ISU FILEM PULAU, HUKUM PEMASARAN WANITA DALAM PENERBITAN FILEM

ISU FILEM PULAU HUKUM PEMASARAN WANITA DALAM PENERBITAN FILEM

ISU FILEM PULAU

Baru-baru ini hangat di media sosial terutamanya tiktok, tentang trailer filem Pulau yang terkandung didalamnya unsur soft porn. Filem ini merupakan filem yang bergenre seram pada asalnya, namun apa yang boleh didapati daripada trailer filem tersebut terlalu banyk unsur soft porn dan pemasaran wanita. Industri tanah air masa kini sanggup mengikut ideologi Barat demi menarik perhatian masayrakat setempat dalam memasarkan sesebuah filem.

Lembaga Penapis Filem (LPF) mengklasifikasikan filem Pulau sebagai naskhah seram, bukannya filem porno seperti yang digembar-gemburkan. LPF menjelaskan wujud perbezaan antara kandungan trailer filem Pulau yang dikongsi dalam media sosial dengan kandungan yang dikemukakan untuk penapisan kepada lembaga itu.

Menurut Berita Harian, rata-rata netizen terkejut dengan paparan wanita berpakaian seksi termasuk berbikini dan adegan intim ala Hollywood, malah, ada yang mengklasifikasikan naskhah terbabit sebagai ‘soft porn’ yang dianggap keterlaluan dan bercanggah dengan nilai moral bagi filem. Kenyataan LPF menambah, lembaga itu mengambil maklum isu yang berbangkit membabitkan filem Pulau yang semakin mendapat perhatian dalam kalangan masyarakat selepas promosi filem berkenaan dimulakan melalui perkongsian poster dan sedutan trailer filem dalam media sosial.

Yang menakutkan adalah perkara ini seolah-olah dianggap sebagai suatu perkara yang biasa dalam penerimaan masyarakat awam. Bahkan, ada yang menyebutkan “kalau tak suka jangan tengok”. Ini adalah bukti bahawa unsur soft porn telah dinormalisasi kan dalam kalangan masyarakat awam. Penerimaan seperti inilah yang menjadi punca kepada keruntuhan akhlak dan jauh sekali dengan apa yang ditunjukkan oleh kebudayaan Melayu. Semakin hilang identiti kebudayaan Melayu dan agama di Malaysia jika membiarkan isu seperti ini berlarutan tanpa tindakan.

Sungguhpun begitu, masih lagi ada public figure yang menolak dan menentang penerbitan filem ini. Mengangkat suatu kata iaitu “mari pulaukan filem pulau” yang turut mendapat sambutan daripada kalangan masyarakat.

HUKUM PEMASARAN WANITA DALAM PENERBITAN FILEM

  • Perintah Menjaga Kehormatan Dan Larangan Menzahirkan Aurat

Aurat adalah angggota badan yang tidak boleh dinampakkan dan diperlihatkan oleh lelaki atau perempuan kepada orang lain. 

Umat Islam disyariatkan untuk memelihara aurat dan menjaga maruah. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT dalam surah an-Nur ayat 31:

وَقُل لِّلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا 

Maksudnya: “Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya.”

Tafsiran ayat   وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ,   membawa maksud memelihara kehormatan dengan cara menutup aurat dan menjaga diri daripada perbuatan zina. Memelihara kehormatan daripada perlakuan keji atau memelihara  diri  daripada pandangan manusia.

Ayat  وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ – terdapat maksud majaz mursal, iaitu  tempat  meletakkan perhiasan, seperti gelang tetapi yang dimaksudkan adalah tempatnya (tubuh badan). Ini bertujuan memberikan pengertian mubalaghah (penekanan lebih) pada perintah menutupi tubuh dan menjaga diri. Dapat difahami bahawa perintah  menjaga mata, menutup aurat dan memelihara kehormatan adalah langkah untuk menjauhi daripada kemaksiatan berlaku.

Kalimah يُبْدِينَ berasal daripada kalimah أبدى, bermaksud menzahirkan sesuatu.

Pelakon yang mengenakan pakaian yang terlalu seksi dan melakukan aksi berbaur lucah akan turut tercalar maruah kerana seolah  menzahirkan dan menceritakan aset peribadi yang kononnya sesuai dengan keadaan bagi seseorang yang ingin ke pulau.

Segala wasilah  yang boleh menzahirkan gambaran atau bayangan  aurat tubuh badan  yang diceritakan kepada berlainan jantina adalah dilarang.  Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Mas’ud RA, Rasulullah SAW bersabda:

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مَسْعُودٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، قَالَ: قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «‌لَا ‌تُبَاشِرُ ‌ المَرْأَةُ ‌المَرْأَةَ، ‌فَتَنْعَتَهَا ‌لِزَوْجِهَا ‌كَأَنَّهُ ‌يَنْظُرُ ‌إِلَيْهَا»

Maksudnya: “Janganlah seorang wanita bergaul dengan wanita lain kemudian menceritakan wanita lain itu kepada suaminya sehingga seakan-akan suaminya melihat wanita yang diceritakannya.” (HR Bukhari)

Imam al-Qabisiy berkata ketika mensyarahkan hadis di atas:

هذا أصل لمالك في سد الذرائع فإن الحكمة في هذا النهي خشية أن يعجب الزوج الوصف المذكور فيفضي ذلك إلى تطليق الواصفة او الافتتان بالموصوفة

Maksudnya: “(Hadis) Ini merupakan hujah bagi Imam Malik dalam sadd al-dzarai’. Sesungguhnya hikmah pelarangan ini adalah dikhuatiri suami akan berasa takjub (tertarik) dengan sifat yang disebutkan (diceritakan oleh isterinya tentang wanita lain) maka ia akan menyebabkan suami menceraikan isterinya atau mengidamkan wanita yang diceritakan sifatnya oleh isteri tersebut.”

Justeru, wanita mahupun lelaki dilarang daripada melakukan aksi yang berbaur lucah dan berpakaian yang tidak menutup aurat sekalipun ianya diarahkan oleh pengarah filem. Hal tersebut sebagai langkah-langkah menutup pintu-pintu kerosakan. Implikasi penerbitan filem seperti ini juga boleh merosakkan minda kanak-kanak dan dikhuatiri turut merosakkan masyarakat yang membawa ke lembah kemaksiatan.

  • Perintah Larangan Melihat Aurat

Selain itu, bagi kita sebagai penonton, haram melihat aurat orang lain apatah lagi yang lucah atau porno. Firman Allah SWT dalam surah al-Mukminun ayat 5-7:

وَالَّذِينَ هُمْ لِفُرُوجِهِمْ حَافِظُونَ ﴿٥﴾ إِلَّا عَلَىٰ أَزْوَاجِهِمْ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُمْ فَإِنَّهُمْ غَيْرُ مَلُومِينَ ﴿٦﴾ فَمَنِ ابْتَغَىٰ وَرَاءَ ذَٰلِكَ فَأُولَـٰئِكَ هُمُ الْعَادُونَ ﴿٧﴾

Maksudnya: “Dan mereka yang menjaga kehormatannya, kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela. Kemudian, sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas.”

Kesan buruk daripada filem seperti ini boleh mencetuskan perbualan dan perbincangan sesama kaum lelaki tentang perkara yang tidak sepatutnya. Tambahan pula, terdapat pelakon bukan Islam yang terlibat dengan platform lucah turut menjadi watak penting dalam filem tersebut. Seolah memasarkan unsur lucah dalam dunia seni filem.

Malah, Imam al-Zahabi yang meriwayatkan dari Ahnaf bin Qais bahawa: “Elakkan majlis (perkumpulan) sesama kita daripada berbicara mengenai perempuan dan makanan. Sesungguhnya aku benci akan lelaki yang asyik berbicara mengenai seks dan keperluan perutnya.” 

Oleh itu, jelas haram menjadikan wanita itu sebagai objek melakukan aksi yang berbaur lucah dengan tujuan pemasaran sebuah filem. Jika sesebuah filem yang akan ditayangkan bersifat seram sudah tentu trailer yang ditayangkan juga bersifat seram tanpa unsur lucah. Cara yang betul sudah tentu akan menarik perhatian penggemar cerita seram, menarik perhatian dengan cara yang lucah hanya mengundang kemaksiatan dan para penggemarnya.

KESAN BURUK PADA PENONTON

Keruntuhan akhlak dan budaya kita ini berpunca daripada laman sesawang yang mendedahkan bahan-bahan porno yang mudah diakses di internet dan salah satunya adalah daripada penerbitan filem seperti ini. Walaupun telah dinyatakan oleh pihak LPF bahawa genre lucah tersebut hanyalah sedikit sahaja berbanding genre seram yang akan ditayangkan, ianya memberikan impak yang besar kepada masyarakat.

Pendedahan seperti inilah yang menyebabkan pornografi menjadi suatu perkara yang biasa. Sekalipun ianya bersifat soft porn tetap ianya akan menjerumuskan seseorang kedalam dunia porno. Pornografi mendatangkan kesan negatif kepada semua peringkat sama ada kepada golongan dewasa, remaja mahupun kanak-kanak.

Dr. Victor Cline, pakar psikoterapi dan juga Professor Emeritus dalam bidang Psikologi di University Utah, Salt Lake City, dalam menangani masalah ketagihan seks menyatakan penggunaan pornografi dilakukan secara berterusan dan jika dibiarkan akan membawa kepada ketagihan yang lebih teruk (bermula daripada soft pornography kepada hard core pornography).

Beliau juga menyatakan pornografi juga boleh membawa kepada tingkah laku seksual yang buruk dan tidak normal. Hal ini berlaku kerana penonton pornografi akan cuba beraksi berdasarkan pada apa yang dilihat, berfantasi dan berakhir dengan keputusan atau hasil yang merosakkan atau menghancurkan seseorang.

Islam yang membawa kepada kerahmatan, kemuliaan dan kebaikan telah menegaskan bahawa seseorang itu jika melihat sesuatu perkara yang bukan haknya maka hendaklah ia menundukkan pandangan.

Ia juga akan membersihkan hati. Sebaliknya mata yang dibiarkan bebas tidak dapat lari daripada melihat perkara-perkara yang haram dan perkara-perkara yang dilihat itu akan melekat pada hati seterusnya membentuk cita-cita dan khayalan yang panjang serta terjauh dari mengerjakan kebaikan.

Ibn Qayyim dalam al-Jawab al-Kafi li Man Saala al-Adawa’ al-Syafi telah menukilkan berkenaan kesan dan pengaruh maksiat. Antaranya ialah:

  1. Terhalang dari mendapat ilmu
  2. Terhalang dari rezeki yang murah
  3. Merasa jauh dari rahmat Allah
  4. Merasa terpinggir dari hubungan sesama manusia
  5. Segala urusan menjadi sukar dan sulit
  6. Hati menjadi gelap
  7. Terhalang dari melakukan ketaatan
  8. Boleh memendekkan umur seseorang
  9. Mengheret kepada kemungkaran yang lain
  10. Melemahkan ransangan ketaatan

Ini semua bukanlah daripada budaya masyarakat Malaysia yang sinonim dengan kelembutan, kebaikan, perasaan malu yang tinggi dan adab-adab yang baik serta sopan santun. Benarlah kata baginda Rasulullah didalam sebuah hadis iaitu: Jika kamu tidak ada perasaan malu, maka buatlah sesuka hati kamu. 

Kepada ibu-bapa, perhatikanlah sikap atau tingkah laku anak-anak dan didiklah mereka sebaik mungkin agar tidak terlibat dalam perbuatan yang dilarang Allah selain memantau aktiviti dilakukan.

Kepada pemuda-pemuda yang ingin menceburi dan dalam bidang penerbitan filem, jangan cemari ilham dan kelebihan yang dikurniakan dengan menghasilkan karya yang menjadi rantaian dosa. Rugilah jika idea dan seni yang dipamerkan jelas berharga dan mahal namun memasukkan unsur yang diharamkan demi mengikut trend semasa.

Wallahua’lam.

Sudahkah Anda Menjadi Tangan Yang Memberi?

Jika belum jom sama-sama dengan Perkim Datuk Keramat membantu mereka yang dalam kesusahan seperti ibu tunggal, mereka yang menghidap penyakit kronik dan pelbagai lagi. Sesungguhnya sedikit sumbangan anda, memberi 1000 kemanisan untuk mereka

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top