-Quran yang merupakan ibadah yang paling dianjurkan untuk diamalkan di bulan yang penuh keampunan ini.

  • Dilindungi Malaikat

Apabila melakukan tadarus Al-Quran, orang yang membacanya akan mendapat perlindungan malaikat, sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: “Orang yang mahir membaca Al-Quran akan bersama para malaikat yang mulia dan selalu berbuat kebaikan, sedangkan orang yang membaca Al-Quran dalam keadaan tergagap-gagap dan dia kesulitan (membacanya), maka baginya dua pahala.” (HR Bukhari & Muslim)

  •   Tadarus Memberikan Ketenangan Hati

Umat ​​Islam yang mengamalkan zikir pada malam Ramadhan akan diberikan ketenangan oleh Allah SWT, sebagaimana hadis riwayat Abu Hurairah, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidaklah berkumpul suatu kaum di Baitullah (masjid) untuk membaca kitab Allah dan mempelajarinya, melainkan sesungguhnya akan turun kepada mereka ketenangan, dilimpahi rahmat kepada mereka, para malaikat berduyun-duyun kepada mereka dan Allah mengingat mereka di hadapan makhluk yang bersama-Nya” (HR Muslim)

Sungguhpun begitu, wujud juga dalam kalangan kita yang segan atau malu untuk mempersembahkan bacaannya di hadapan orang lain. Jangan risau, Allah SWT tidak pernah sekat untuk beribadah kepadaNya khusus untuk orang yang berjemaah sahaja. Secara sendiri sahaja pun boleh. Namun, apakah tips yang boleh kita ikuti agar dapat memastikan diri kita dapat khatam sebelum bulan Ramadhan berakhir.

TIPS KHATAM QURAN

Mari kita amati apakah yang boleh kita lakukan dan kita sediakan untuk khatam al-Quran dalam bulan Ramadhan

  • Niat Yang Ikhlas

عن أمِيْرِ المُؤْمِنِيْنَ أبِيْ حَفْصٍ عُمَرَ بْنِ الخَطَّاب رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: سَمِعْتُ رَسُولَ ا للهِ صلى الله عليه وسلم یَقُولُ: إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى فَمَنْ كانت هِجْرَتُهُ إِلىَ اللهِ وَرَسُولِهِ فَهِجْرَتُهُ إلى اللهِ ورَسُولِهِ وَمَنْ كانَتْ هِجْرَتُهُ لِدُنْيَا یُصِيْبُهَا أَوِ امْرَأَ ةٍ یَنْكِحُهَا فَهِجْرَتُهُ إِلَى مَا هَاجَرَ إِلَيْه

Maksudnya: Daripada Amirul Mukminin Abu Hafsin ‘Umar ibn al-Katthab r.a. beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Melalui hadith dapat difahami bahawa kita akan cenderung untuk melakukan sesuatu sesuai denga napa yang diniatkan. Jika niat itu kerana disuruh oleh ibu bapa maka akan dating suatu masa diuji dengan rasa malas, sibuk dengan kerja rumah, terpaksa, baca al-Quran tapi tidak tenang dan banyak lagi. Hal ini kerana, kita niatkan kerana sesuatu yang lain dan bukannya kerana Allah SWT. Walaupun terpaksa kerana memaksa diri, cubalah lakukan sesuatu kerana Allah SWT. Insyaallah, Allah akan hadirkan tenaga dan masa yang cukup untuk kita selesaikan bacaan al-Quran.

  • Mulakan Terus Pada Hari Pertama Ramadan!

Ini adalah suatu perkara yang ramai orang pandang rendah. Ada sesetengah orang menganggap juz yang awal-awal mudah dari segi bacaannya. Oleh itu, kita mula menangguhkan bacaan dengan menganggap bahawa bacaan awal boleh dipecut pada hari yang lain.

Mindset yang sepatutnya kita letakkan adalah lebihkan bacaan pada awal Ramadhan. Hal ini kerana, ayat-ayat pada juzu’ yang awal lebih mudah dibaca berbanding juzu’ yang belakang. Selain itu juga, kita akan diuji dengan ketidakcukupan masa pada hari yang lain. Dengan membuat bacaan yang lebih pada awal Ramadhan akan membantu untuk khatam sebelum Ramadhan berakhir.

  • Letakkan Sasaran Mengikut Kemampuan Diri

Jangan pernah meletakkan sasaran yang terlalu mudah atau terlalu susah yang tidak masuk akal. Apabila sasaran terlalu mudah, kita akan mula rasa selesa dan mula bertangguh bacaan. Namun, jika sasaran yang diletakkan terlalu susah, kita akan mula rasa berat dan tidak mampu untuk lakukan dan akhirnya kita meninggalkan amalan tersebut begitu sahaja.

  • Selalu Membawa Mushaf Al-Quran

Setiap kali menunaikan solat biasakanlah diri untuk membawa quran kecil supaya boleh dibaca sebelum dan selepas solat. Quran yang lebih kecil menjadi pilihan supaya mudah untuk dibawa kemana-mana. Sekarang zaman teknologi, kita juga boleh memuat turun aplikasi al-Quran untuk dibaca dimana-mana sahaja kita berada selagi mana ianya bukan tempat yang diharamkan untuk mengalunkan bacaan al-Quran.

  • Membaca Al-Quran Di Tempat Yang Tenang

Setiap orang mempunyai faktor suasana dan tempat yang berbeza. Ada orang yang kerja dikawasan yang lapang, ada yang bekerja di kilang yang agak bising. Justeru, pilihlah kawasan yang senyap dan curilah masa yang terluang sedikit untuk membaca al-Quran. Yang terbaik adalah ketika hendak menunaikan solat. Hal ini kerana, kita semestinya akan solat di tempat yang tenang dan sunyi, betul? Kita juga akan lebih mudah untuk membahagikan jadual bacaan al-Quran mengikut waktu solat. Cadangan mukasurat untuk dibaca pada setiap solat akan dibincangkan pada subtopik dibawah.

  • Lawan Rasa Malas Dan Cuba Istiqamah

Tidak dinafikan, rasa malas akan datang tanpa mengira waktu dan tempat. Kita boleh buat semua tips diatas, namun ianya sia-sia jika kita turutkan sahaja rasa malas dan berat untuk membaca al-Quran. Inilah yang dipanggil mujahadah didalam bulan Ramadhan. Ketahuilah begitu banyak ganjaran yang Allah ganjarkan bagi orang bermujahadah di jalan Allah SWT. Apabila kita sudah membiasakan diri untuk keluar dari zon selesa, kita akan berjaya melakukan sehingga ke penghujungnya.

TIPS KIRAAN MUKA SURAT YANG PERLU DIBACA

Berikut adalah contoh kiraan bilangan mukasurat untuk khatam sekali, dua kali, tiga kali dan empat kali.

1 kali khatam – baca 20 muka surat sehari- 4 muka surat setiap waktu solat

2 kali khatam – baca 45 muka surat sehari- 9 muka surat setiap waktu solat

3 kali khatam – baca 60 muka surat sehari- 12 muka surat setiap waktu solat

4 kali khatam – baca 90 muka surat sehari- 18 muka surat setiap waktu solat

Nampak banyak, betul?  Namun kalau kita aplikasikan tips yang telah disebutkan diatas, kita hanya perlu baca 2 mukasurat sahaja sebelum solat dan 2 mukasurat selepas solat untuk khatam sekali dalam bulan tersebut. Jika kita belum pernah lagi khatam dalam masa sebulan, eloklah meletakkan sasaran khatam sekali terlebih dahulu, jika bacaan kita telah mencapai tahap yang baik dan pernah khatam sekali dalam Ramadhan yang lepas, tingkatkanlah usaha dan tahap untuk khatam dua kali pula. Dan begitulah yang seterusnya. Lebih banyak lebih baik.

Walaupun begitu, perancangan manusia penuh dengan lubang dan cacat cela. Tiada upaya kita untuk melakukan suatu perkara melainkan dengan izin Allah SWT. Justeru, jagalah kesihatan sehabis baik dan sentiasalah berdoa agar dikurniakan kesihatan yang baik dan kekuatan untuk beribadah kepadaNya. Insyaallah akan dipermudahkan baginya untuk melakukan ibadah tersebut.

Wallahua’lam.

Andalah orang yang dipilih untuk menjadi tangan yang memberi kepada tangan yang memerlukan! Jika berminat boleh klik pada butan “Bantu Merekaa” dibawah  dan salurkan sumbangan. Semoga dipermudahkan urusan anda dan terima kasih.

Sudahkah Anda Menjadi Tangan Yang Memberi?

Jika belum jom sama-sama dengan Perkim Datuk Keramat membantu mereka yang dalam kesusahan seperti ibu tunggal, mereka yang menghidap penyakit kronik dan pelbagai lagi. Sesungguhnya sedikit sumbangan anda, memberi 1000 kemanisan untuk mereka

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top