ISU DARK SIDE (DS) DI TWITTER

APA ITU DS?

Boleh dikatakan setiap orang mempunyai telefon pintar tanpa mengira had umur. Begitu juga dengan media sosial menjadi suatu platform yang wajib ada dalam telefon pintar. Terlalu banyak kebaikan yang kita mampu perolehi melalui media sosial. Melalui platform ini, kita mampu iklankan barang yang dijual, berdakwah, menyimpan memori dan sebagainya. Namun, setiap sesuatu perkara, pasti akan ada baik dan buruknya bergantung kepada si pengguna. Begitu banyak bentuk pemikiran yang salah, bebas bersuara melalui sosial media. Lebih teruk lagi, kini di media sosial, ‘Twitter’ terlalu banyak akaun pengguna yang menggelar diri mereka sebagai DS ataupun ‘Dark Side’. Pemegang akaun ini bebas memuatnaik video dan gambar yang berbaur lucah dan seksual. Bahkan, DS ini terdiri ramai daripada golongan perempuan. Melalui gambar dan video yang dimuatnaik semuanya untuk mendatangkan keuntungan dan kepuasan diri. Bukan itu sahaja, ada yang sanggup menerima bayaran daripada orang yang tidak dikenali demi maruah yang dipertaruhkan semalaman di hotel. Nauzubillah.

Mengenai hal ini, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Aku melihat ke dalam Syurga maka aku melihat kebanyakan penghuninya adalah fuqara’ (orang-orang fakir) dan aku melihat ke dalam Neraka maka aku menyaksikan kebanyakan penghuninya adalah wanita.” (Hadis Riwayat Al- Bukhari dan Muslim). Hadith ini menjelaskan bahawa antara penghuni paling ramai di neraka adalah wanita kerana banyak faktor. Salah satu daripadanya adalah dengan tidak menjaga aurat dan mendedahkan di tempat awam.

Perkara seperti ini, seharusnya dibendung dari awal lagi. Penyakit ini dilihat seperti barah yang semakin lama semakin membesar dan membahayakan generasi muda. Mereka terlalu berani sehingga hilang rasa malu untuk menayangkan wajah mereka didalam video ataupun gambar yang dipamerkan. Melihat isu begini, kita tidak layak untuk menghukum mereka seolah-olah mengetahui apa yang mereka lalui. Telah menjadi lumrah wanita itu bersifat malu dan lemah-lembut. Jika mereka bertindak sedemikian sudah tentu ada kisah gelap yang mengubah mereka. Justeru, kita perlu mengingatkan seluruh wanita yang beragama Islam agar mereka sedar betapa tingginya darjat mereka di dalam agama Islam dan keburukan pornografi disisi agama Islam

TANGGUNGJAWAB WANITA

Wanita ini disifatkan seperti permata di dalam Islam. Bukan sembarangan orang boleh menyentuh dan melihatnya. Hanya golongan yang tertentu sahaja yang boleh menyentuh dan melihat golongan wanita. Begitu mahal dan berharganya mereka disisi Islam. Namun, kenyataan mahal ini diangkat serta merta apabila mereka sendiri yang memilih jalan untuk menzalimi diri sendiri dengan menggadaikan maruah mereka. Sedangkan Islam menggariskan beberapa panduan dan kewajipan supaya kehormatan mereka sentiasa dan dijaga dan diangkat. Sepertimana yang telah dinyatakan sebelum ini, aspek yang ditekankan adalah bentuk pakaian yang patuh Shariah. Sesungguhnya, pakaian merupakan suatu lambang ketamadunan manusia sejak dahulu lagi dan berevolusi dari masa ke masa. Tamadun manusia yang semakin maju turut memberi impak terhadap cara manusia berpakaian, namun Islam yang juga merupakan agama yang lengkap dan sesuai meliputi semua zaman telah menggariskan beberapa peraturan atau pun syariat berkaitan pakaian yang seharusnya dipakai oleh pengikutnya.

  • Dalil Menutup Aurat Bagi Wanita

Pensyariatan mengenakan pakaian yang menutup aurat telah dinyatakan dalam al-Quran dan hadith. Allah berfirman dalam surah al-Ahzab ayat ke-59:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّبِىُّ قُل لِّأَزْوَٰجِكَ وَبَنَاتِكَ وَنِسَآءِ ٱلْمُؤْمِنِينَ يُدْنِينَ عَلَيْهِنَّ مِن جَلَـٰبِيبِهِنَّ ۚ ذَٰلِكَ أَدْنَىٰٓ أَن يُعْرَفْنَ فَلَا يُؤْذَيْنَ ۗ وَكَانَ ٱللَّهُ غَفُورًۭا رَّحِيمًۭا 

Maksudnya: “Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

Dan dalam hadith Nabi SAW juga telah menyebut yang bermaksud, “Daripada Aishah r.a bahawa Asma’ binti Abu Bakar menemui Nabi dalam keadaan berpakaian agak nipis lantas Nabi berpaling daripadanya dan berkata “wahai Asma’ sesungguhnya apabila sampai peringkat umur baligh, tidak harus dirinya dipandang kecuali ini sambil menunjuk kepada muka dan tapak tangannya.” (HR Abu Daud)

Menurut Rashid Rida (1404H), Allah SWT memerintahkan wanita agar menutup aurat kerana mengetahui bahawa wanita yang beriman adalah wanita yang baik kehormatannya dan dengan itu dia terhindar daripada kemudaratan orang munafiq dan fasiq serta kejahatan lelaki. Berdasarkan ayat tersebut juga, telah dinyatakan dengan jelas bahawa pakaian seorang wanita muslim adalah pakaian yang menutupi auratnya. Dalil-dalil yang telah dinyatakan menunjukkan bahawa muka dan tapak tangan merupakan dua anggota tubuh wanita yang diberi kelonggaran dan apa sahaja pakaian wanita hendaklah menutupi selain daripada dua bahagian ini.

  • Larangan Memakai Pakaian Ketat

Larangan bagi wanita berpakaian ketat pula adalah seperti yang terdapat dalam hadith Nabi SAW yang bermaksud, “Sesungguhnya Usamah pernah berkata: “Rasulullah SAW pernah memakaikanku baju Qibtiyyah yang tebal. Baju tersebut dihadiahkan oleh Dihyah al-Kalbi kepada beliau. Lalu aku memakaikan baju itu kepada isteriku. Rasulullah SAW bertanya kepadaku: ‘Kenapa engkau tidak memakai baju Qibtiyyah?’. Aku menjawab, ‘Baju tersebut ku pakaikan pada isteriku wahai Rasulullah’. Beliau berkata, ‘Suruhlah dia memakai baju rangkap di dalamnya kerana aku bimbang Qibtiyyah itu menggambarkan bentuk tulangnya”.

Menurut al-Albani (1423H), pakaian dalam yang diperintahkan oleh Nabi SAW agar dipakai oleh isteri Usamah bertujuan untuk menutupi bentuk tubuh meskipun kain tersebut tebal tetapi tekstur kain tersebut juga bersifat lembut dan lentur pada tubuh seperti sutera atau kain tenunan dari kibas yang dikenali pada zaman ini. Oleh itu, pakaian yang menutupi bahagian tubuh bukan sahaja menyelimuti tubuh badan tetapi juga seharusnya menyembunyikan bentuk tubuh badan yang berbentuk seperti dada, pinggang, tangan, kaki dan sebagainya kerana sifat menutupi seharusnya merangkumi aspek bentuk dan warna tubuh badan.

  • Larangan Memakai Pakaian Jarang

Begitu juga dengan larangan berpakaian jarang terdapat dalam hadith Nabi SAW yang bermaksud, “Dari Abu Hurairah r.a, beliau berkata: bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Terdapat dua golongan dari penduduk neraka yang belum pernah aku lihat: Satu kaum yang memiliki cambuk seperti ekor lembu untuk memukul manusia dan para wanita yang berpakaian tapi telanjang, berlenggang-lenggok kepala mereka seperti bonggol unta yang condong. Wanita seperti itu tidak akan masuk syurga dan tidak akan mencium baunya, walaupun baunya tercium selama perjalanan sekian dan sekian.” (HR Muslim)

Menurut al-Nawawi (1994), perkataan “berpakaian tapi telanjang” dalam hadis tersebut bermaksud; pertama, wanita yang mendapat nikmat tetapi tidak mensyukurinya. Kedua, wanita yang menutup sebahagian tubuhnya dan membiarkan sebahagian yang lain dan ketiga, wanita yang memakai pakaian nipis sehingga menampakkan warna tubuhnya. Berdasarkan hadith tersebut juga, dosa perbuatan yang dilakukan seperti yang dinyatakan menyebabkan seorang wanita tidak dapat memasuki syurga. Secara ringkasnya, wanita yang mengenakan pakaian nipis dan jarang secara tidak langsung telah mendedahkan aurat yang seharusnya ditutupi dengan sempurna.

  • Wanita Itu Untuk Dilindungi

Bab aurat bagi wanita sangat ketat dan berat demi memelihara kehormatan mereka. Terdapat banyak lagi dalil dan nas-nas yang menekanan tentang cara berpakaian bagi wanita. Inikan pula wanita yang bertelanjang bulat yang dimuatnaik di media sosial. Moga seluruh wanita Islam di luar sana dan yang membaca ini dipelihara Allah SWT daripada kancah maksiat.

Sungguhpun begitu, wanita merupakan insan yang lemah. Kadangkala, masalah yang dihadapi oleh mereka adalah kerana kegagalan seorang lelaki dalam hidup mereka untuk membimbingnya. Telah dinyatakan di dalam al-Quran dalam surah an-Nisa ayat ke-34:

ٱلرِّجَالُ قَوَّٰمُونَ عَلَى ٱلنِّسَآءِ بِمَا فَضَّلَ ٱللَّهُ بَعْضَهُمْ عَلَىٰ بَعْضٍۢ وَبِمَآ أَنفَقُوا۟ مِنْ أَمْوَٰلِهِمْ ۚ

Maksudnya: “Lelaki (suami) itu pelindung kepada perempuan (isteri), kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (perempuan), dan kerana mereka (lelaki) telah memberikan nafkah daripada hartanya.”

Daripada ayat ini, jelas bahawa wanita sememangnya perlu menjaga tanggungjawab mereka. Namun, bimbingan dan perlindungan daripada kaum lelaki lah yang diperlukan untuk menjaga dan mengangkat kehormatan mereka dan bukannya dihenyak. Hal ini kerana kerosakan pada mereka bukan berpunca dari diri mereka namun daripada kaum lelaki yang terlalu mengikutkan serakah nafsu sedangkan kekuatan yang dianugerahkan Allah adalah untuk melindungi wanita dan bukannya untuk melempiaskan nafsu

PORNOGRAFI DISISI ISLAM

Islam telah menjelaskan secara terperinci dalam aspek pendidikan seksual terhadap anak-anak. Antaranya adalah adab berpakaian, adab menutup aurat, adab pergaulan antara lelaki dan perempuan, dan juga adab menjaga pandangan mata daripada melihat perkara mungkar. Al-Quran telah memberi panduan dalam menangani isu pornografi. Agama Islam telah mengharamkan aktiviti pornografi melalui firman Allah SWT dalam surah An-Nur ayat ke-30 dan 31 sebagaimana berikut:

قُل لِّلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا۟ مِنْ أَبْصَـٰرِهِمْ وَيَحْفَظُوا۟ فُرُوجَهُمْ ۚ ذَٰلِكَ أَزْكَىٰ لَهُمْ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرٌۢ بِمَا يَصْنَعُونَ 

وَقُل لِّلْمُؤْمِنَـٰتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَـٰرِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menahan pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam Pengetahuan-Nya tentang apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menahan pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka.”

Perkataan ‘yaghuddhu min absarihim’ dan ‘yaghdudna min absarihinn’ menjelaskan tentang kewajipan menahan pandangan daripada melihat perkara yang diharamkan Allah. Menurut pandangan ulama fiqh, penglihatan adalah pintu kepada perbuatan mungkar yang menjadikan hati dan fikiran manusia dipenuhi khayalan, keinginan dan menimbulkan rasa ingin tahu (inkuiri) terhadap sesuatu. Keadaan ini akan menyebabkan seseorang terjatuh ke dalam fitnah, perbuatan zina dan salah laku seks.

Secara implisitnya, ayat ini mengandungi maksud kecaman dan cercaan terhadap orang yang gemar memerhatikan perkara yang diharamkan Allah. Apabila penglihatan secara tidak sengaja jatuh pada sesuatu yang diharamkan, seseorang itu harus segera mengalihkan dan menundukkan pandangannya. Menurut pandangan pengkaji, apa yang dibincangkan oleh Prof. Dr Wahbah az-Zuhaili ini termasuklah gambaran-gambaran pornografi yang membangkitkan syahwat manusia dan menjerumuskan manusia ke dalam perbuatan yang boleh mendatangkan keinginan seksual serta mendorong seseorang individu terlibat dalam aktiviti pornografi.

Ayat ini dapat difahami dalam konteks menjaga pandangan mata daripada melihat perkara yang diharamkan serta memelihara kehormatan diri daripada perbuatan yang merosakkan maruah. Pandangan mata yang dibiarkan bebas sudah pasti tidak dapat menahan keinginan daripada melihat perkara-perkara yang haram. Lantas imej atau gambaran yang dilihat itu akan melekat pada fikiran dan hati. Seterusnya ia akan membentuk keinginan dan khayalan yang panjang. Keadaan ini akan mengakibatkan manusia banyak berangan-angan dan jauh dari mengerjakan kebaikan.

Imej atau gambaran pornografi yang dilihat melalui mata akan melekat pada pemikiran manusia dalam jangka masa yang lama dan sukar dilupakan. Gambaran ini akan berulang-ulang datang dalam pemikiran manusia sehingga mengganggu fokus terhadap aktiviti yang dilakukan. Perkara ini pasti akan menghilangkan fokus belajar dalam kalangan pelajar remaja. Menurut pandangan ulama, sikap menundukkan pandangan daripada perkara yang haram akan dapat membersihkan hati dan mengindahkan akhlak seseorang individu.

Terdapat banyak lagi keburukan daripada pornografi dan tidak ada satu pun daripadanya yang boleh mendatangkan manfaat. Islam telah mendatangkan sunnah berkahwin untuk umat Islam lakukan. Justeru, jauhilah daripada maksiat yang boleh membawa kita kepada zina. Andai kata, kita pernah terlanjur perbuatan, cepat-cepat lah bertaubat kepada Allah SWT dan tidak mengulanginya kembali. Sesungguhnya pintu taubat Allah itu sentiasa terbuka.

Berbalik kepada isu pengguna akaun DS di Twitter, sama-samalah kita mendoakan mereka agar kembali ke pangkal jalan. Untuk ibu bapa, kerap kalilah untuk menyemak telefon bimbit anak-anak agar tidak terlibat dengan isu sebegini. Sebagai masyarakat awam, apa yang boleh kita lakukan adalah dengan menekan butang ‘report’ akaun DS secara beramai-ramai. Jika aplikasi Twitter tiada had halangan muatnaik video atau gambar berbaur seksual, menjadi tugas kita untuk segera menekan butang ‘report’ agar akaun tersebut dihapuskan dan boleh juga dilaporkan kepada pihak penguatkuasa. Melalui artikel ini, penulis juga mengharapkan tindakan yang aggresif daripada pihak penguatkuasa untuk membanteras isu DS di Twitter supaya masyarakat awam yang lainnya mengambil iktibar.

Wallahua’lam.

Sudahkah Anda Menjadi Tangan Yang Memberi?

Jika belum jom sama-sama dengan Perkim Datuk Keramat membantu mereka yang dalam kesusahan seperti ibu tunggal, mereka yang menghidap penyakit kronik dan pelbagai lagi. Sesungguhnya sedikit sumbangan anda, memberi 1000 kemanisan untuk mereka

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top