Ziarah Dakwah ke Penjara Sungai Buloh

Kerjasama PERKIM Datuk Keramat / Bahagian Wilayah Persekutuan dan Daie Komuniti Yayasan Dakwah Islamiyyah Malaysia (YADIM) 18 Mei 2022 Misi dan objektif kami adalah meluaskan rangkaian dakwah. Jika dahulu, golongan mahasiswa di universiti, pesakit kronik di hospital, golongan kelainan upaya (OKU), kelompok maknyah, LGBT, remaja di jalanan, golongan gelandangan, atlet sukan, selebriti dan artis dalam industri hiburan, kini kami menyasarkan penghuni penjara sebagai mad’u dan sasaran kami. PERKIM Bahagian Wilayah Persekutuan serta Daie Komuniti YADIM telah bekerjasama dengan PERKIM Datuk Keramat bagi menjayakan misi dakwah yang murni ini. 

Tanggal 18 Mei 2022 jam 10:30 pagi, kami melaporkan diri bersama 28 orang pendakwah yang ikhlas di pintu penjara. Syukur dengan izin Allah SWT, seramai 100 orang penghuni penjara telah berjaya disantuni. Mereka berkongsi pengalaman mahal memasuki ruang penjara dengan kisah suka duka sebagai iktibar dan pengajaran yang paling berharga. Pengarah Program, Ustaz Mohamad Suhaimi bin Abdul Aziz mewakili PERKIM Datuk Keramat dan WP serta YADIM memulakan majlis dengan ucapan syukur atas kesempatan pertemuan itu. 

Beliau sempat menitipkan nasihat dan mengajak semua agar melihat segala perkara yang berlaku ada hikmah tersembunyi untuk kita renungi. Ustaz Suridzal sebagai pentazkirah menyampaikan pesanan supaya menjadikan tembok penjara sebagai tempat pelajaran. Kerana sekolah, madrasah, universiti, amalan perbuatan kita seharian, rumah tangga, pejabat dan tempat kerja, semuanya adalah subjek serta modul pelajaran yang boleh diambil dalam kehidupan. Program Halaqah bersama Daie Komuniti adalah peluang para Daie untuk menyampaikan pesan dakwah selain mendapat perkongsian bermakna. Daripada 10 orang penghuni penjara dalam sebuah halaqah, 

Kesemua mereka menceritakan seribu kisah yang tercoret dalam kanvas kehidupan. Kisah realiti mereka sangat bernilai untuk dimuhasabah agar sentiasa bersyukur dalam hidup. Insya-Allah dengan izin Allah SWT dan berkat sokongan daripada masyarakat luar, dakwah di penjara akan diteruskan untuk masa-masa akan datang. Hal ini kerana, insan di penjara adalah mereka yang terpilih oleh Allah Maha Besar untuk menerima ujian yang berat.

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *