ISU ‘PELAWAK’ SINGAPURA MENJADIKAN TRAGEDI MH370 SEBAGAI JENAKA, APAKAH IKTIBAR YANG BOLEH DIAMBIL?

ISU ‘PELAWAK’ SINGAPURA MENJADIKAN TRAGEDI MH370 SEBAGAI JENAKA

PELAWAK SINGAPURA, JOCELYN CHIA MELAWAK TENTANG MH370

Baru-baru ini, tindakan pelawak Singapura, Jocelyn Chia menggunakan negara Malaysia sebagai bahan jenaka dalam satu persembahan komedi berdiri akhirnya mengundang kecaman netizen kerana ia seolah-oleh menghina negara. Lebih menyedihkan apabila wanita berkenaan turut memperlekehkan tragedi kehilangan kapal terbang MH370.

Menerusi video satu minit 29 saat yang dimuat naik menerusi laman sosial TikTok, pelawak berkenaan turut menyifatkan bahawa pembangunan Malaysia jauh terkebelakang berbanding Singapura. Ruangan komen di akaun rasmi TikTok pelawak itu dibanjiri dengan kata-kata tidak senang orang ramai menyifatkan bahawa lawak yang disampaikan tidak sensitif.

“Jenaka mengenai kehilangan kapal terbang agak melampaui batas,” tulis pemilik akaun @Xenntrta.

Seorang lain pengguna TikTok @a_da07 berkata, kesemua lawak yang disampaikan terlalu peribadi dan ia bukan lagi bahan jenaka.

Isu kontroversi itu turut hangat diperkatakan di media sosial, Twitter yang mana rata-rata tidak setuju dengan tindakan pelawak berkenaan menggunakan kes kehilangan kapal terbang MH370 sebagai bahan jenaka.

Sementara itu, seorang lagi pengguna media sosial berkenaan @dr_ismailashmat berkata, sekiranya pelawak berkenaan seorang yang berpendidikan dan maju, dia tidak akan bercakap perkara buruk seperti itu.

MELAWAK TENTANG KEMATIAN ORANG LAIN

Mencaci orang yang masih hidup lagikan dilarang, inikan pula menghina orang yang sudah meninggal dunia. Perbuatan tersebut meskipun kelihatan klise, namun boleh dikatakan ia tidak pernah padam selagi mana kita bergelar manusia di muka bumi ini. Masakan tidak, kita bukannya dilahirkan sebagai golongan yang maksum ataupun kalis dosa. Setiap saat, ada sahaja kesilapan kecil waima sekecil zarah yang dilakukan dalam sedar mahupun tidak.

Ketahuilah bahawa kita tidak layak melakukan penghinaan terhadap orang lain, apatah lagi menghukum seseorang. Ini kerana kita sama sahaja kedudukannya dengan manusia lain. Hanya ALLAH SWT sahajalah yang berhak menilai setiap hamba-NYA.

Memberi peringatan tersebut, pendakwah Ustaz Elyas Ismail menerusi video yang dikongsikan di laman sosial Facebook dan YouTube miliknya menjelaskan, perilaku tersebut tidak wajar dilakukan oleh setiap insan.

“Seorang mukmin yang beriman dan berilmu sepatutnya menjaga adab khususnya terhadap orang yang telah meninggal dunia dan keluarga si mati. Bayangkan jika perkara sebegitu terjadi kepada ahli keluarga sendiri. Sudah tentu kita marah, bukan? Ingatlah, Islam ini agama fitrah dan memahami perasaan umatnya.

“Maka sebab itulah Nabi Muhammad SAW mengajar umatnya supaya tidak boleh sama sekali mencela mahupun menghina orang lain yang sudah tiada lagi di dunia ini,” ungkapnya.

Perkara itu adalah dirakamkan dalam hadis diriwayatkan oleh Aisyah RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Janganlah kalian mencela mayat kerana mereka telah mereka telah menjumpai apa yang telah mereka kerjakan.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Andai perbuatan tersebut dilakukan juga, Elyas menegaskan, haram hukumnya.

APA PULA HUKUM YANG KETAWA DENGAN JENAKA TENTANG KEMATIAN?

Bagaimana pula dengan orang sekeliling pelawak yang turut ketawa saat kematian menajadi bahan jenaka?

Ketawa merupakan salah satu fitrah tabiat manusia. Tanpanya kehidupan akan menjadi hambar, sedih dan kurang bermotivasi untuk hidup dalam menjalankan tanggungjawab masing-masing.

Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam buku al-Halal wa al-Haram (ms.543) mengatakan: Islam tidak mewajibkan manusia agar semua perkataan yang diucapkan sehari-hari sebagai zikir, semua renungannya sebagai berfikir, semua pendengarannya hanyalah al-Quran al-Karim dan semua masa lapangnya mesti berada di dalam masjid. Bahkan Islam mengiktiraf kewujudan manusia itu dengan fitrah dan tabiatnya yang tersendiri sebagaimana yang diciptakan Allah buat mereka. Allah menciptakan manusia supaya mereka senang, ketawa dan bermain-main sebagaimana diciptakan bagi manusia itu keinginan untuk makan dan minum.

Tetapi fitrah yang diberikan Allah kepada kita haruslah digunakan dengan sebaik-baiknya berlandaskan panduan al-Quran dan Sunah Baginda Rasulullah.

Mutakhir ini ramai yang menggunakan media sosial bagi tujuan mentertawakan orang lain apabila seseorang itu ditimpa sesuatu keadaan. Perbuatan demikian bukanlah satu perbuatan yang dibenarkan dalam Islam.

Ini berdasarkan firman Allah di dalam Surah Al-Hujuraat ayat 11: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) kemungkinan puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) kemungkinan puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka.

Pengertian sukhriyyah di dalam ayat adalah tindakan menghina, merendahkan, dan mengangkat aib serta kekurangan orang lain dengan jalan mentertawakannya. Hal itu dapat dilakukan dengan perbuatan atau ucapan, terkadang dengan isyarat dan petunjuk tertentu.

Perbuatan sebegini hanya ada pada mereka yang tidak ada akhlak dan penuh dengan kebencian. Sabda Baginda Rasulullah: Cukuplah seseorang dikatakan telah berbuat jahat jika ia merendahkan saudaranya muslim. – [HR Ibn Majah 4203].

Sebagai seorang muslim kita diajar oleh Baginda Rasulullah untuk sentiasa merasai kepahitan seorang muslim yang lain seperti jasad yang satu. Bagi seseorang yang diuji oleh Allah dengan apa juga perkara yang dihadapinya itu merupakan kasih sayang Allah kepadanya agar dia segera kembali kepada Yang Esa.

Jika seseorang itu sabar atas ujian yang diberikan Allah kepadanya maka ganjaran dan pahala akan disediakan tetapi jika sebaliknya dan berdegil tidak mahu kembali kepada Allah maka tempatnya adalah neraka.

Bagi kita pula yang melihat seseorang itu diuji oleh Allah seharusnya kita sentiasa berdoa agar Allah memelihara kita daripada perbuatan-perbuatan yang tidak diredai Allah dan membuka hati si pelaku untuk bertaubat kepadaNya.

Jangan kita gunakan kejatuhan seseorang untuk bergelak ketawa. Ini berdasarkan di dalam sebuah hadis: Pada suatu hari, seorang pemuda Quraisy berkunjung kepada Aisyah, isteri Rasulullah, ketika dia sedang berada di Mina. Kebetulan saat itu para sahabat sedang tertawa, hingga Aisyah merasa hairan dan sekali gus bertanya: Mengapa kalian tertawa?

Mereka menjawab: Si fulan jatuh menimpa tali khemah hingga lehernya (atau matanya) hampir lemas. Aisyah berkata: Janganlah kalian tertawa terbahak-bahak kerana sesungguhnya aku pernah mendengar Rasulullah bersabda: Tidaklah seorang muslim tertusuk duri atau yang lebih kecil dari itu, melainkan akan ditulis baginya satu darjat dan akan dihapus satu kesalahannya. [HR Muslim 4664]

Imam Nawawi apabila mensyarahkan hadis ini mengatakan larangan bagi seorang muslim untuk mentertawakan orang lain disebabkan kejatuhannya melainkan jika dia tertawa tanpa sengaja (seperti seseorang yang tiba-tiba tergelincir jatuh di hadapan kita dan kemudian tidak sengaja kita tertawa).

Adapun bagi mereka yang sengaja maka ia adalah satu perkara yang keji kerana menghina orang lain dan menyebabkan hatinya terluka.

Ingatlah bahawa seseorang itu tidak mengetahui akan pengakhirannya bagaimana adakah hidupnya akan diakhiri dengan beriman kepada Allah atau sebaliknya. Maka muhasabahlah diri sendiri kerana di akhirat nanti kita hanya akan mengatakan diriku diriku. Sedangkan di atas muka bumi kita sibuk akan diri orang lain sehingga kita lupa akan diri kita sendiri.

Justeru, dalam menonton hiburan dan mendengar jenaka, janglanah kita turut meraikan pelawak yang menggunakan kematian atau aib orang lain sebagai bahan lawak dan jenaka. Biarkan sahaja pelawak tersebut merasa hambar dengan jenaka yang tidak seberapa itu agar dirinya tahu bahawa perkara itu hanya akan meninggalkan kebencian orang ramai kepada dirinya.

ETIKA DALAM MELAWAK MENURUT ISLAM

Mufti Wilayah Persekutuan telah menggariskan beberapa etika ketika melawak.

Etika Dalam Melawak

Justeru, terdapat beberapa kriteria yang perlu dijadikan pedoman ketika berlawak:

  • Tidak melampau batas sehingga meninggalkan tanggungjawab dan kewajipan

Al-Qaradhawi menyebut: “Maka tidak salah bagi seorang Muslim untuk bergurau senda dengan sesuatu yang dapat menenangkan hatinya, tidak salah baginya menghiburkan dirinya dan rakan-rakannya dengan sesuatu hiburan yang ringan. Akan tetapi janganlah sampai menjadi kebiasaan pada setiap masa ingin bergurau sahaja kerana akhirnya ianya akan menghalangnya daripada melakukan perkara-perkara yang wajib sehingga dia bergurau pada waktu yang sepatutnya dia bersungguh-sungguh. Sebab itu ada pepatah yang mengatakan:

اعطِ الكَلَامَ مِنَ المَزْحِ بِقَدْرِ مَا يُعْطَي الطَّعَامُ مِنَ المِلْحِ

Maksudnya: “Berikanlah bicaramu itu dengan sedikit gurauan, sekadar diberikan pada makanan itu garamnya yang cukup.”

  • Tidak menjadikan maruah seseorang itu sebagai gurau senda.

Ini berdasarkan firman Allah Taala:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا يَسْخَرْ قَوْمٌ مِّن قَوْمٍ عَسَىٰ أَن يَكُونُوا خَيْرًا مِّنْهُمْ وَلَا نِسَاءٌ مِّن نِّسَاءٍ عَسَىٰ أَن يَكُنَّ خَيْرًا مِّنْهُنَّ ۖ وَلَا تَلْمِزُوا أَنفُسَكُمْ وَلَا تَنَابَزُوا بِالْأَلْقَابِ ۖ بِئْسَ الِاسْمُ الْفُسُوقُ بَعْدَ الْإِيمَانِ ۚ وَمَن لَّمْ يَتُبْ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.”

  • Tidak Menipu Dalam Lawak

Daripada Bahz bin Hakim (bin Muawiyah bin Haidah al-Qusyairi) berkata: Ayahku menceritakan kepadaku, daripada datukku, yang berkata: Aku mendengar Nabi SAW bersabda:

وَيْلٌ لِلَّذِي يُحَدِّثُ بِالحَدِيثِ لِيُضْحِكَ بِهِ القَوْمَ فَيَكْذِبُ، وَيْلٌ لَهُ وَيْلٌ لَهُ

Maksudnya: “Celakalah bagi orang yang bercakap suatu percakapan agar orang ramai tertawa dengan pembohongan. Celakalah baginya! Celakalah baginya!” (HR Tirmizi)

Syeikh Abu al-Ala al-Mubarakfuri (w.1353H) dalam Tuhfah al-Ahwazi (6/497-498) mensyarahkan hadis ini: “Wail bererti kecelakaan yang besar atau lembah yang dalam; li yudhika… yang daripada kata terbitan idhak (membuat orang tertawa); bihi yakni tertawa dengan perkataannya atau pembohongannya…. Mafhum daripada hadis itu bahawa jika seseorang bercakap dengan perkataan yang benar untuk berlawak dengan satu kaum maka tidak mengapa hal itu seperti mana yang berasal daripada kisah Umar RA bersama Nabi SAW tatkala baginda marah terhadap beberapa orang Ummahat al-Mu’minin (isteri-isteri Nabi). Berkata al-Ghazzali: “Justeru, perlu diketahui bahawa sisi jenaka Rasulullah SAW tidak berlaku melainkan dalam bentuk kebenaran, tidak menyakitkan hati, dan tidak juga melampaui batas.”

Walaupun dari isu ini yang melawak adalah non-muslim, kita sebagai umat Islam juga tanpa sedar kadang-kadang telah melakukan perkara yang sama bahkan lebih teruk lagi. namun kita sangat marah dan bengang apabila ada pihak lain yang melawak tentang negara kita. Sesungguhnya jadikanlah isu ini sebagai iktibar buat kita semua agar lebih berhati-hati dalam berbicara dan melawak. Sungguhpun begitu, tindakan pelawak itu sangatlah tidak professional dan tidak beretika. Sudah tentunya, setiap agama walaupun elain daripada agama Islam tidak menganjurkan sikap menyakiti dan orang lain dengan sengaja. Bahkan dari sisi kebudayaan setempat dan fitrah manusia menolak kejahatan dan mementingkan keharmonian.

Wallahua’lam.

Sudahkah anda bersedekah hari ini? Jika belum, mari tekan butang “Bantu Mereka” dibawah dan  disalurkan sumbangan. Sesungguhnya tangan yang memberi itu lebih baik daripada tangan menerima. Terima kasih.

Sudahkah Anda Menjadi Tangan Yang Memberi?

Jika belum jom sama-sama dengan Perkim Datuk Keramat membantu mereka yang dalam kesusahan seperti ibu tunggal, mereka yang menghidap penyakit kronik dan pelbagai lagi. Sesungguhnya sedikit sumbangan anda, memberi 1000 kemanisan untuk mereka

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top