Tips untuk pastikan azam 2022 tercapai

Setiap tahun semestinya setiap daripada kita akan ada azam. Tidak kisah jika azam itu adalah rentetan dari azam tahun lepas atau sesuatu yang baru. Yang pastinya, setiap tahun, kita semestinya akan bercerita berkenaan azam. Tapi tidakkah kita tertanya-tanya kenapa susah sangat untuk kita mencapai azam yang kita telah tetapkan itu? Adakah azam itu memang sesuatu yang mustahil untuk kita lakukan? atau sebenarnya, itu semua adalah alasan semata mata. Jom kita kupas antara sebab azam kita gagal dan tips untuk pastikan azam 2022 tercapai.

Kenapa azam tak tercapai?

Azam terlalu banyak

Azam yang terlalu banyak membuatkan kita tidak fokus. Senarai yang kita buat boleh mencecah 20 perkara dan kadang-kadang azam tu terlalu umum dan tidak khusus. Contohnya, kita berazam nak kurus tahun ini. Tetapi kita tidak tetapkan berapa kilogram yang kita nak turunkan.

Hanya sekadar menulis

Azam semestinya perlu ditulis agar kita sentiasa ingat dan sedar apa yang kita nak capai untuk tahun tersebut. Tapi kebanyakan daripada kita hanya sekadar menulis sahaja tetapi tidak ada usaha yang khusus untuk memastikan azam itu tercapai.

Bertangguh

Sifat suka bertangguh adalah antara punca utama azam tidak tercapai. Selalunya, semangat akan berkobar-kobar setelah mendengar motivasi dari penceramah tentang azam tahun baru. Namun setelah selesai, kita bertangguh untuk bermula. Dari sehari kepada seminggu, dari seminggu hingga sebulan, dan dari sebulan hingga ke hujung tahun. Akhirnya, niat untuk mencapai azam itu tidak berjaya direalisasikan. 

Azam tidak realistik

Kadang-kadang azam yang ditetapkan itu tidak realistik dengan diri. Kita banyak terikut-ikut dengan orang di sekeliling kita. Contohnya azam untuk kurangkan berat badan dalam seminggu sebanyak 10 kg. Itu agak mustahil, terutamanya untuk mereka yang belum pernah cuba untuk kuruskan badan sebelum ini.

Tidak konsisten

Sesuatu perkara yang kita azamkan perlu dibuat secara konsisten. Walaupun jumlah masa yang diperuntukkan untuk merealisasikan azam itu hanya sedikit, tapi ia perlu dilakukan secara konsisten. Jika tidak konsisten, perkara itu akan sedikit demi sedikit akan ditinggalkan dan dilupakan. Akhirnya, kita gagal untuk mencapai azam itu.

Tips untuk pastikan azam 2022 tercapai

Pastikan azam anda adalah sesuatu yang realistik

Binalah azam yang boleh dicapai oleh diri sendiri. Sebelum membuat azam, kita terlebih dahulu perlu mengkaji dan mengenali keupayaan diri kita sendiri. Jangan buat azam semata-mata kerana orang lain. Letakkan azam selari dengan kemampuan kita. Contohnya kalau kita berazam untuk menghafal Al-Quran, kenalpasti berapa yang boleh kita hafal dalam masa sehari. Jangan dengan yakinnya kita tetapkan bahawa dalam masa 1 bulan kita dah boleh hafal seluruh Al-Quran. Ianya tidak mustahil tetapi tidak realistik terutama bagi mereka yang belum pernah menghafal mana-mana surah dari Al-Quran.

Bina azam yang jelas dan khusus

Azam yang jelas membantu kita untuk bertindak dengan lebih teratur dan efisien. Jika azam kita contohnya nak kurus untuk tahun 2022, kita mestilah tetapkan berapa kilogram yang perlu diturunkan setiap minggu dan setiap bulan. Pastikan azam kita mempunyai nilai yang boleh diukur supaya kita boleh jejak prestasi azam itu. Jika kita ada pelbagai jenis azam, pilih azam yang lebih penting dan boleh dicapai. Contonya azam berkenaan perubahan diri seperti menepati masa. Fokus pada perkara itu terlebih dahulu dan kemudian lakukan azam-azam yang lain secara berperingkat.

Tulis dan buat

Setiap hari, kita perlu diperingatkan tentang azam yang telah ditetapkan. Caranya adalah dengan menulis azam itu dan pastikan ia boleh dilihat dengan jelas setiap hari. Dan yang paling penting, pastikan kita BUAT apa yang telah kita rancang. Jika ia adalah semata mata rancangan dan tidak ada tindakan, ia hanya ibarat sebuah mimpi.

Bercerita epada orang yang terdekat

Jika kita inginkan azam ini menjadi kenyataan, perlu untuk kita memberitahu kepada orang yang terdekat seperti kawan baik, ibu, ayah ataupun isteri. Sentiasa bercakap dengan mereka tentang azam kita. Biarkan azam kita terpahat dalam fikiran mereka. Secara tidak langsung, mereka akan turut mendoakan kejayaan kita disamping menjadi pengawal atau penggera jika mereka lihat kita lalai dari mengejar azam tersebut. Apabila kita sering bercakap tentang azam dengan orang lain, ia juga akan meningkatkan kesedaran dan motivasi kita untuk mencapai kejayaan itu. Jadi jangan simpan azam kita seorang diri. Kongsikan dengan orang lain.

Lakarkan garis masa

Sesuatu kerja atau azam akan lebih jelas jika kita ada garis masa. Pecahkan ia kepada beberapa kejayaan kecil. Ia membantu kita untuk mengetahui apa yang perlu dibuat sekarang, minggu hadapan atau bulan hadapan. Ia membuatkan kita berasa lebih seronok dan nampak apa yang perlu dibuat. Jadi fikiran dan badan kita mudah untuk bergerak selari dengan garis masa yang kita sudah tentukan. Bayangkan jika tiada garis masa, kita tidak akan tahu dimana kita berada. Adakah masih jauh lagi azam kita? adakah cukup apa yang kita buat untuk mencapai azam tersebut? 

Berikan ganjaran pada diri sendiri

Setelah kita tetapkan garis masa dan kejayaan-kejayaan kecil, beri ganjaran kepada setiap kejayaan kecil yang telah kita capai. Contohnya tahun 2022 kita berazam untuk turun 24kg. Jadi setiap bulan kita tentukan untuk turun berat sebanyak 2kg. Setelah kita berjaya capai target tersebut, beri ganjaran kepada diri sendiri. Ganjaran itu boleh dalam bentuk apa sahaja asalkan ia menggembirakan diri dan memotivasikan untuk terus mencapai kejayaan-kejayaan lain.

Berikan komitmen

Jika dilihat dari azam tahun yang sebelumnya, antara sebab azam itu gagal adalah kerana kurangnya komitmen. Apa yang dimaksudkan dengan komitment adalah usaha yang bersungguh-sungguh untuk mencapai sesuatu yang diimpikan. Walaupun mempunyai azam yang jelas serta perancangan yang teliti, namun jika diri sendiri malas dan kurang memberikan komitmen, ia sukar untuk dicapai.

Kesimpulannya, untuk memastikan azam 2022 ini tercapai adalah dengan meletakkan kesungguhan yang tinggi dan konsisten dalam melakukan apa yang telah dirancang. Jangan sekali kali bertangguh dalam melaksanakan sesuatu dan pastikan kita sudah membuat keputusan yang tetap. Jika kita masih lagi berasa ragu-ragu dengan apa yang nak dicapai, ia akan menyukarkan kita untuk merealisasikan azam kita tahun ini.

Sudahkah Anda Bersedekah Hari Ini?

Jika belum jom sama-sama dengan Perkim Datuk Keramat membantu mereka yang dalam kesusahan seperti asnaf, ibu tunggal, mereka yang menghidap penyakit kronik , muallaf, anak yatim dan pelbagai lagi. Sesungguhnya sedikit sumbangan anda, memberi 1000 kemanisan untuk mereka

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top