TIPS MUDAH BANGUN SAHUR

TIPS MUDAH UNTUK BANGUN SAHUR

PERLU KE BERSAHUR?

Ada sesetengah orang memilih untuk bersahur pada lewat malam atau selepas solat tarawih iaitu dalam jam 11-12 malam. Sebenarnya, makan sebelum pertengahan malam tidak dikira sebagai sahur. Sedangkan bersahur itu banyak fadhilatnya dan keberkatannya. Penat macam mana pun kita cubalah untuk bangun dan bersahur walaupun dengan meneguk air putih sahaja.

Rasulullah SAW bersabda:

السَّحُورُ أَكْلُهُ بَرَكَةٌ ، فَلاَ تَدَعُوهُ ، وَلَوْ أَنْ يَجْرَعَ أَحَدُكُمْ جُرْعَةً مِنْ مَاءٍ ، فَإِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ وَمَلاَئِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى الْمُتَسَحِّرِينَ

Maksudnya: “Makan pada waktu sahur adalah satu keberkatan. Jangan pernah kalian meninggalkannya walaupun hanya dengan satu tegukan air. Sesungguhnya Allah memberikan rahmat dan para malaikat pula mendoakan ke atas orang yang bersahur.” (HR. Imam Ahmad)

Hukum bersahur ni adalah sunat yang sangat dituntut. Ia juga bagi membezakan antara puasa orang Islam dan puasa ahli kitab (orang Yahudi). Puas bagi ahli Kita tiada sahur sedang Islam menggalakan umatnya untuk bangun dan bersahur.

Rasulullah SAW bersabda:

فَصْلُ مَا بَيْنَ صِيَامِنَا وَصِيَامِ أَهْلِ الْكِتَابِ، أَكْلَةُ السَّحَرِ

Maksudnya: “Perbezaan antara puasa kita dan puasa ahli kitab adalah dengan makan sahur.” (HR. Muslim)

Sahur adalah perbuatan makan dan minum pada awal pagi sebelum waktu fajar dengan niat untuk berpuasa. Hadith tersebut diriwayatkan daripada Anas bin Malik RA, beliau berkata, Nabi SAW telah bersabda:

تَسَحَّرُوا فَإِنَّ فِي السُّحُورِ بَرَكَةً

Maksudnya: “Bersahurlah kamu semua, sesungguhnya pada sahur itu terdapat keberkatan.” (HR Bukhari & Muslim)

Keberkatan bukanlah suatu yang mudah untuk kit acari dan dapati. Namun, Rasulullah SAW sendiri telah menyebutkan bahawa pada makanan sahur itu ada keberkatan. Dengan makan sahaja kita boleh menahan lapar dan dahaga separuh hari disamping melakukan kerja-kerja dan ibadah yang lain kerana terdapat keberkatan didalam sahur tersebut.

BEZA SAHUR (السَّحور) DAN SUHUR (السُّحور).

Mungkin kita pernah mendengar perkataan suhur dan sahur. Tapi apakah perbezaannya? Dalam hadith yang disebutkan, terdapat dua pandangan dalam kalimah sahur, iaitu, Sahur (السَّحور) dengan baris fathah dan suhur (السُّحور) dengan baris dhammah.

Dalam kitab Lisan al-‘Arab karangan Ibn Mandzur, Sahur (السَّحور) membawa maksud makanan sahur dan minumannya.

Imam al-Azhari berkata: “Sahur (السَّحور) ialah apa yang disahurkan dengannya pada waktu sahur daripada makanan atau susu atau apa-apa jenis makanan yang dimakan pada ketika itu. sebagai contoh, telah bersahur seorang lelaki makanan itu, iaitu memakannya

Imam Ibn al-Athir pula menyebut: “Sahur (السَّحور) dengan baris fathah ialah apa yang disahurkan daripada makanan dan minuman, Manakala suhur (السُّحور) dengan dhammah adalah masdar dan fi’il (perbuatan) itu sendiri, dan kebanyakan yang diriwayatkan adalah dengan baris fathah, dan dikatakan yang tepat adalah dengan baris dhammah, kerana apabila huruf sin itu berbaris fathah, ianya membawa maksud makanan. Manakala barakah, ganjaran dan pahala adalah pada perbuatan, bukan pada makanan.”

Berdasarkan hujah-hujah yang disebutkan, dapat disimpulkan bahawa kalimah sahur adalah makanan dan minuman yang dimakan ketika waktu bersahur, manakala kalimah suhur adalah perbuatan bersahur itu sendiri. Maka kalimah yang lebih sesuai adalah kalimah suhur, kerana kalimah tersebut adalah lebih tepat dengan maksud hadith tersebut iaitu keberkatan pada perbuatan melakukan sahur itu sendiri.

Jom edekah

WAKTU BERSAHUR

Waktu sahur bermula daripada akhir malam sebelum waktu Subuh sehingga terbit fajar al-sadiq. – Kalau berbuka puasa sunnah untuk kita menyegerakan. Tapi kalau bersahur pula, sunnah untuk kita melewatkan sehingga hampir kepada waktu Subuh.

Sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Zaid bin Thabit RA, beliau berkata:

 تَسَحَّرْنَا مَعَ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، ثُمَّ قُمْنَا إِلَى الصَّلَاةِ، قُلْتُ: كَمْ كَانَ قَدْرُ مَا بَيْنَهُمَا؟ قَالَ: خَمْسِينَ آيَةً

Maksudnya: “Kami telah bersahur bersama Rasulullah SAW kemudian kami bangun untuk mendirikan solat, aku telah bertanya, berapa jarak antara keduanya? Maka baginda SAW bersabda: 50 ayat.” (HR. Muslim, al-Nasaie & Ibn Majah)

TIPS BANGUN SAHUR

Pernah tidak kita terlajak bangun untuk bersahur? Ataupun kita rasa berat atau susah sangat untuk bangun? Disebabkan banyak masalah untuk bangun bersahur, kita pun mengambil keputusan untuk makan tengah malam sahaja. Sedangkan ianya bukanlah waktu beersahur pun.

Mungkin perkara ini terjadi adalah disebabkan badan kita yang tidak terbiasa dengan jadual bangun tidur. Sebab itulah kita digalakkan untuk qiamullail ketika bulan Syaaban lagi agar badan terbiasa bangun awal. Tidak mengapa. Masih belum terlambat untuk kita ubah cara tidur dan bangun sahur.

Jom kami kongsikan beberapa tips untuk mudah bangun sahur:

  • Simpan Gajet Dan Tidur Lebih Awal

Kebanyakkan masalah masyarkat kini adalah gajet. Tidak kiralah ianya berbentuk telefon bimbit, laptop, televisyen bersaiz 46 inci atau apa-apa bentuk gajet. Semuanya melalaikan jika menggunakannya tidak berkala atau berjadual. Minda kita lebih tertarik kepada bentuk visual yang terpapar di gajet. Salah satunya yang diitayangkan di media sosial. Jika menggunakannya tanpa had, kita akan mendapati masa kita begitu terhad dan seidikit.

Oleh itu, bagi peringkat permulaan, biasakan untuk jauhkan telefon bimbit ketika hendak tidur. Saat kita hendak tidur, tanpa kita sedari jari kita akan menggeser pada skrin gajet dengan alasan “nanti terlelaplah”. Tapi, perasan atau tidak, kita akan hanyut dan bila kita lihat pada jam, rupanya sudah 2 jam berlalu. Barulah kita sedar bahawa mat akita perlukan rehat dan tidur. Ketika itu telahpun terlambat. Oleh sebab itu, kita perlu mengalihkan telefon bimbit ke tempat yang tidak boleh dicapai tangan ketika hendak tidur. Kita akan lebih mudah terlelap tanpa kita sedar dengan ketiadaan gajet di tangan.

  • Berdoa Dan Niatkan Untuk Bangun Sahur

Perkara ini juga ramai yang memandang rendah dan enteng. Berdoa adalah salah satu senjata bagi orang mukmin. Orang yang percaya dengan bantuan Allah SWT, kita akan mengharapkan bantuan daripadaNya. Pernah tidak kita terjaga ditengah malam, namun kita tidur semula. Boleh jadi ianya adalah hidayah daripada Allah SWT agar kita melakukan qiamullail kerana merindukan hambaNya untuk beribadah kepadaNya.

Selain itu juga, kita perlu pasakkan dalam minda dan berniat untuk bangun sahur keesokan harinya. Perkara ini secara ajaibnya membantu kita untuk sedar dengan lebih awal daripada waktu yang telah ditetapkan. Perkara yang kita niatkan kerana Allah SWT dan ianya baik, Allah akan permudahkan. Apabila terjaga, kita akan merasa lebih ringan untuk bangun berbanding tidur tanpa matlamat dan niat.

  • Setkan Alarm Pada Awal Waktu Sahur

Tidak dinafikan bagi sesetengah orang yang telah terbiasa bangun lambat akan menjadi suatu fenomena baru untuk bangun sahur. Dari sinilah kita perlu memanfaatkan kelebihan yang ada pada gajet. Jangan gunakan ia untuk tidur lewat, tetapi gunalah ia untuk membantu bangun dengan lebih awal. Sebagai permulaan, kitab oleh cuba untuk tetapkan jam penggera sejam sebelum waktu subuh. Sekurang-kurangnya, jika kita tidak tersedar pada deringan yang pertama kita akan terbangun pada deringan yang kedua, ketiga dan seterusnya. Apabila terjaga, masih lagi tersisa waktu untuk bersahur.

Bagi orang tidak terbiasa bangun awal, kebiasaannya tidak mempunyai selera untuk makan kerana telah terbiasa bangun lewat dan terus makan tengahari pada bulan yang lainnya. Oleh itu, boleh mulakan dahulu dengan juadah yang ringan sahaja, seperti kurma, roti, biskut, air manis dan air putih. Namun, kita perlu pastikan terlebih dahulu bahawa dua tips yang sebelumnya telah diamalkan terlebih dahulu. Tiada gunanya jika menteapkan jam penggera jika tidur lewat kerana gajet dan tanpa doa sebelum tidur.

  • Minta Bantuan Orang Sekeliling Kejutkan

Sebagai Langkah berjaga-jaga, kita juga boleh meminta bantuan orang lain untuk mengejutkan kita. Kadang-kadang jam penggera yang berdering langsung tidak kedengaran. Mungkin atas faktor badan yang terlalu letih berkerja pada hari sebelumnya.

  • Elak Makan Makanan Berat Sebelum Tidur

Setiap orang telah sedia maklum bahawa akan ada makanan lebih di rumah atau moreh di masjid. Kadang-kadang makanan yang dihidangkan juga dalah berat-berat belaka. Jika teringin sekalipun cukup lah dengan rasa sedikit sahaja bagi menghilangkan rasa kempunan. Janganlah mengambil dengan kadar yang banyak dan berlebih-lebihan.

Makan makanan yang berat sebelum tidur akan membuatkan perut kita lebih banyak waktu bekerja dan badan menjadi lebih lesu serta berat untuk bangun awal. Adalah lebih baik jika makanan tersebut disimpan dan dipanaskan semula untuk dimakan ketika sahur nanti.

Semua tips ini boleh digunapakai oleh semua orang tanpa mengira faktor umur. Namun perlu ingat sekalipun kita kuat beribadah, jangan sampai tidak cukup tidur. Setiap orang ada jadual tidurnya yang tersendiri. Apabila melakukan sesuatu luar daripada kemampuannya boleh menyebabkan masalah kesihatan terjejas. Perkara ini akan merugikan kita pada akhirnya kerana tidak dapat untuk teruskan beribadah pada hari yang seterusnya. Jadilah hamba Allah SWT yang bijak.

Wallahua’lam.

Jika anda ingin melakukan saham akhirat, boleh klik pada butan “Bantu Mereka” dibawah dan salurkan sumbangan. Semoga Allah memberkati tangan-tangan yang memberi pada bulan Ramadhan yang mulia ini. Terima kasih.

Sudahkah Anda Menjadi Tangan Yang Memberi?

Jika belum jom sama-sama dengan Perkim Datuk Keramat membantu mereka yang dalam kesusahan seperti ibu tunggal, mereka yang menghidap penyakit kronik dan pelbagai lagi. Sesungguhnya sedikit sumbangan anda, memberi 1000 kemanisan untuk mereka

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top