DEFINISI POLITIK DAN KEPENTINGAN POLITIK DALAM NEGARA : PERLU KE AMBIL TAHU?

PENGENALAN

Mutakhir ini, umat Islam semakin kurang minat dan prihatin terhadap poltik semasa di negara ini. Apabila ditanya mengundi siapa tidak mampu untuk memberikan jawapan, bahkan ada yang lagsung idak mengundi. Pada asasnya, keperluan dalam mengetahui dan memahami politik semasa adalah satu tanggungjawab yang sewajarnya diambil berat bagi mereka yang mengaku sayang akan tanah tumpah darahnya. Sehinggakan, ada yang berpendapat bahawa biarlah siapapun yang akan memerintah asalkan negara aman. Walhal aman dari sudut pandang Islam semakin luput bahkan agama Islam menjadi taruhan.Pada hari ini kita amat memerlukan sebuah kefahaman yang sebenarnya bersumberkan kepada rujukan al-Quran dan al-Sunnah berkenaan dengan politik dalam Islam.

Hasil gambaran dan lakonan mereka yang berpolitik dengan cara yang tidak beretika dan tidak menurut lunas-lunas syarak menyebabkan sebahagian pemikir-pemikir Islam menganggap politik amat kotor dan hina seperti kata Badiuzzaman Said al-Nursi: “Aku berlindung daripada syaitan dan siyasah.” Walaupun begitu, Syeikh al-Islam yang terakhir bagi khalifah Uthmaniyyah, Syeikh Mustafa Sabri menganggap wajib dan perlu bagi umat Islam memahami politik dan menempatkan diri di persadanya jika berkelayakan dan mempunyai sifat-sifat kepimpinan. Ini kerana ia termasuk dalam urusan menegakkan syariat dan Daulah Islamiyyah sebagaimana Baginda SAW mengasaskan Negara Islam Madinah.

Justeru, artikel ini akan membincang dan membahaskan tentang politik menurut Islam dan kepentingannya kepada sesebuah negara. Dari itu, kita akan menjadi lebih cakna isu semasa dan berhati-hati dalam memilih pemimpin.  

DEFINISI POLITIK

Definisi politik dalam Kamus Dewan ditakrifkan kepada beberapa takrif:

  • Ia merupakan ilmu, ilmu (pengetahuan) berkenaan cara pemerintahan (dasar-dasar pemerintahan dan lain-lain), ilmu siyasah dan ilmu kenegaraan.
  • Segala sesuatu berkenaan pemerintahan sesebuah negara atau hubungannya dengan negara lain.
  • Kelicikan, muslihat, tipu muslihat. Berpolitik pula ditakrifkan sebagai mengambil bahagian dalam politik, menjalankan (mengamalkan) politik.

Mempolitikkan pula ditakrifkan sebagai memasukkan ke dalam urusan politik, menjadikan sebagai urusan politik, menjadikan (sesuatu) kelihatan ada kaitannya dengan politik. 

Perkataan politik berasal daripada kata akar polis dari Bahasa Greek, yang bererti negara, kota, dan kemajuan. Istilah politik dipopularkan oleh Plato dalam bukunya Politea dan Aristotle dalam bukunya Politicia. Politik merupakan istilah yang digunakan untuk membincangkan konsep pengaturan masyarakat.

Dalam bahasa arab, politik juga dikenali sebagai siasah daripada perkataan (سَاسَ يَسُوْسُ سِيَاسَةً) yang memberi maksud cara mengurus tadbir dan memerintah, mengurus atau mengatur perkara mengikut syariat Islam. Antara perkataan yang hampir seerti dengannya ialah:

  • Al-Khilafah (الخلافة)
  • Al-Imamah (الإمامة)
  • Al-Siyadah (السيادة)
  • Al-Riyasah (الرياسة)
  • Al-Qiyadah (القيادة)[3]

Berdasarkan disiplin ilmu-ilmu Islam, perbahasan politik dibincangkan di bawah bidang fiqh dan bukan di bawah perbahasan aqidah. Justeru, politik Islam sering dikenali sebagai al-Siyasah al-Syar’iyyah, Fiqh al-Siyasah al-Syar’iyyah, al-Ahkam al-Sultaniyyah, dan lain-lain lagi.

KEPENTINGAN POLITIK ISLAM KEPADA SESEBUAH NEGARA

Aktiviti dan pelaksanaan politik di Malaysia sangat berperanan besar dalam membentuk cara hidup, berfikir, beragama bagi setiap rakyat dan dari sudut pandang lainnya iaitu kesan pada tahap ekonomi, pendidikan, kesihatan dan keamanan pada negara. Namun, itu semua adalah kesan yang akan ditentukan oleh pemimpin yang telah dipilih secara majoriti. Justeru, dapat disimpulkan beberapa kepentingan politik kepada sesebuah negara, antaranya:

  • Keperluan Kepada Kepimpinan

Sabda Nabi SAW:

كَانَتْ بَنُو إِسْرَائِيلَ تَسُوسُهُمُ الأَنْبِيَاءُ كُلَّمَا هَلَكَ نَبِيٌّ خَلَفَهُ نَبِيُّ, وَإِنَّهُ لَا نَبِيَ بَعْدِي وَسَتَكُونُ خُلَفَاءُ تَكْثُر

Maksudnya: “Adalah bagi Bani Israil, mereka diuruskan urusannya oleh para nabi (tasusuhumul anbiya). Ketika seorang nabi wafat, nabi yang lain datang menggantinya. Tidak ada nabi setelahku, namun akan ada ramai para khilafah.”(HR Bukhari)

Imam Nawawi menyebut dalam syarahnya terhadap Sahih Muslim antara lain berkata: “Bani Israil yang dipimpin oleh para nabi apabila wafatnya seorang nabi, akan diganti dengan nabi yang lain, yang menguruskan urusan mereka, bagi segala maslahah untuk mereka”.

Jawatan pemerintah tertinggi sangat penting untuk merealisasikan kewujudan sebenar umat Islam. Oleh itu, pemerintah mesti diwujudkan dan dilantik untuk memimpin umat Islam kerana sebab-sebab berikut:

  1. Antara tanggungjawab terbesar yang diperintahkan oleh Allah kepada hamba-hamba-Nya yang muslim adalah supaya mereka bersatu dengan cara berpegang kepada agama Allah SWT dan tidak berpecah atau bertelagah sesama sendiri. Kedudukan pemerintah di kalangan semua individu umat pula adalah umpama paksi pada sesuatu bulatan. Dialah yang akan merealisasikan perpaduan dan menjaga keutuhan mereka melalui kepimpinannya. Jawatan tersebut amat perlu demi kestabilan undang-undang dan keharmoniaan keadaan. Ia turut dirasai oleh spesis haiwan dan ternakan.
  2. Sebahagian besar pelaksanaan hukum-hakam dalam syariat Islam tertakluk kepada kuasa pemerintah. Hukum-hakam itu tidak mungkin dapat dilaksanakan kecuali melalui kuasa dan arahan pemerintah, seperti menghakimi kes-kes mahkamah, melantik para penjaga, mengisytiharkan halangan (al-hajr) dan perang, memeterai perdamaian dan sebagainya. Oleh itu, bagi membolehkan hukum-hakam syarak dilaksanakan sepenuhnya dengan cara yang betul dan diterima oleh Allah SWT, mestilah ada pemerintah yang akan melaksanakan hukum-hakam itu dan memantau perlaksanaannya.
  3. Dalam syariat Islam, terdapat satu kategori hukum yang disebut sebagai hukum-hakam imamah (pemerintahan) atau hukum-hakam siyasah syar’iyyah (politik Islam). Hukum-hakam dalam kategori ini bersifat fleksibel dan syara’ tidak memutuskannya secara terperinci. Sebaliknya hukum hakam dalam kategori ini diserahkan kepada pendapat dan ijtihad pemerintah berdasarkan kepentingan dan keadaan umat Islam. Contohnya, sebahagian besar hukum hakam berkaitan sistem pengurusan kewangan, gerakan ketenteraan dan pengurusan tawanan. Jika tiada pemerintah yang berkemampuan dan berwibawa untuk menduduki jawatan ini, sudah tentu segala hukum-hakam ini akan terus tergantung tanpa dapat dilaksanakan.
  4. Umat Islam sentiasa terdedah kepada kemunculan kumpulan pelampau di kalangan mereka yang menimbulkan ketidakstabilan dalam masyarakat Islam. Mereka didorong oleh hawa nafsu atau fahaman-fahaman sesat yang berselindung di sebalik nama agama atau pemulihan masyarakat.
  • Dalil Kewajipan Melantik Pemimpin

Sabda Baginda Nabi SAW:

لاَ يَحِلُّ لِثَلَاثَةٍ يَكُوْنُوْنَ بِفَلَاةٍ مِنَ الْأَرْضِ إِلَّا أَمَّرُوا أَحَدَهُمْ

Maksudnya: “Tidak harus bagi tiga orang yang berada di tengah-tengah bumi yang lapang (bermusafir), melainkan mereka mesti melantik salah seorang mereka sebagai pemimpin.”(HR Ahmad)

Ibn Taimiyah berkata: “Kalaulah diwajibkan memilih salah seorang sebagai pemimpin dalam jemaah yang paling sedikit (tiga orang) dan dalam kumpulan yang paling kecil, maka ini adalah peringatan tentang kewajipan tersebut bagi kumpulan yang lebih ramai.” 

Telah ijmak para ulama tentang kewajipan melantik imam (pemimpin) sepertimana kata Imam al-Nawawi rahimahullah: “Telah ijmak para ulama bahawa wajib atas orang Islam melantik khalifah.” 

Ibn Khaldun berkata: “Melantik pemimpin adalah wajib dan kewajipan tersebut dapat diketahui dalam syarak dengan ijmak para sahabat dan tabiin kerana para sahabat Rasulullah SAW ketika wafatnya Baginda, mereka bersegera memberi taat setia kepada Abu Bakar RA dan menyerahkan kepadanya urusan mereka. Demikianlah pada setiap zaman dan perkara ini telah tetap sebagai ijmak yang menunjukkan kewajipan melantik pemimpin.” 

  • Mengamalkan Sistem Pemerintahan Islam

Ada sebahagian tokoh Islam telah mengemukakan pendapat yang songsang dan menafikan sistem politik Islam dengan pelbagai hujahan yang amat lemah dan telah disanggah oleh sekian ramai para ulama.

Orang yang pertama menolak sistem politik Islam secara keseluruhan dan cuba membuktikan bahawa syariat Islam adalah syariat yang bersifat spiritual semata-mata, yang datang untuk mengatur hubungan antara manusia dan Tuhan-Nya sahaja, tiada hubungan antara hukum dan politik, tugas Nabi Muhammad SAW tiada kaitan dengan pemerintahan serta perlaksanaannya dan tidak melebihi batasan penyampaian (dakwah), membawa berita gembira dan memberi amaran ialah Ali Abdul Raziq melalui bukunya “Islam dan Dasar Pemerintahan” yang dicetak pada awal April tahun 1925. Beliau mendapat tentangan yang hebat kerana ia bertentangan dengan dasar-dasar Islam, sebaliknya secocok dengan tujuan penjajahan Barat ketika itu. Walaupun begitu dikatakan Syeikh Muhammad al-Ghazali telah menolak buku tersebut dengan penghujahan yang begitu kuat.

Hal ini kerana, jika agama hanya bersifat individual dan spiritual yang hanya diamalkan secara sendiri antara diri dan Tuhan bagaimana kiranya jika sebuah negara yang dipimpin oleh orang kafir dan kemudiannya penganut agama Islam dihalang daripada beribadah dan diancam bunuh. Pemimpin yang memahami konsep Islam akan membela agama Islam di sesebuah negara disamping menjaga rakyat yang berlainan agama.

  • Menolak Fahaman Pemisahan Politik Dengan Agama

Pemisahan politik dari Islam mula berlaku apabila kenyataan “biarkan urusan politik bagi maharaja dan urusan agama bagi Allah” diperkenalkan dalam masyarakat Kristian pada zaman kegelapan di Barat. Pemisahan ini dinamakan sekularisme.

Dunia barat memisahkan politik dari agama Kristian ketika itu sebagai protes terhadap penguasaan melampau pihak gereja dalam kedudukan harian masyarakat feudal. Apabila masyarakat Islam dijajah dan diresapi dengan pengaruh Barat serta merebaknya fahaman kebendaan, fikiran mereka mulai diracuni oleh fahaman sekular tersebut. Islam melarang keras umatnya berpegang kepada fahaman tersebut kerana bagi Islam, politik adalah suatu perkara yang perlu bagi menegakkan agama sebagai satu cara hidup yang sempurna.

Ulama bersepakat menolak fahaman seperti ini yang mengakui agama hanyalah bersifat spiritual sedangkan agama Islam merupakan suatu cara hidup, begitu juga politik Islam. Kehidupan yang dilalui pada hari ini adalah sistem pemerintahan yang telah diperintahkan oleh pemimpin semasa. Tepuk dada tanya selera, adakah sistem berbentuk sekular atau sistem berlandaskan Islam yang kita mahukan.

  • Melahirkan Ekonomi Yang Bersih

Dengan adanya politik Islam, pemimpin akan lebih cakna akan sumber yang mampu dijana bagi negara tersebut adalah sumber yang baik. Bahkan kaedah yang digunakan juga adalah kaedah yang ditetapkan oleh Syariah Islamiyyah. Menjauhi perkara yang haram apetah lagi rasuah, menjadi pegangan khusus bagi pemimpin yang mengangkat panji dan syiar Islam. Melihat kepada realiti masa kini, Islam merupakan suatu perkara yang janggal dan semakin dipandang kolot oleh majoriti pandangan umum. Sedangkan orang Islamlah yang mula dipandang tinggi kerana kehebatan mereka dalam peradaban(seni), pendidikan(ilmu dan ulama) dan ekonomi(pembangunan negara) ketika era pemerintahan Abasiyyah.

  • Rakyat Cerminan Pemimpin

Hal ini sepertimana yang dinyatakan oleh Saidina Umar:

النَاسُ عَلَى دِينِ مُلُوكِهِمْ

Maksudnya: “Manusia adalah berdasarkan agama (cara hidup) pemimpinnya.”

Ucapan ini adalah menepati realiti kemasyarakatan dan inilah yang berlaku dalam kebanyakan kehidupan manusia. Justeru, dengan baiknya, pemimpin yang menjadi suri teladan, maka sudah barang tentu akan memberi kesan yang mendalam kepada masyarakat dan orang bawahannya.

Pernah terjadi, rakyat di zaman Umar bin Abdul Aziz begitu kuat taat dan Qiamullail. Ini kerana kesan daripada beliau sendiri yang cintakan Qiamullail. Justeru, sesungguhnya pemimpin benar-benar dapat mempengaruhi rakyat dan mereka begitu gembira melakukan amalan mengikut apa yang dilakukan oleh ketua mereka.

Terdapat banyak lagi kepentingan politik Islam kepada sesebuah negara terutama  negara yang bermajoriti agama Islam. Semoga dengan penulisan ini, pembaca lebih jelas tentang apa itu politik dan agama yang sememangnya tidak boleh dipisahkan. 

Sehubungan dengan itu, sekarang di Malaysia sedang melalui fasa PRU-15 selepas pembubaran parlimen tempoh hari. Setelah mengenali apa itu politik dan kepentingannya, mari kenali pula fasa sepanjang PRU dijalankan.

Wallahua’lam.

Sudahkah Anda Menjadi Tangan Yang Memberi?

Jika belum jom sama-sama dengan Perkim Datuk Keramat membantu mereka yang dalam kesusahan seperti ibu tunggal, mereka yang menghidap penyakit kronik dan pelbagai lagi. Sesungguhnya sedikit sumbangan anda, memberi 1000 kemanisan untuk mereka

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *