Tips Persediaan Menyambut Ramadan

Tinggal beberapa hari lagi, kita akan menyambut kedatangan bulan Ramadan. Bulan yang ditunggu-tunggu oleh seluruh umat Islam. Bulan di mana setiap amal kebaikan akan digandakan, dosa akan diampunkan dan pintu syurga dibuka seluas luasnya. 

Persoalannya sekarang, adakah kita sudah bersedia untuk menyambut kedatangan bulan yang penuh dengan kemuliaan ini? Adakah kita sudah ada amalan-amalan yang kita akan lakukan pada bulan Ramadan nanti? Jika belum, mari kami kongsikan beberapa tips untuk membuat persediaan menyambut kedatangan bulan Ramadan. 

Tips Persediaan Menyambut Ramadan

1.LATIH DIRI BERPUASA SEBELUM RAMADAN

Latih diri untuk melakukan puasa sunat sebagai persediaan menjelang bulan Ramadan. Ia juga satu kelebihan pada diri sendiri, supaya kita lebih bersedia dan bersemangat untuk menunaikan ibadat puasa sebulan dengan sebaiknya pada bulan Ramadan nanti. 

Puasa sunat juga bukan sahaja menyediakan badan kita dari segi fizikal, malah ia juga membantu dari segi mental. Bayangkan selama 1 tahun, kita tak pernah berpuasa dan tiba-tiba kita terus masuk bulan ramadan, sudah tentu emosi kita akan terganggu. Kita akan mudah stress dengan perkara-perkara yang kecil. Sekurang-kurangnya, jika kita sudah ada persediaan tentang puasa, kita sudah boleh latih otak kita untuk mengawal emosi ketika berpuasa.

2. UBAH CORAK TIDUR

Corak tidur yang baik sangat penting bagi memastikan kita mendapat tidur yang cukup dan berkualiti. Seterusnya, ia akan membantu memudahkan rutin Ramadan kita, misalnya untuk bangun sahur ataupun untuk mengerjakan solat Tahajjud pada satu per tiga malam.

Antara yang boleh kita tambah dalam corak tidur adalah, mengamalkan khalilullah. Apa itu khalilullah? Ia adalah tidur sekejap sebelum zohor. Khalilullah dapat memberi kekuatan kepada seseorang untuk mendirikan solat malam. Jika sebelum ini kita tidak pernah mengamalkannya, kita sudah boleh berlatih untuk tidur sebentar sebelum waktu Zohor. Sudah tentu ramai yang ada kekangan dari segi masa kerana waktu itu kebiasaannya waktu bekerja. Jika tidak dapat amalkannya pada hari bekerja, kita boleh cuba lakukannya pada hujung minggu. 

3. RANCANG KEWANGAN

Rancang dari segi kewangan sebaiknya, supaya perbelanjaan harian kita tidak melebihi bajet yang ditetapkan yang mana boleh menjurus kepada berlakunya pembaziran. Pada masa yang sama, kita masih ada peruntukkan untuk berkongsi rezeki dan memberikan sesuatu kepada orang lain juga.

Apabila datangnya bulan puasa, sudah semestinya ramai yang akan membeli di bazar Ramadan. Sering kali kita mendengar berita tentang pembaziran yang dilakukan apabila membeli di bazar Ramadan. Jadi, untuk mengelakkan perkara tersebut berulang, kita perlu membuat perancangan yang teliti. Tambahan pula dengan keadaan harga barang yang semakin tinggi, sudah tentu kita membeli apa yang diperlukan sahaja, bukannya mengikut nafsu. 

4. RUTINKAN AMALAN SEDEKAH

Bulan Ramadan sangat sinonim dengan amal kebajikan. Semua berebut-rebut untuk melipatgandakan amal kebajikan sepanjang bulan ini. Antara amalan yang boleh kita lakukan adalah meruntinkan sedekah. Lebih mudah jika kita dapat menyediakan kotak sedekah, dan letakkannya di dapur supaya ahli keluarga yang lain juga boleh sama-sama mengisinya setiap hari. Biasakan amalan itu dari sekarang kerana ia akan menjadi lebih mudah apabila memasuki bulan Ramadan nanti.

Amalan sedekah ini sangat disukai oleh Nabi Muhammad S.A.W. Baginda sangat suka bersedekah lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan. Malah dikatakan sifat sedekah baginda pada bulan Ramadan melebihi  angin yang bertiup laju. Ia menggambarkan yang baginda nabi sememangnya memperbanyakkan sedekah pada bulan Ramadan.

5. RANCANG MENU HARIAN

Perancangan awal sebelum Ramadan adalah sangat penting. Khususnya dari segi perancangan menu berbuka dan bersahur. Dengan perancangan awal ini, kita akan dapat menjimatkan masa di dapur dan menggunakan masa selebihnya untuk beribadah sebaiknya.

Walaupun nampak remeh, tetapi persediaan awal tentang menu makanan ini akan memudahkan terutama para isteri dan juga ibu. Contohnya, kita boleh sediakan terlebih dahulu pes-pes masakan dalam kuantiti yang banyak. Apabila tiba menu yang nak dimasak, hanya keluarkan dan campur dengan bahan-bahan yang selebihnya.

Begitu juga dengan kuih muih. Ia boleh dibuat lebih awal dalam kuantiti banyak dan disejukbekukan. Apabila nak makan, hanya keluarkan dan panaskan semula. Ia sememangnya lebih menjimatkan masa dan teanaga terutama untuk mereka yang bekerjaya. 

6. SEDIAKAN SENARAI DOA

Senaraikan doa-doa yang baik untuk diucapkan pada bulan Ramadan, kerana pada bulan ini pahala akan dilipatgandakan berbanding bulan-bulan yang lain. Antara doa yang boleh diamalkan pada bulan Ramadan adalah : 

DOA PERTAMA

اَللَّهُمَّ اجْعَلْ صِيَامِيْ فِيْهِ صِيَامَ الصَّائِمِيْنَ وَ قِيَامِيْ فِيْهِ قِيَامَ الْقَائِمِيْنَ وَ نَبِّهْنِيْ فِيْهِ عَنْ نَوْمَةِ الْغَافِلِيْن

وَهَبْ لِيْ جُرْمِيْ فِيْهِ يَا إِلَهَ الْعَالَمِيْنَ وَ اعْفُ عَنِّيْ يَا عَافِيًا عَنِ الْمُجْرِمِيْن

Ya Allah, jadikanlah puasa dan ibadahku di bulan ini seperti puasa orang-orang sejati, bangunkanlah aku di bulan ini dari kelelapan tidur orang-orang yang lupa dan ampunilah segala kesalahanku, wahai Tuhan semesta alam, dan ampunilah aku, wahai pengampun orang-orang yang bersalah.

DOA KEDUA

اَللَّهُمَّ قَرِّبْنِيْ فِيْهِ إِلَى مَرْضَاتِكَ وَ جَنِّبْنِيْ فِيْهِ مِنْ سَخَطِكَ وَ نَقِمَاتِكَ وَ وَفِّقْنِيْ فِيْهِ لِقِرَاءَةِ آيَاتِكَ بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِيْنَ

Ya Allah, dekatkanlah aku di bulan ini dari ridha-Mu, hindarkanlah aku di bulan ini dari kemurkaan-Mu, dan anugerahkanlah taufik kepadaku di bulan ini untuk membaca ayat-ayat (kitab)-Mu dengan rahmat-Mu, wahai Dzat Yang Lebih Pengasih dari para pengasih.

DOA KETIGA

اَللَّهُمَّ ارْزُقْنِيْ فِيْهِ الذِّهْنَ وَ التَّنْبِيْهَ وَ بَاعِدْنِيْ فِيْهِ مِنَ السَّفَاهَةِ وَ التَّمْوِيْهِ وَ اجْعَلْ لِيْ نَصِيْبًا مِنْ كُلِّ خَيْرٍ تُنْزِلُ فِيْهِ، بِجُوْدِكَ يَا أَجْوَدَ الْأَجْوَدِيْنَ

Ya Allah, anugerahkanlah kepadaku di bulan ini kecerdasan dan kesedaran diri, jauhkanlah aku di bulan ini dari kebodohan dan kesesatan, dan limpahkanlah kepadaku sebagian dari setiap kebajikan yang Engkau turunkan di bulan ini. Dengan kedermawanan-Mu, wahai Dzat Yang Lebih Dermawan dari para dermawan.

7. PELAJARI HUKUM BERKENAAN PUASA

Setiap mukmin wajib beribadah dengan berlandaskan ilmu. Kita wajib mengetahui ilmu dan hukum berpuasa sebelum Ramadan datang agar puasa kita diterima oleh Allah SWT.

Sebagai orang biasa yang tidak mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi dalam bab agama jika hendak dibandingkan dengan para ustaz dan ilmuan diluar sana, kita seharusnya mengambil langkah proaktif untuk mempelajari hukum-hukum berkenaan puasa. Kita perlu jelas tentang perbuatan yang boleh menyebabkan puasa kita batal. Apakah pula perkara-perkara yang makhruh dilakukan ketika berpuasa. Semua itu perlu kita persiapkan terlebih dahulu sebelum masuk ke bulan Ramadan agar ibadah puasa kita akan lebih berkualiti dari tahun-tahun yang sebelumnya.

8. MEMBERSIHKAN KAWASAN RUMAH

Kenapa mesti bersihkan kawasan rumah? Apa kaitannya? Haa, menyambut Ramadan ni seakan-akan menjemput tetamu hadir ke rumah. Jadi dengan membersihkan rumah, ia dapat membuatkan kita lebih selesa dan seronok untuk mengajak sanak-saudara beribadah di rumah.

Malahan tetamu kali ini adalah tetamu yang sangat istimewa dan penting. Sudah tentu kita akan berasa lebih teruja dan seronok. Kita mesti inginkan tetamu itu berada dalam keadaan yang sangat selesa dan gembira. Begitulah juga perumpamaanya dengan tetamu Allah iaitu Ramadan. Kita inginkan setiap ibadah dan amalan yang akan dilakukan nanti, kita dapat lakukan dalam keadaan yang sangat seronok dan penuh bersemangat.

Bayangkan jika tidak mempersiapkan rumah, sudah tentu momentum dan perasaan untuk beribadah itu akan sama sahaja seperti bulan-bulan yang lain. Sedangkan pada bulan inilah kita hendak buat sehabis baik kerana setiap amalan di bulan Ramadan ini akan dilipat gandakan.

Jadi, bersediakah kita untuk meyambut Ramadan yang akan datang tidak lama lagi? Jika belum, kita boleh jadikan tips yang dikongsikan dalam artikel ini sebagai panduan. Semoga kita boleh menjalani ibadah puasa pada Ramadan kali ini dengan lebih baik.

 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top