AMALAN SUNNAH DALAM BULAN RAMADHAN

AMALAN SUNNAH YANG DIGALAKKAN

Pada artikel yang lepas, secara umumnya dapat diketahui bahawa bulan inilah digalakkan untuk memperbanyakkan ibadah. Ibadah yang fardhu telah menajdi kewajipan bagi setiap orang tanpa mengira bangsa dan bulan apa sekalipun. Namun, pada bulan Ramadhan ini sangat dianjurkan untuk melakukan ibadah sunat. Ibadah sunat itu juga ada yang boleh dilakukan pada bulan yang lain dan ada yang khusus dalam bulan Ramadhan sahaja. Justeru, apakah ibadah sunat tersebut?

Amalan sunnah biasa yang boleh diteruskan dan digandakan pada bulan Ramadan

  • Tadarus Al-Quran

Saban tahun kita cuba dan cuba untuk memperbanyakkan bacaan al-Quran. Ada yang meletakkan matlamat untuk khatam sekali, dua kali bahkan ada yang tiga kali.oleh sebab itu,jarang sekali kita akan menjumpai kuliah subuh atau kuliah maghrib dijalankan di masjid ataupun surau. Hal ini kerana, setiap individu berkejar-kejaran dalam melaksanakan amalan sunat ini.

Dari Ibnu Abbas RA dia berkata; “Rasulullah SAW adalah orang yang paling pemurah, dan beliau lebih pemurah lagi ketika bertemu Jibril. Jibril bertemu dengan Nabi setiap malam Ramadan untuk mengkaji/mengulang (mudarasah) Al-Quran. Sungguh Rasulullah SAW lebih pemurah daripada angin yang bertiup.” (HR. Bukhari)

  • Berzikir dan Berselawat

Amalan ini adalah antara amalan yang sangat mudah untuk dilakukan, terutamanya untuk wanita haid yang tidak boleh membaca Al-Quran. Terhalangnya seseorang daripada membaca al-Quran bukanlah penghalang baginya untuk melakukan ibadah kepada Allah SWT. Dengan zikrullah dan selawat, seorang wanita yang dalam keadaan haid turut boleh disibukkan diri dengan amalan sunat dan bukannya dengan perkara-perkara yang tidak bermanfaat.

Terdapat banyak selawat yang boleh diamalkan seperti seperti selawat keatas nabi Muhammad SAW, selawat tafrijiyah, selawat ibrahimiyyah dan sebagainya. Begitu juga dengan zikrullah. Ambillah satu zikir yang membuatkan diri kita terasa lebih dekat dengan Pencipta. Agar dengan amalan ini akan mendorong hati untuk lebih istiqamah dalam beribadah kepada Allah SWT.

  • Perbanyakkan Berdoa

Bagi seorang Muslim, kita sentiasa dituntut untuk berdoa kepada Allah SWT. Hal ini menunjukkan betapa lemahnya kita dihadapan Allah SWT bahawa tiada daya dan upaya bagi kita untuk mendapatkan atau melakukan sesuatu perkara melainkan dengan izinNya. Setiap hari kita bacakan ayat ke-5 daripada surah al-Fatihah dalam setiap rakaat solat kita tentang betapa berharapnya kita untuk beribadah dan memohon pertolongan dengan Allah SWT. Sikap ini jugalah yang mengajarkan diri kita erti kehambaan dan rendah hati.

Berdoa ini juga ada waktu disebutkan didalam hadith tentang waktu dan tempat yang dimustajabkan Allah SWT bagi doa tersebut. Alangkah seronoknya apabila seorang anak itu diperkenankan permintaannya oleh kedua orang tuanya. Inikan pula permintaan seorang hamba kepada Penciptanya yang sudah jelas bahawa setiap permintaan itu, satupun tidak terbatas bagi Allah SWT untuk perkenankan.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tiga doa yang tidak akan ditolak iaitu doa orang tua, doa orang berpuasa dan doa orang bermusafir.” (HR Baihaqi)

Justeru, perbanyakkanlah berdoa kepada Allah SWT. Setiap nikmat yang kita terima pada hari ini adalah kerana doa kita yang lepas. Jangan pernah putus harap dengan Tuhan. Sesungguhnya yang sering mengecewakan manusia itu sendiri adalah manusia juga. Selain itu, kita juga dituntut untuk berdoa ketika ingin berbuka dan selepas berbuka kerana terdapat keberkatan dalam makanan tersebut.

SUNNAH SETAHUN SEKALI

  • Melewatkan Bersahur

Antara amalan sunnah Rasulullah SAW di bulan Ramadan adalah melewatkan bersahur. Baginda tetap makan sahur meskipun sedikit, ia untuk membezakan puasa umat muslim dengan ahli kitab. Rasulullah SAW bersabda:

تَسَحَّرُوا فَإِنَّ فِي السَّحُوْرِ بَرَكَةً

Maksudnya: “Sahurlah, kerana dalam sahur itu ada keberkatan.” (HR Bukhari)

عَنْ عَمْرِو بْنِ الْعَاصِ أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: فَصْلُ مَا بَيْنَ صِيَامِنَا وَصِيَامِ أَهْلِ الْكِتَابِ أَكْلَةُ السَّحَرِ

Dari Amru bin al-‘Ash, Rasulullah SAW bersabda, “Beza antara puasa kita dengan puasa ahli kitab adalah makan sahur.” (HR Muslim)

Biasanya anak muda zaman sekarang tidak suka nak bangun sahur. Ada tu yang makan sahur lewat malam, iaitu sebelum nak tidur. Tapi sebenarnya, sunnah Rasulullah adalah dengan melewatkan sahur.

عَنْ أَبِي حَازِمٍ أَنَّهُ سَمِعَ سَهْلَ بْنَ سَعْدٍ، يَقُولُ: كُنْتُ أَتَسَحَّرُ فِي أَهْلِي، ثُمَّ يَكُونُ سُرْعَةٌ بِيْ أَنْ أُدْرِكَ صَلاَةَ الفَجْرِ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

Dari Abu Hazim, dia mendengar Sahal bin Sa’ad berkata, “Aku sahur bersama keluargaku, kemudian aku buru-buru menyelesaikannya untuk bisa dapat solat Subuh berjamaah bersama Rasulullah SAW.” (HR Bukhari)

Keberkatan Bersahur

Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam mensyarahkan hadith ini menyebut: “Berkat pada sahur terhasil daripada sudut yang pelbagai, iaitu mengikut sunnah, serta berlawanan dengan ahli kitab, dan ianya menguatkan tenaga untuk melakukan ibadah puasa, serta menambahkan semangat untuk berpuasa, menahan daripada perbuatan yang tidak baik disebabkan oleh lapar, penyebab memberi sedekah kepada yang meminta, dan sebab kepada berzikir dan berdoa, waktu mustajab untuk berdoa, dan waktu niat untuk berpuasa bagi yang lupa berniat sebelum tidur.

Imam al-Nawawi dalam syarahnya pula menyebut: “Pada hadith ini menunjukkan galakan untuk bersahur. Ulama’ telah bersepakat bahawa bersahur itu sunat dan digalakkan, dan ianya bukanlah wajib, namun pada zahirnya, terdapat berkat dalam sahur itu kerana ianya menguatkan dan memberi semangat untuk berpuasa, menjadikannya sebab dan galakan untuk menambahkan puasa disebabkan keringanan beban bagi orang yang telah bersahur, dan ia adalah pandangan yang tepat yang muktamad pada maknanya. Dan dikatakan: ditambah pula dengan perbuatan bangun, berzikir, berdoa pada waktu yang mulia, iaitu waktu diturunkan rahmat, dimaqbulkan doa dan istighfar.

Justeru, keberkatan bersahur yang ditunjukkan dalam hadith ini terbahagi kepada dua jenis keberkatan:

  1. Keberkatan Syar’iyyah: iaitu keberkatan dalam mengikut sunnah baginda Rasulullah SAW, mendapat ganjaran dan pahala, penyebab kepada berzikir, berdoa, beristighfar pada waktu sahur yang merupakan waktu yang mustajab doanya.
  2. Keberkatan Badaniyah: iaitu keberkatan pada sahur tersebut memberikan bekalan nutrien dan tenaga kepada badan serta menguatkan semangat untuk berpuasa, dan menahan diri daripada melakukan perbuatan yang tidak baik disebabkan oleh lapar.
  • Menyegerakan Berbuka Puasa

Sunnah seterusnya adalah menyegerakan berbuka puasa. Haa, yang ni mesti ramai yang ikut sunnah, betul tak? Kalau sebelum ini tidak tahu waktu Maghrib namun pada bulan inilah ramai yang ingat masuknya waktu Maghrib. Menurut satu riwayat, Rasulullah akan berbuka puasa dengan beberapa biji kurma muda (ruthb atau kurma basah) sebelum melakukan solat (Maghrib). Jika tidak menemukan kurma muda, maka Baginda berbuka dengan beberapa biji kurma matang (tamr atau kurma kering). Jika tidak menemukannya juga, maka Baginda berbuka dengan beberapa teguk air.

Daripada hadith ini menunjukkan bahawa, walaupun kita tidak punya makanan untuk berbuka, kita tetap dituntut untuk makan makanan yang ada untuk berbuka sebelum menunaikan solat Maghrib. Jika dikhuatiri tidak larat untuk menunaikan solat Maghrib, berbukalah dengan manisan terlbih dahaulku seperti air manis dan buah-buahan. Setelah selesai solat Maghrib makanlah mengikut keperluan agar pada solat Isya tidak terlalu kenyang dan penuh.

“Manusia akan sentiasa berada dalam kebaikan selama mereka menyegerakan berbuka.” (HR. Bukhari & Muslim)

  •  Solat Terawih/Qiyam Ramadan

Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّهُ مَنْ قَامَ مَعَ الإِمَامِ حَتَّى يَنْصَرِفَ كُتِبَ لَهُ قِيَامُ لَيْلَةٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya orang yang Qiyam bersama imam sampai imam pulang maka itu ditulis seolah-olah Qiyam semalam penuh.” (HR. At-Tirmidzi)

Selalu terjadi dalam kalangan masyarakat kita iaitu selepas selesai solat tarawaih terus pulang kerumah tanpa menyertai solat witir. Alasannya, ingin moreh di rumah, solat witir ketika qiamullail dan sebagainya. Sedangkan di kebanyakan masjid ataupun surau telah banyak menyediakan juadah ketika moreh. Bagi yang ingin menunaikan witir ketika qiamullail pula, dibolehkan untuk menunaikan witir di masjid selepas solat tarawih. Kemudian, apabila bangun malam untuk menunaikan solat sunat, tidak perlu lagi melakukan solat sunat witir.

  • Bersedekah dan Memberi Makan Orang Berbuka

Pada artikel yang lepas telah membincangkan tentang ciri mukmin sejati yang dermawan. Sedekah ini bukanlah tertakluk dalam bentuk wang dan harta sahaja. Pada bulan Ramadhan ini sangat digalakkan bagi kita untuk memberi makan kepada orang Muslim yang lain.

Daripada Zaid bin Khalid, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَن فَطَّرَ صَائِمًا كَانَ لَهُ مِثلُ أَجْرِهِ، غَيْرَ أَنَّهُ لَا يَنْقُصُ مِن أَجْرِ الصَّائِمِ شَيئًا

Maksudnya: “Siapa yang memberi makan orang yang berpuasa maka baginya pahala seumpamanya tanpa sedikitpun kurang pahala orang berpuasa.” (HR. Ahmad, AT-Tirmidzi & Al-Baihaqi)

Sesungguhnya nikmat bagi orang yang berpuasa adalah bersahur dan berbuka. Namun, tidak semua orang dapat merasai nikmat tersebut terutamanya bagi golongan yang fakir, homeless dan banyak lagi. Bahkan ada juga dalam kalangan pelajar universiti tempatan dan di perantauan yang tiada duit poket untuk membeli makanan berbuka. Ingin meminta ibu bapa takut menyusahkan, ingin mengemis dengan kawan risau dibenci pula. Inilah realiti bagi seorang pelajar dalam meneruskan pelajaran dalam keadaan mengikat perut.

Walaupun begitu, bulan Ramadhan adalah bulan yang ditunggu-tunggu oleh pelajar universiti. Hal ini kerana begitu banyak insan prihatin yang memberikan makan di masjid/surau. Bahkan di masjid yang berdekatan turut menyediakan juadah berbuka. Betapa besar nikmatnya dapat memberikan orang lain makan. Lebih seronok lagi apabila dapat turun berbuka sama dengan orang yang diberikan makan.

Daripada Ummu Ammarah, Rasulullah SAW bersabda:

 إِنَّ الصَّائِمِ إِذَا أَكَلَ عِندَهُ لمَ تَزَل تُصَلِّي عَلَيهِ المَلائِكَةُ حَتََى يَفْرُغَ مِن طَعَامِهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya orang yang berpuasa apabila makan bersamanya orang berpuasa yang lain, maka sentiasalah para malaikat mengucap selawat ke atasnya sehingga selesai daripada makannya.” (HR. Ahmad, AT-Tirmidzi & Al-Baihaqi)

terdapat banyak lagi amalan sunnah yang lainnya tidak disebutkan disini namun inilah antara amalan sunnah yang mudah untuk dilakukan. Semoga penulisan ini mendatangkan manfaat kepada para pembaca.

Wallahua’alam.

Anda mencari platform untuk bersedekah di bulan yang mulia ini? Boleh klik pada butang “bantu mereka” dibawah  untuk disalurkan sumbangan anda. Semoga Allah SWT merahmati kehidupan orang yang memberikan sumbangan kepada golongan yang memerlukan. Terima Kasih.

Sudahkah Anda Menjadi Tangan Yang Memberi?

Jika belum jom sama-sama dengan Perkim Datuk Keramat membantu mereka yang dalam kesusahan seperti ibu tunggal, mereka yang menghidap penyakit kronik dan pelbagai lagi. Sesungguhnya sedikit sumbangan anda, memberi 1000 kemanisan untuk mereka

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *