ISU PALUDAN BAKAR AL-QURAN, APAKAH TINDAKAN KITA?

ISU PALUDAN BAKAR AL-QURAN

ISU PALUDAN BAKAR AL-QURAN

Susulan tindakan membakar al-Quran oleh ahli politik ekstrim sayap kanan Denmark-Sweden, Rasmus Paludan di depan kedutaan Turkiye di Stockholm pada Sabtu lepas telah mendatangkan kemarahan orang ramai terutamanya orang Islam seluruh dunia.

Walaupun negara sana tidak melarang tindakan bersuara secara bebas, namun ramai orang Islam terkilan dengan pemerintahan sana yang tidak menghalang daripada perkara ini berlaku.

Tindakan ini secara jelas adalah tindakan menghina Islam dan al-Quran yang menjadi panduan dan wahyu buat semua umat Islam. Rakyat Malaysia mengutuk sekeras-sekerasnya tindakan tersebut selain menganggap perbuatan itu adalah biadab selain mencemar kitab suci umat Islam.

Sungguhpun cara untuk melupuskan al-Quran adalah dengan cara membakarnya, namun tindakan ahli politik tersebut berbeza dan jelas menghina agama Islam. Nas al-Quran dan hadith banyak menyebutkan tentang ancaman kepada penghinaan kepada agama Islam. Oleh itu, artikel ini akan membahaskan tentang hukum menghina al-Quran, kaedah pelupusan al-Quran yang betul dan apakah yang sewajarnya kita lakukan.

HUKUM MENGHINA AL-QURAN

Islam sangat melarang seseorang itu mencela agama lain. Hal ini kerana ia akan menimbulkan kemarahan penganutnya dan akan menyebabkan mereka bertindak balas dan mencela Islam kembali. Firman Allah SWT dalam surah al-An’am ayat ke-108:

وَلَا تَسُبُّوا الَّذِينَ يَدْعُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ فَيَسُبُّوا اللَّهَ عَدْوًا بِغَيْرِ عِلْمٍ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu memaki dan mencela sembahan yang mereka sembah selain Allah, kerana nanti mereka akan membalas dengan cara memaki Allah melampau-lampau pula tanpa ilmu.”

Al-Sabuni ketika menafsirkan ayat di atas menyatakan maknanya adalah janganlah kamu memaki atau mencela sembahan-sembahan orang Musyrikin dan berhala-berhala mereka kerana mereka kelak akan membalasnya dengan celaan kepada Allah dalam keadaan jahil dan bersifat melampau disebabkan mereka tidak mengetahui kebesaran Allah SWT. Ibn Abbas R.Anhuma menyebutkan bahawa orang-orang Musyrikin berkata: “Berhentilah daripada menghina tuhan-tuhan kami ataupun kami akan menghina Tuhan kamu.” Maka Allah SWT melarang orang-orang beriman daripada mencela atau memaki berhala-berhala mereka. 

Pada asasnya, al-Quran termasuk dalam kitab suci dan mukjizat terbesar Nabi Muhammad SAW. Al-Quran al-Karim adalah sebuah perlembagaan yang lengkap merangkumi seluruh hukum-hakam Islam. Al-Quran juga adalah sumber yang mencurahkan segala kebaikan dan ilmu ke dalam hati yang beriman. Bahkan, al-Quran adalah alat yang terbaik untuk para ahli ibadat mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan cara membaca dan bertadabbur.

Begitu juga mencintai al-Quran termasuk dalam salah satu tanda kecintaan seorang hamba kepada Allah SWT. Dr. Wahbah al-Zuhaili menukilkan daripada Sahl bin Abdullah yang menyebutkan, tanda seseorang itu mencintai Allah adalah dengan mencintai al-Quran, tanda seseorang itu mencintai al-Quran adalah dengan mencintai Nabi SAW, tanda seseorang itu mencintai Nabi SAW adalah dengan mencintai sunnah, tanda seseorang itu mencintai Allah, al-Quran, Nabi dan sunnah adalah dengan mencintai akhirat, tanda seseorang itu mencintai akhirat adalah dengan mencintai dirinya sendiri, tanda seseorang itu mencintai dirinya sendiri adalah dengan membenci dunia dan tanda seseorang itu membenci dunia adalah dengan dia tidak mengambil daripada dunia itu melainkan sebagai bekalan dan sekadarnya yang cukup sahaja bagi kehidupan. 

Perkara ini turut dinukilkan oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah daripada Ibn Mas‘ud R.A melalui pesananannya bahawa:

لَا يُسْأَلُ أَحَدُكُمْ عَنْ نَفْسِهِ إلَّا الْقُرْآنُ فَإِنْ كَانَ يُحِبُّ الْقُرْآنَ فَهُوَ يُحِبُّ اللَّهَ وَإِنْ كَانَ يُبْغِضُ الْقُرْآنَ فَهُوَ يُبْغِضُ اللَّهَ وَرَسُولَ

Maksudnya: “Janganlah ditanya seseorang daripada kamu itu tentang dirinya melainkan al-Quran. Hal ini kerana sekiranya dia mencintai al-Quran maka sesungguhnya dia mencintai Allah, dan sekiranya dia membenci al-Quran maka sesungguhnya dia (sebenarnya) membenci Allah dan Rasul-Nya.” 

Oleh sebab itu, sebahagian ulama meletakkan hukuman yang keras terhadap mereka yang mempermainkan dan menghina al-Quran. AL-Khatib al-Syirbini menyebutkan, di antara perbuatan yang boleh menyebabkan seseorang itu jatuh kufur ialah dia dengan sengaja menghina agama secara terang-terangan atau mengingkarinya seperti mencampakkan kotoran kepada mashaf (al-Quran) kerana perbuatan itu jelas menghina kalamullah, dan menghina atau merendah-rendahkan suatu ucapan (kalam) bermaksud dia telah menghina atau merendah-rendahkan pengucapnya.

Oleh itu, perbuatan menghina atau merendah-rendahkan al-Quran bukanlah sesuatu perkara yang boleh dipandang remeh atau ringan kerana berkemungkinan pelakunya boleh dianggap telah jatuh kufur.

KAEDAH PELUPUSAN AL-QURAN YANG BETUL

Mungkin ada yang terfikir bahawa tindakan paludan itu tidak salah kerana melupuskan al-Quran juga adalah dengan cara membakar. Namun terdapat tatacara dan kaedah yang tepat dan betul bagi melupuskan al-Quran.

Di antara kaedah yang telah yang disarankan oleh para ulama adalah dengan membakarnya. Hal ini berpandukan dengan apa yang dilakukan oleh Saidina Uthman bin ‘Affan R.A ketika proses pengumpulan al-Quran bahawa dia telah memerintahkan untuk mengumpul Mushaf yang dimansukhkan dan membakarnya bertujuan menjaga kesucian al-Quran. Hal tersebut sebagaimana yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.A:

أن عثمان بن عفان رضي الله عنه :أَمَرَ زَيْدَ بْنَ ثَابِتٍ ، وَعَبْدَ اللَّهِ بْنَ الزُّبَيْرِ ، وَسَعِيدَ بْنَ الْعَاصِ ، وَعَبْدَ الرَّحْمَنِ بْنَ الْحَارِثِ بْنِ هِشَامٍ ، فَنَسَخُوهَا فِى الْمَصَاحِفِ ، وَقَالَ عُثْمَانُ لِلرَّهْطِ الْقُرَشِيِّينَ الثَّلاَثَةِ : إِذَا اخْتَلَفْتُمْ أَنْتُمْ وَزَيْدُ بْنُ ثَابِتٍ فِي شَيءٍ مِنَ الْقُرْآنِ فَاكْتُبُوهُ بِلِسَانِ قُرَيْشٍ ، فَإِنَّمَا نَزَلَ بِلِسَانِهِمْ ، فَفَعَلُوا ، حَتَّى إِذَا نَسَخُوا الصُّحُفَ فِي الْمَصَاحِفِ رَدَّ عُثْمَانُ الصُّحُفَ إِلَى حَفْصَةَ ، وَأَرْسَلَ إِلَى كُلِّ أُفُقٍ بِمُصْحَفٍ مِمَّا نَسَخُوا ، وَأَمَرَ بِمَا سِوَاهُ مِنَ الْقُرْآنِ فِي كُلِّ صَحِيفَةٍ أَوْ مُصْحَفٍ أَنْ يُحْرَقَ

Maksudnya: “Sesungguhnya ‘Uthman bin ‘Affan R.A memerintahkan Zaid bin Thabit, Abdullah bin al-Zubair, Sai’d bin al-‘As dan ‘Abd al-Rahman bin al-Harith bin Hisyam supaya menulis semula dalam bentuk salinan Mushaf yang sempurna, ‘Uthman berkata kepada tiga orang lelaki Quraish: Sekiranya kamu tidak bersetuju dengan Zaid bin Thabit berkaitan sesuatu hal di dalam al-Quran, maka tulislah dalam gaya bahasa Quraish, sesungguhnya al-Quran diturunkan dengan bahasa mereka, lalu mereka melakukannya, sehingga menjadi banyak salinan daripadanya (mushaf), kemudian ‘Uthman memulangkan mushaf yang asal kepada Hafsah, dan dikirim ke seluruh pelusuk dunia, kemudian ‘Uthman memerintahkan supaya segala mushaf selain daripada mushaf yang asal agar dibakar.”

Imam Badr al-‘Aini dalam mensyarahkah hadis di atas menukilkan pandangan Ibn Battal dengan menyatakan:

فِي هَذَا الحَدِيث جَوَاز تحريق الْكتب الَّتِي فِيهَا اسْم الله، عز وَجل، بالنَّار وَإِن ذَلِك إكرام لَهَا وصون عَن وَطئهَا بالأقدام، وَقيل: هَذَا كَانَ فِي ذَلِك الْوَقْت، وَأما الْآن فالغسل إِذا دعت الْحَاجة إِلَى إِزَالَته

Maksudnya: “Pada hadis ini menyatakan harus membakar kitab yang terdapat padanya nama Allah SWT dengan api kerana memuliakannya dan menjaganya daripada dipijak. Pada pandangan yang lain menyatakan: pendapat ini merupakan pada masa itu, ada pun pada masa sekarang, maka dengan membasuhnya apabila berhajat untuk menghilangkan tulisannya.

Berkenaan dengan abu yang dibakar sebaiknya hendaklah dikumpulkan dan diletak ditempat yang selamat seperti ditanam pada tempat yang bersih dan tidak dilalui oleh orang ramai supaya tidak dipijak. Selain itu, boleh juga ia dihanyutkan ke dalam laut atau sungai yang mengalir. Ini bagi menjaga kesucian dan kemuliaan al-Quran serta dapat mengelak daripada perkara yang boleh mencemarkan kesucian al-Quran. Imam al-Zarkashi menukilkan di dalam kitabnya bahawa:

وَفَى الْوَاقِعَاتِ مِنْ كُتُبِ الْحَنَفِيَّةِ أَنَّ الْمُصْحَفَ إذا بلي لا يحرق بل تحفر لَهُ فِي الْأَرْضِ وَيُدْفَنُ

Maksudnya: “Apa yang terdapat di dalam karangan Mazhab Hanafi bahawa sesungguhnya apabila rosak (al-Quran) janganlah dibakar akan tetapi digali dan ditanam ia di dalam tanah.

Hal ini jelas seperti yang diputuskan di dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke 30 yang bersidang pada 22 Ogos 1992 menyatakan bahawa cara pembakaran adalah seperti berikut:

  • Bahan yang mengandungi ayat-ayat al-Quran yang dibakar hendak­lah menyeluruh tanpa tertinggal mana-mana bahagian yang tidak terbakar.
  • Bahan-bahan atau debu yang mengandungi ayat-ayat suci al-Quran yang telah dibakar hendaklah dipastikan di kumpul supaya tidak ditiup angin atau bersepah
  • Bahan yang telah dibakar hendaklah ditanam pada tempat yang bersih atau tempat yang tidak dilalui orang atau dibuang ke dalam laut/sungai yang mengalir airnya.
  • Kerja-kerja pembakaran hendaklah dikawal selia oleh pegawai Jabatan Agama atau pihak yang mahu melupuskan bahan-bahan tersebut.

Jelas disini bahawa melupuskan al-Quran mempunyai kaedah dan adab yang tertentu. Sudah dapat bezakan antara tindakan Paludan dan kaedah pelupusan al-Quran? 

APA YANG SEWAJARNYA KITA LAKUKAN?

Berbalik kepada isu penghinaan terhadap al-Quran itu, apa yang kita boleh lakukan sebagai seorang Muslim terutamanya di Malaysia. Kita mungkin tidak mampu untuk memerangi atau menentukan hukum kepada pesalah memandangkan kita bukanlah rakyat di negara sana. Oleh itu, ada dua cara bagi menunjukkan penentangan terhadap isu ini. Yang pertama adalah dengan cara yang lembut iaitu dengan cara mendoakan mereka dan yang kedua adalah memberikan kesan kepada tahap ekonomi mereka dengan cara memboikot produk daripada negara Sweden.

Selain itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia ke-10 telah menggesa kerajaan Sweden untuk ambil tindakan terhadap pelaku yang membakar al-Quran. Beliau juga mengarahkan serta-merta operasi mencetak sejuta al-Quran untuk diedarkan ke seluruh dunia sebagai reaksi balas kepada tindakan biadab membakar al-Quran di Sweden, baru-baru ini.

  • Cara Lembut

Kejadian penghinaan ini wajib kita benci perbuatan tersebut. Namun siapalah kita untuk menghukum seseorang sedangkan hidayah Allah SWT itu luas. Bukan itu sahaja, hukuman juga tertakluk kepada sistem pemerintahan sesebuah negara. Oleh itu, kita boleh mendoakan kepada pesalah tersebut sama ada mendoakan agar diberikan hidayah buatnya. Janganlah pula kita menunjukkan sikap yang buruk seperti menghina agama mereka, memaki hamun dan sebagainya. Tindakan ini juga dilaknat keras oleh Allah SWT bagi sesiapa yang menghina agama lain. Setelah berdoa, selebihnya adalah urusan Allah SWT dan Allah sentiasa tahu apa yang terbaik buat hambaNya.

  • Cara Keras

Selain berdoa, kita juga boleh bertindak dan memberi kesan kepada tahap ekonomi mereka. Salah satunya ialah dengan cara memboikot produk keluaran Sweden. Dengan cara ini, boleh memberikan pengajaran terhadap negara tersebut bahawa besar kesannya jika mencabar agama Islam. Antara produk yang boleh diboikot adalah IKEA, H&M, Ericcson, Electrolux dan Scania. Tindakan memboikot ini bukanlah dengan erti kita perlu membakar barang kepunyaan sendiri yang dibuat daripada Sweden. Dan bukan juga mendatangkan bahaya kepada perusahaan dan stor-stor yang telah disebutkan tadi. Boikot dengan cara berkempen dan menghentikan pembelian daripada perusahaan mereka buat sementara waktu. Jika tindakan ini dilakukan oleh seluruh Muslim disetiap negara, sudah tentu akan menjejaskan ekonomi negara Sweden. Secara tidak langsung mereka akan sedar tentang kepentingan menghormati agama Islam. Bahkan lebih baik lagi jika mereka sendiri yang melakukan permohonan maaf atas kelakuan yang buruk itu.

Disini jelas bahawa menghormati agama lain sangat dituntut bukan sahaja dalam agama Islam, bahkan agama selain Islam. Agama lain juga menganjurkan hormat-menghormati kerana tiada agama yang berteraskan kekerasan dan menolak keharmonian.

Sudah jelas? Lakukanlah yang makruf dan tinggalkan yang mungkar. Selain itu, sedekah muslim merupakan sebuah platform untuk mnyalurkan bantuan dan sumbangan kepada golongan yang memerlukan disamping menjadi suatu platform untuk anda dapatkan info-info terkini dan menyajikan artikel yang hangat dan berilmiah.

Wallahua’lam.

Ingin salurkan sumbangan? Klik link dibawah.

Sudahkah Anda Menjadi Tangan Yang Memberi?

Jika belum jom sama-sama dengan Perkim Datuk Keramat membantu mereka yang dalam kesusahan seperti ibu tunggal, mereka yang menghidap penyakit kronik dan pelbagai lagi. Sesungguhnya sedikit sumbangan anda, memberi 1000 kemanisan untuk mereka

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top