ISU PELAJAR INTERNSHIP (PRAKTIKAL) TERANIAYA DENGAN LAMBAKAN KERJA MARI LIHAT AKTA KERJA 1955

ISU PELAJAR INTERNSHIP (PRAKTIKAL) TERANIAYA DENGAN LAMBAKAN KERJA MARI LIHAT AKTA KERJA 1955

KURSUS INTERNSHIP/LATIHAN PRAKTIKAL

Semua pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) Malaysia perlu mengikuti kursus internship atau latihan praktikal sebelum menamatkan pelajaran mereka. Latihan praktikal kebiasaannya akan berjalan tidak kurang daripada 3 hingga 6 bulan mengikut tempoh yang ditetapkan oleh silabus kursus. Baru-baru ini, seorang pengguna Twitter telah membuat kenyataan bahawa pelajar latihan praktikal tidak mendapat perlindungan di bawah Akta Kerja 1955 seperti mana diterima oleh pekerja lain. 

Boleh dikatakan sekarang adalah tempoh bagi kebanyakan pelajar IPT melalui fasa Internship atau Latihan Praktikal dimana-mana syarikat yang berkaitan dengan bidang yang diambil mahupun sebaliknya bagi melengkapkan jam kredit sebagai kelayakan graduasi. Hampir setiap tahun mesti akan ada keluhan daripada pelajar yang melalui fasa Latihan Praktikal. Ada yang merungut setelah tamat belajar, ada yang mengadu sewaktu berkhidmat di syarikat dan ada yang berpuas hati dengan peluang dan tunjuk ajar yang diberikan. Kebanyakkan isunya adalah elaun tidak seperti dijanjikan, elaun tidak diberikan, lambakan kerja yang banyak dan waktu berkhidmat lebih daripada waktu bekerja (OT). Oleh itu mari kita fahami apakah yang telah tersedia didalam Akta Kerja 1955.

AKTA KERJA 1955

Akta Kerja 1995 telah menggariskan definisi “pekerja” menurut Jadual Pertama Subseksyen 2(1). Secara dasarnya, “pekerja” adalah seseorang yang telah menandatangani kontrak perkhidmatan dengan majikan. Perkara ini bermaksud pelajar latihan praktikal yang kebiasaannya tidak terikat dengan sebarang kontrak perkhidmatan tidak dilindungi di bawah Akta Kerja 1955. Tempat di mana pelajar menjalani latihan praktikal juga tidak dikenali sebagai ‘majikan’, tetapi sebagai ‘pembekal tempat latihan’.

Selain itu, majikan boleh menawarkan apprenticeship contract atau kontrak perantisan yang bermakna majikan bersetuju untuk melatih seorang perantis bekerja di bawah servisnya. Walau bagaimanapun, untuk kontrak ini tertakluk di bawah Akta Kerja 1955, kontrak tersebut perlu melebihi tempoh 2 tahun. Maka, ia tidak terpakai bagi pelajar praktikal yang selalunya hanya menjalani latihan industri antara 3 hingga 6 bulan.

TIDAK MENDAPAT PERLINDUNGAN AKTA

Apabila seseorang itu tidak dilindungi oleh Akta Pekerja 1955, ini bermakna dia tidak akan mendapat gaji minimum yang telah ditetapkan oleh Perintah Gaji Minimum 2022 sebanyak RM1,500 sebulan. Bermula 1 September 2019, kerajaan telah bersetuju untuk membayar pelajar latihan praktikal di kementerian, jabatan dan agensi kerajaan sebanyak RM5 sejam. Pada kadar ini, seorang pelajar latihan praktikal kerajaan akan menerima elaun sehingga RM900 sebulan bagi tempoh maksimum 90 hari, berbanding RM300 sebulan sebelum ini. Namun begitu, kadar elaun minimum ini tidak boleh diguna pakai bagi syarikat swasta. Bagi kedua-dua sektor kerajaan dan swasta, pelajar tidak akan dibayar elaun overtime (OT) atau lebih masa. 

Pelajar latihan praktikal juga tidak mendapat perlindungan lain di bawah Akta Kerja 1995, seperti berkenaan cuti rehat dan tempoh masa bekerja maksimum. Menurut Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), pelajar praktikal tidak diberikan cuti rehat seperti pekerja lain. Mereka boleh memohon kebenaran daripada syarikat untuk mengambil cuti, tetapi mereka tidak akan dibayar sebarang elaun bagi hari cuti tersebut atau perlu menggantikan cuti. Pada masa yang sama, memandangkan seorang pelajar praktikal bukan seorang ‘pekerja’, mereka tidak perlu memberikan notis satu bulan sekiranya ingin berhenti menjalani latihan praktikal. 

PELAJAR LATIHAN PRAKTIKAL TIDAK DILINDUNGI DI BAWAH AKTA KERJA 1955

Secara umumnya, tiada sebarang peruntukan berkenaan latihan praktikal di dalam Akta Kerja 1955. Hal ini jelas bahawa seorang pelajar latihan praktikal tidak akan mendapat perlindungan yang sewajarnya seperti seorang pekerja. Pembayaran elaun, tempoh waktu bekerja maksimum dan hal-hal lain mengenai latihan praktikal adalah tertakluk kepada budi bicara dan sifat kemanusiaan pembekal tempat latihan. 

Walaupun ketiadaan kontrak perkhidmatan antara pelajar dan pembekal tempat latihan, IPT boleh menyediakan sebuah garis panduan atau perjanjian latihan praktikal untuk membantu pelajar dalam pengalaman latihan praktikal mereka. Akaun Facebook Employment – Malaysia mencadangkan supaya pelajar mendapatkan perlindungan insurans sepanjang menjalani latihan praktikal. Pelajar juga boleh membuat aduan kepada IPT atau Pejabat Tenaga Kerja sekiranya dia disuruh melakukan tugas-tugas di luar bidang kursus atau merasa dia menjalankan tugas seperti pekerja syarikat berbanding sebagai pelajar praktikal.

KESIMPULAN

Sebagai seorang pelajar, anda sepatutnya diberikan Internship agreement oleh syarikat tersebut.Baca dengan teliti waktu bekerja, bayaran dan kesemuanya. Jangan hanya membuta tuli sahaja tandatangan sebab memikirkan “alah, intern je pun, apa je boleh jadi kan?”. Jangan sesekali fikir macam tu, dari sini lah terjadinya kesilapan besar. Kadang-kadang kes disuruh bekerja lebih masa semuanya ni dah biasa sangat terjadi terjadi tetapi ramai intern yang tak ambil pusing sangat sebab diorang rasakan yang ianya perkara biasa. 

Kalau nak tahu majoriti daripada yang pernah melalui latihan industri mempunyai pengalaman yang tidak baik dan merasakan seperti mereka dipaksa menjadi kuli sahaja. Majikan arahkan korang bekerja lebih 12 jam dan bayaran juga sangat tidak setimpal, berbaloi ke dengan segala usaha dan penat lelah korang? “Tak apa lah, asalkan dapat tempat intern  dan pass boleh graduate.” Jika korang tidak ambil tahu mengenai undang-undang kerja, memang senang akan dieksploitasi oleh majikan. 

Jika kita telah membuat tinjauan beberapa tempat untuk melakukan Latihan Praktikal kita akan mempunyai lebih banyak pilihan untuk memilih dengan rasional syarikat yang menawarkan tempat Latihan Praktikal. Dengan ini, kita lebih berpuas hati dengan pilihan yang dibuat kerana Latihan Praktikal sepatutnya menjadi suatu tempat untuk menimbang ilmu dan pengalaman sebagai pendedahan sebelum bermulanya berkhidmat di sektor pekerja setelah menamatkan pengajian.

Wallahu a’lam.

Sudahkah anda bersedekah hari ini? Jika belum, mari tekan butang “Sumbangan Diperlukan Segera” dibawah dan memilih mana-mana agensi/madrasah untuk disalurkan sumbangan. Sesungguhnya tangan yang memberi itu lebih baik daripada tangan menerima. Terima kasih.

Sudahkah Anda Menjadi Tangan Yang Memberi?

Jika belum jom sama-sama dengan Perkim Datuk Keramat membantu mereka yang dalam kesusahan seperti ibu tunggal, mereka yang menghidap penyakit kronik dan pelbagai lagi. Sesungguhnya sedikit sumbangan anda, memberi 1000 kemanisan untuk mereka

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top