TITIPAN BUATMU RAMADAN, ANDAI INI RAMADAN YANG TERAKHIR

TITIPAN BUATMU RAMADAN ANDAI INI YANG TERAKHIR

MASIH BERBAKI BEBERAPA JAM LAGI

Seluruh rakyat Malaysia menyaksikan dan mendengarkan pengumuman tentang hari jatuhnya perayaan Aidilfitri. Ada yang menyebutnya hari Jumaat dan ada yang menyebutnya hari Sabtu. Setelah diumumkan, kita masih lagi berpeluang untuk menikmati Ramadan sehari lagi dan menyambut Aidilfitri pada hari Sabtu. Alhamdulillah.

Ramadhan tahun ini ingin meninggalkan kita kembali, dan kita masih terkesima dengan masa yang berjalan begitu pantas sekali. Serasa baru sahaja meraikan Ramadhan dan Syawal pada tahun lepas, dan kini melepaskannya  kembali. Begitulah gambaran betapa di akhir-akhir zaman, di mana seminggu dirasakan bagai sehari, sehari dirasakan bagai sejam dan sejam dirasakan bagai seminit.

Memasuki fasa bulan yang penuh barakah ini, marilah kita merenung kembali surah yang diperintahkan untuk berpuasa, iaitu surah al-Baqarah ayat ke-183:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ كُتِبَ عَلَيْكُمُ ٱلصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ ١٨٣

Maksudnya: “Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kalian agar kamu bertakwa.” 

Perintah berpuasa yang Allah turunkan adalah supaya kita turut merasa bagaimana mereka yang berlapar tanpa bekalan makanan, bagaimana fakir miskin merasa kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Merasa bagaimana umat Islam di Syria, Palestin yang menahan lapar akibat kekurangan makanan. Perintah ini bukan saja-saja kerana pada akhir dan penghujungnya Allah ingin kurniakan kita semua taqwa.

Dengan diberi nikmat kesihatan dan umur, hari ini Allah masih memberi kita hadiah dan peluang bertemu Ramadhan. Alangkah gembiranya dan bersyukur tatkala ada insan lain yang tidak sempat bertemu Ramadhan, mereka dijemput pulang bertemu Pencipta. Firman Allah SWT dalam surah al-Mulk ayat ke-2:

ٱلَّذِى خَلَقَ ٱلْمَوْتَ وَٱلْحَيَوٰةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًۭا ۚ 

Maksudnya: “Allah jadikan mati dan hidup kita untuk menguji siapa yang paling baik amalnya…” 

Begitu juga kita, kita sendiri tidak tahu adakah kali ini merupakan Ramadhan terakhir kita. Rata-rata manusia begitu yakin mereka akan bertemu dengan Ramadhan lagi dan lagi, begitu yakin bahawa Allah masih memanjangkan usia mereka. Lalu kita mengambil sikap sambil lewa, acuh tak acuh menyambut Ramadhan, yang meriahnya cuma hidangan makanan ketika berbuka, tetapi solatnya masih sama di akhir waktu, al-Qurannya masih sama tidak mampu untuk selak helaian mushaf dan dibiarkan sepi.

Solat Subuhnya masih sama lewat sesudah terbit matahari, rumah dan biliknya masih sama bersepah dan tidak kemas, mulutnya masih sama mengumpat membawa fitnah dan sedekahnya masih sama RM1.00 pada tabung masjid sahaja. Apabila Allah mentakdirkan kita dipanjangkan usia untuk bertemu dengan bulan yang sangat mulia ini, seharusnya kita sujud syukur, tanda betapa beruntungnya kita masih terpilih untuk merebut pahala, menambah bekal di hari akhirat kelak, juga bersyukur untuk memperbaiki segala kelemahan yang kita lakukan pada Ramadhan yang lepas.

Lakukan sehabis baik pada Ramadhan kali ini, walaupun masih berbaki sehari sahaja lagi kerana mereka yang tidak sempat bertemu Ramadhan pun tidak mengetahui bahawa Ramadhan tahun sebelumnya merupakan Ramadhan terakhir buat mereka.

Andai ini Ramadhan terakhir kita, jadikan ia sangat bermakna. Ketibaan Ramadhan yang dinanti haruslah disambut dengan rumah yang kemas dan hiaskannya dengan cantik  sekali, supaya kita senantiasa bersemangat dan selesa untuk beribadah.  Sungguh andai ini Ramadhan terakhir kita, sekurang-kurangnya kita berjaya menghabiskan solat tarawih sehingga Syawal menjelma. Mungkin tahun depan kita tidak lagi berkesempatan untuk melakukan solat tarawih.

Andai ini Ramadhan terakhir kita, bersungguh-sungguhlah dalam melakukan ibadah seperti membaca al-Quran. Jika kita masih merangkak-rangkak untuk mengeja huruf-huruf yang terdapat di dalam al-Quran, inilah peluangnya untuk kita mencari asatizah atau kawan-kawan kita yang pandai mengaji. Masih belum terlambat, andai kita menyedari hakikat bahawa, “Aku tak pandai mengaji, aku kena belajar mengaji, nanti aku nak jawab apa pada Allah.” Jangan pernah rasa terlambat atau tidak sempat untuk belajar membaca al-Quran, selagi Allah mengurniakan kita umur yang panjang dan rezeki kesihatan, selagi itulah peluang untuk belajar masih terbuka.

Rasulullah SAW bersabda: “Tuntutlah ilmu sejak dari buaian sampai ke liang lahad.”

Masa yang ada kita isikan dengan membaca al-Quran. Jadikan ia budaya, kelak ia mendidik kita di bulan-bulan seterusnya supaya berasa seronok untuk membaca al-Quran dan menjadikannya sebagai kawan rapat kita.

Andai ini Ramadhan terakhir kita, berebut-rebutlah untuk mencari pahala sebanyak mungkin sebagai bekalan untuk hari akhirat kita. Carilah ruang untuk bersedekah kerana ganjaran mereka yang bersedekah di bulan Ramadhan, Allah lipat gandakan. Jika sebelum ini seringkali berlaku pembaziran ketika berbuka, maka selepas Ramadan berakhir tiada lagi pembaziran berlaku kerana tahu betapa berharganya menikmati makanan dan minuman ketika berbuka.

Jika sebelum ini waktu siang kita dipenuhi dengan tidur, jadikanlah selepas daripada Ramadan ini banyak amal dilakukan di waktu siang. Usia yang meningkat jelas merasakan akan kematian yang semakin menghampiri kita.

Apa yang perlu difikirkan di hati kita cuma:

“Adakah aku sudah lakukan sehabis baik untuk Ramadhan?”

“Adakah ini Ramadhan terakhir aku?”

“Tahun depan ada lagi ke Ramadhan untuk aku?”

Marilah kita bersama-sama pulun sehabis baik  waktu yang masih berbaki ini seperti seolah-olah ianya adalah tahun terakhir kita menyambut Ramadhan. Jangan pernah persiakan peluang dan hadiah yang Allah berikan kepada kita. Sebulan yang Allah beri adalah masa terbaik untuk kita meninggalkan segala jahiliah yang bersarang di dalam diri kita. Meninggalkan perkara-perkara yang tidak mendatangkan manfaat untuk hari akhirat kita, masa terbaik untuk kita merenung dan bermuhasabah sejauh mana kita sudah menghargai Ramadhan.

Sejauh mana amal ibadah yang telah kita lakukan? Jika masih sama dan tiada perubahan, maka bersegeralah! Sungguh, kematian itu tidak mengenal usia,tidak mengenal pangkat mahupun status kesihatan anda. Berbaki beberapa jam lagi, masih belum terlambat, ayuh lakukan pecutan. Buat sehabis baik.

Inilah madrasah tarbiah Ramadhan, semoga keluarnya kita daripada madrasah ini dengan membawa segulung ijazah taqwa, biiznillah. Bukan semata-mata beribadah di dalam bulan Ramadan sahaja sehingga layak digelar hamba Ramadan. Tarbiah pad bulan ini lah yang sepatutnya menjadi batu loncatan kepada kita semua agar lebih istiqamah melakukan amal soleh dan selayaknya digelar hamba Allah SWT yang bertaqwa.

Jom edekah

TITIPAN BUATMU RAMADAN

Ramadhan, hari-hari bersamamu selalu menyenangkan. Betapa nikmatnya menyaksikan setiap insan tergerak hatinya untuk berbondong-bondong menuju masjid untuk menunaikan solat tarawih. Tua muda, lelaki dan perempuan, bahkan anak-anak kecil juga ikut senang bersamamu. Saat malam hening, betapa indahnya terdengar alunan ayat-ayat Allah disuarakan. Suara itu dari berbagai-bagai masjid yang ada, terasa saling bersahutan, indah menentramkan hati.

Ramadhan, walau siang hari udara panas menyengat. Tapi hati tetap tenang kerana kami menjalankan puasa ini bersama-sama dengan hati senang, jadi terasa ringan sebagai bentuk ketaatan kepada Allah. Ketika sudah memasuki 10 hari terakhir bulan Ramadhan, umat semakin bersemangat beribadahnya. Bahkan malam-malamnya pun terasa hidup, kerana banyak umat yang datang ke masjid untuk i’tikaf.

Berharap Ramadhan tidak pergi

Wahai Ramadhan, Allah hanya menerima amalan orang yang bertaqwa.

Lantas, bagaimana dengan ibadahku? Berkenankah Allah menerimanya? Amalan yang tidak seberapa, itupun masih banyak cela. Jauh dari khusyuk dan ikhlas. Yaa Allah, ampunilah hamba.

Ibnu Rajab berkata: Para ulama salafus soleh bersungguh-sungguh dalam menyempurnakan amal dan bersungguh-sungguh ketika mengerjakannya. Setelah itu mereka sangat berharap amalan tersebut diterima dan khawatiri tertolak. Ali bin Abi Thalib ra: “Mereka para salaf begitu berharap agar amalan-amalan mereka diterima daripada banyak beramal

Semoga Allah berkenan menerima setiap amalan yang kulakukan selama bulan Ramadhan dan diizinkan aku bertemu denganmu kembali di tahun-tahun berikutnya.

Selamat Jalan Ramadhan

Ini adalah rangkaian kata-kata perpisahan dengan bulan Ramadhan dari Ibnu Rajab:

“Wahai hamba Allah, bulan Ramadhan telah bersiap-siap untuk berangkat.
Tidak ada lagi yang tersisa kecuali saat-saat yang singkat

Barangsiapa yang telah melakukan kebaikan selama ini, hendaklah ia menyempurnakannya. Barangsiapa yang malah sebaliknya, hendaklah ia memperbaikinya dalam waktu yang masih tersisa.

Serta titipkanlah amalan soleh yang dapat memberi kesaksian kepadamu nantinya di hadapan Allah SWT. Ramadhan, kulepaskan dirimu pergi. Ini salam terbaik buatmu :

“Salam dari Ar Rahman dari setiap zaman.
Atas sebaik-baik bulan yang hendak berlalu.
Salam atas bulan di mana puasa dilakukan
Sungguh ia adalah bulan yang penuh rasa aman dari Ar Rahman
Jika hari-hari berlalu tak terasakan.
Sungguh kesedihan hati tak pernah hilang. ”

Semoga detik-detik perpisahan akan memadamkan api kerinduan
yang membara. Semoga saat-saat taubat akan melengkapi kekurangan puasa yang dilakukan.

“Ya Allah, janganlah Engkau jadikan puasa ini sebagai puasa yang terakhir dalam hidupku. Seandainya Engkau berketetapan sebaliknya, maka jadikanlah puasaku ini sebagai puasa yang dirahmati bukan yang sia-sia semata.”

Taqabbalalahu minna waminkum, wakullu ‘aamin wa antum bikhair

Selamat Tinggal Ramadan, moga bertemu kembali.

Wallahua’lam.

Hari Jumaat iaitu sayyidul ayyam, penghulu segala hari dan hari yang terakhir bagi Ramadan kali ini. Marilah sama-sama kita melakukan sedekah dan sumbangan ikhlas untuk golongan yang memerlukan. Boleh klik pada butang “Bantu Mereka” dibawah dan  salurkan sumbangan. Jazakallahu khairan kathiran.

Sudahkah Anda Menjadi Tangan Yang Memberi?

Jika belum jom sama-sama dengan Perkim Datuk Keramat membantu mereka yang dalam kesusahan seperti ibu tunggal, mereka yang menghidap penyakit kronik dan pelbagai lagi. Sesungguhnya sedikit sumbangan anda, memberi 1000 kemanisan untuk mereka

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top