KEGIATAN MEREMPIT DIKIRA MEMBUNUH DIRI?

KEGIATAN MEREMPIT DIKIRA MEMBUNUH DIRI

KEGIATAN MEREMPIT DIKIRA MEMBUNUH DIRI

Sehingga kini aktiviti lumba haram ataupun merempit masih menjadi hiburan anak muda meskipun menyedari bahawa perkara itu boleh meragut nyawa mereka. Jika berbicara mengenai hukum seseorang yang meninggal dunia ketika sedang berlumba motosikal, penceramah selebriti, Ustaz Azhar Idrus (UAI) menegaskan ia umpama membunuh diri.

Menjelaskan perkara itu, UAI berkata, ulama menfatwakan berlumba motosikal di kawasan yang memudaratkan diri seperti jalan raya yang sibuk adalah haram.

“Contohnya apabila dia berlumba dengan keadaan ada lori di depan, ia haram. Perkara itu bukan dia nak cepat sebab nak menuju ke satu destinasi tapi niat nak berlumba, bersuka-suka sehingga merosakkan diri. Budak-budak kita sekarang berlumba, buang brek, tak pasang lampu malam, meniarap atas motosikal. Itu semua haram dan seperti bunuh diri, terus masuk neraka,” katanya menerusi klip ceramahnya.

Namun, UAI berkata, berbeza pula dengan mereka yang berlumba di tempat lapang, lengkap dengan pakaian keselamatan serta tiada sebarang halangan seperti kenderaan awam maka hukumnya adalah makruh. Tambah beliau, setiap permainan yang bukan sunah adalah makruh terutamanya yang kian menjadi kegemaran orang ramai.

WAJIB MEMATUHI UNDANG-UNDANG NEGARA

Islam menuntut setiap umatnya wajib mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya yang ditetapkan oleh pihak pemerintah. Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, Islam juga mewajibkan umatnya memelihara nyawa sebagai salah satu matlamat utama di dalam maqasid syariah. Menurutnya, umat Islam juga ditegah daripada memudaratkan diri sendiri dan orang lain.

“Jalan raya adalah milik umum, bukan hak mana-mana individu. Oleh itu semua orang hendaklah mengikut undang-undang dan peraturan lalu lintas yang ditetapkan oleh kerajaan yang mana, ia bertujuan untuk memelihara keselamatan dan memberi keselesaan kepada pengguna jalan raya.

“Dilihat daripada perspektif agama Islam, setiap warganegara wajib mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya selain memelihara nyawa sebagai salah satu matlamat utama di dalam maqasid syariah,” katanya.

Katanya lagi, kegiatan merempit adalah satu perbuatan menyusahkan orang ramai, mengganggu pengguna jalan raya, membahayakan diri sendiri dan orang lain. Perbuatan ini dilarang di dalam syariat Islam dan merupakan satu dosa. Memandangkan semakin kerap berlaku kemalangan jalan raya yang disebabkan kegiatan mat rempit, saya rasa sudah sampai masanya pihak berkenaan menyemak semula undang-undang dan peraturan lalu lintas sedia ada.

“Saya juga berharap ibu bapa dan para pemimpin masyarakat saling memainkan peranan dalam menasihati anak-anak muda supaya mengelakkan diri daripada kegiatan tidak berfaedah, sia-sia dan merbahaya seperti merempit,” katanya.

HUKUM MEMBUNUH DIRI

  • Takrif Bunuh Diri

Mengikut Kamus Dewan Bahawa ialah mengambil nyawa sendiri dgn sengaja.

Untuk itu banyak cara yang dilakukan oleh orang ingin membunuh diri sendiri seperti menembak diri sendiri, terjun daripada tempat yang tinggi, menggantungkan diri sendiri, meminum racun dan pelbagai bentuk lagi. Semoga Allah selamatkan kita daripada bercita-cita untuk membunuh diri sebaliknya Allah memberi kekuatan kepada kita untuk meneruskan sisa-sisa kehidupan agar kita dipahalakan dalam mizan hasanah kita pada hari akhirat kelak. Amiin.

  • Faktor Yang Membawa Kepada Bunuh Diri

Isu bunuh diri bukan hanya berlaku di Negara yang mundur atau membangun tetapi di Negara yang hebat juga berlaku.

Di negara maju seperti Amerika Syarikat (AS), gejala bunuh diri adalah punca kematian yang ketiga tertinggi dalam kalangan remaja. Ia dijangka meningkat jika tidak dibendung awal.

Negara seperti Jepun turut mengalami fenomena ini terutama kalangan remaja mereka. Malah, tidak mustahil akan berlaku di Malaysia dan sudah pun ada tetapi masih kecil bilangannya.

Di Negara yang mundur pula bunuh diri biasannya disebabkan tekanan hidup kerana merasakan tiada lagi harapan untuk hidup dengan baik dan membawa kepada putus asa.

Adakah amalan agama yang cetek yang mendorong orang Islam terjebak dalam gejala bunuh diri ini?

Kebanyakan masyarakat daripada budaya dan agama mana pun suka kepada kehidupan mereka, rasa gembira sepanjang masa dan gemar membina jaringan sosial. Mereka mempunyai fikiran positif mengenai perkembangan dan masa depan. Dalam kepantasan perubahan ini sesetengahnya dapat menyesuaikan diri dan mengalami suasana yang menggembira dan menyeronokkan. Namun, ada yang tidak berkongsi keseronokan proses kehidupan dan berhadapan dengan penuh ketegangan, kesunyian dan kesedihan.

Antara penyebab dan penyumbang kepada ingin membunuh diri ialah:

  1. Mereka datang daripada keluarga yang porak peranda, mempunyai masalah kemiskinan, tempat tinggal yang kurang memuaskan dan juga kelemahan personaliti kendiri.
  2. Mereka juga mengalami pengalaman dalam putus percintaan. Dalam kesedihan yang melampau ini, sangat perlukan kekuatan dan kemahiran menangani merupakan salah satu keperluan dalaman.
  3. Akibat keluarga yang amat banyak masalah sehingga kehidupan tidak tenteram dan masng-masing tidak bertanggungjawab sama ada ibu bapa dan adik beradik.

Sebahagian ibu bapa tidak mempunyai skil kemahiran keibubapaan, komunikasi, akhlak dan adab Islami yang baik. Hubungan keluarga yang bercirikan kemarahan, sindir-menyindir, kata-mengata, tidak stabil emosi dan ketidakterimaan juga boleh menyebabkan perangai danm akhlak mereka akan rosak.

Boleh dikatakan kegiatan merempit berpunca daripada remaja yang ada masalah kesihatan mental baik dari segi latarbelakang keluarga, sosial di sekolah dan diluar sekolah. Boleh jadi ianya berpunca daripada salah memilih kawan sehingga terjebak dengan kegiatan merempit.

  • Haram Membunuh Diri

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat ke-195:

وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan.”

Maknanya ialah janganlah kamu melakukan sebab yang menjadi kebinasaanmu.

Syeikh Abdurrahman bin Nasir bin Abdullah al-Sa’adi dalam tafsirnya iaitu tafsir Taisir al-Karim al-Rahman fi Tafsir Kalam al-Manan menyebut: “Sesiapa yang menjatuhkan dirinya kepada kebinasaan dengan melakukan maksiat kepada Allah dan juga berputus asa daripada taubat kepada Allah.”

Imam al-Suyuti berkata dalam tafsirnya: “Maksudnya dirimu. Sedangkan ba (huruf jar iaitu ba) sebagai tambahan (ke dalam kebinasaan) atau kecelakaan disebabkan meninggalkan atau mengeluarkan untuk berjihad yang akan menyebabkan menjadi lebih kuatnya pihak musuh daripada kamu.”

Firman Allah SWT dalam surah yang lainnya iaitu surah al-Isra’ ayat ke-33:

وَلَا تَقْتُلُوا النَّفْسَ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالْحَقِّ ۗ وَمَن قُتِلَ مَظْلُومًا فَقَدْ جَعَلْنَا لِوَلِيِّهِ سُلْطَانًا فَلَا يُسْرِف فِّي الْقَتْلِ ۖ إِنَّهُ كَانَ مَنصُورًا

Maksudnya: “Dan janganlah kamu membunuh diri seseorang manusia yang diharamkan oleh Allah membunuhnya kecuali dengan alasan yang benar. Dan sesiapa yang dibunuh secara zalim, maka sesungguhnya Kami telah menjadikan warisannya berkuasa menuntut balas. Dalam pada itu, janganlah ia melampau dalam menuntut balas bunuh itu, kerana sesungguhnya ia adalah mendapat sepenuh-penuh pertolongan (menurut hukum Syarak).”

Ayat ini menunjukkan haram membunuh jiwa termasuk diri sendiri kerana umumnya.

Bunuh diri adalah dosa besar, kerana adanya ancaman khusus baginya, sebagaimana sabdanya:

مَنْ قَتَلَ نَفْسَهُ بِشَىْءٍ عُذِّبَ بِهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Maksudnya: “Sesiapa yang membunuh diri dengan sesuatu cara, pada hari kiamat kelak dia akan diseksa dengan cara seperti itu pula.”(HR Bukhari & Muslim)

Daripada Jundub RA, Nabi SAW bersabda:

كَانَ فِيمَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ رَجُلٌ بِهِ جُرْحٌ، فَجَزِعَ فَأَخَذَ سِكِّينًا فَحَزَّ بِهَا يَدَهُ، فَمَا رَقَأَ الدَّمُ حَتَّى مَاتَ، قَالَ اللَّهُ تَعَالَى بَادَرَنِي عَبْدِي بِنَفْسِهِ، حَرَّمْتُ عَلَيْهِ الْجَنَّةَ ‏

Maksudnya: “Pada umat sebelum kalian, terdapat seseorang yang tercedera, dia tidak dapat menahan kesakitan lalu dia mengambil pisaunya lalu memotong tangannya. Darah berterusan mengalir sehinggalah dia mati. Allah berkata: Hamba ku telah menyegerakan untuk mati, aku telah mengharamkan ke atasnya syurga.” (HR Bukhari)

Hadis ini menunjukkan pembunuh diri tidak dimasukkan ke dalam syurga adalah sebagai ancaman yang amat keras.

Ini berdasarkan sabda Nabi SAW:

منْ قَتَلَ نَفْسَهُ بحَديدَةٍ فَحَدِيدَتُهُ فِى يَدِهِ يَتَوَجَّأُ بِهَا فِى بَطْنه فِى نَارِ جَهَنَّمَ خَالِدًا مُخَلَّدًا فِيهَا أبَدًا، وَمَنْ شَرِبَ سمًّا فَقَتَلَ نَفْسَهُ فَهُوَ يَتَحَسَّاهُ فِى نَارِ جَهَنَّمَ خَالِدًا مُخَلَّدًا فِيهَا أبَدًا، وَمَنْ تَردَّى مِنْ جبَلٍ فَقَتَلَ نَفْسَهُ فَهُوَ يَتَرَدَّى فِى نَارِ جَهَنّمَ خَالِدًا مُخَلَّدًا فِيهَا أبَدًا

Maksudnya: “Sesiapa yang membunuh diri dengan besi, maka di neraka jahanam nanti besi itu selalu di tangannya, ia menusuk-nusukkannya ke perutnya selama-lamanya. Dan barangsiapa bunuh diri dengan meminum racun, maka di neraka jahanam nanti ia akan terus meminumnya selama-lamanya. Dan barangsiapa bunuh diri dengan menjatuhkan diri dari gunung, maka di neraka jahanam nanti, ia akan menjatuhkan (dirinya) selama-lamanya.” (HR Muslim)

Qadhi Iyadh meletakkan hadis ini dalam Syarah Sahih Muslim di bawah bab “larangan membunuh diri sendiri, sesungguhnya sesiapa yang membunuh dirinya sendiri dengan sesuatu, dia akan diazab dengan sesuatu tersebut dalam neraka dan dia tidak akan memasuki syurga kecuali dirinya muslim”.

Qadhi Iyadh menyebut bahawa orang yang membunuh diri akan memasuki neraka dalam tempoh yang panjang akan tetapi bukannya kekal di dalam neraka selama-lamanya.

Jelas disini bahawa kegiatan merempit adalah salah satu bentuk membunuh diri. Dan perbuatan membunuh diri sangat diancam keras dalam agama Islam melalui dalil al-Quran dan hadis yang mana orang yang mati kerana membunuh diri tidak diampunkan dosanya dan dimasukkan kedalam neraka buat selama-lamanya.

HOBI KAMI MAHAL?

Begitu banyak tagline ‘hobi kami mahal’ digunakan dalam kalangan mat rempit. Konon hobi itu menjadikan nywa sebagai taruhan. Jika seseorang itu sukakan kepada acara yang melibatkan kelajuan, begitu banyak lagi hobi yang selamat dan tempat yang selamat disediakan. Sebagai contoh, lumba kereta atau motor besar di litar. Sudah tentu akan adanya kelengkapan seperti pakaian yang khusus, topi keledar, sarung tangan dan sebagainya. Boleh juga pergi ke mana-mana tempat untuk bermain go-kart. Disini juga lebih terjamin keselamatan dengan kelajuan yang terkawal dan kelengakapan keselamatan yang baik. Berbasikal juga addalah acara yang bagus untuk dijadikan sebagai hobi. Namun, perlulah dipastikan keadaan dan tempat yang ingin kita bermain basikal selamat dan tidak menyusahkan orang ramai.

Wallahu a’lam.

Sudahkah anda bersedekah hari ini? Jika belum, mari tekan butang “Sumbangan Diperlukan Segera” dibawah dan  disalurkan sumbangan. Sesungguhnya tangan yang memberi itu lebih baik daripada tangan menerima. Terima kasih.

Sudahkah Anda Menjadi Tangan Yang Memberi?

Jika belum jom sama-sama dengan Perkim Datuk Keramat membantu mereka yang dalam kesusahan seperti ibu tunggal, mereka yang menghidap penyakit kronik dan pelbagai lagi. Sesungguhnya sedikit sumbangan anda, memberi 1000 kemanisan untuk mereka

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top