MAKNA QIAMULLAIL DAN TIPS BANGUN MALAM

MAKNA QIAMULLAIL DAN TIPS MUDAH BANGUN MALAM

APA ITU QIAMULLAIL

Apakah yang dimaksudkan dengan Qiamullail?

Sebenarnya qiamulail bermaksud ‘bangun malam’ iaitu bangun untuk beribadah kepada Allah SWT. Orang yang berqiamullail akan meninggalkan tempat tidur semata-mata untuk mengerjakan solat, bertakbir membesarkan Allah SWT, bertasbih mensucikanNya dan berdoa pada waktu malam.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Hendaklah kamu berqiamullail (bertahajjud) kerana ia merupakan perjalanan orang soleh sebelum kamu. Sesungguhnya qiamullail mendekatkan kamu kepada Allah, menghalang melakukan dosa, kifarah di atas kejahatan dan mencegah penyakit daripada badan. (HR Tirmizi)

Kita tahu, qiyamullail atau bangun malam untuk mengerjakan ibadah seperti solat sunat tahajud, taubat, tasbih, hajat, membaca al-Quran, beristighfar dan berzikir sememangnya amat dituntut dalam Islam sebagai salah satu terapi diri yang amat berkesan. Selain dapat menjadikannya sebagai sesi ‘luahan perasaan’ kepada Allah SWT tentang segala perkara dan masalah yang mungkin membelenggu diri sepanjang hari tersebut.  Juga memohon supaya Allah SWT memberikan kekuatan untuk istiqamah dalam melakukan perkara-perkara kebaikan dan menjauhi segala keburukan.

Firman Allah Taala yang bermaksud: “Dan pada sebahagian malam, dirikanlah solat tahajud (sebagai suatu ibadah) tambahan bagimu; mudah-mudahan Tuhanmu mengangkatmu ke tempat yang terpuji.” (al-Isra’17:79)

Antara hikmah qiyamulail adalah dapat mendekatkan diri kepada Allah SWT kerana waktu sunyi itu dijadikan waktu keemasan untuk mengadu dan memohon pertolongan daripada Allah. Selain mendidik jiwa menjadi hamba yang lebih bertaqwa, meningkatkan keimanan yang ada masa pasang surutnya, melatih dan mendisiplinkan diri untuk tekun mengerjakan ibadah sunat, selain mampu memberi ketenangan jiwa. Hakikatnya banyak lagi hikmahnya yang hanya boleh dirasai bagi orang yang istiqamah dan ikhlas melakukannya.

WAKTU QIAMULLAIL

Malam dibahagikan kepada tiga bahagian. Dua pertiga digunakan bagi tidur dan satu bahagian diperuntukkan untuk qiamullail.

Terdapat dua kaedah membahagikan masa ini, iaitu:

Kaedah Pertama

  • Tidur terlebih dahulu pada dua pertiga malam.
  • Bangun bagi beribadah pada bahagian akhir malam sehingga masuk waktu pada solat subuh.

Kaedah Kedua

  • Tidur pada awal malam selama sepertiga malam.
  • Bangun pada pertengahan malam bagi mengerjakan ibadah.
  • Tidur semula pada suku ketiga malam sehingga waktu solat subuh.

Cara kedua , iaitu bangun pada pertengahan malam lebih baik diamalkan. Ini kerana, pada masa itu sebahagian besar penghuni sudah nyenyak tidur dan tiada gangguan daripada manusia. Namun, kebanyakkan orang melakukan kaedah yang pertama kerana lebih mudah dan boleh terus Bersiap sedia untuk sahur dan solat subuh. Tidak kira ikut kaedah yang mana, intipatinya, bangun pada dua pertiga atau hujung malam adalah waktu yang paling sedikit yang bangun dan itulah waktu yang terbaik untuk mendekatkan diri dengan Allah SWT.

Abu Hurairah meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda: “Allah, Tuhan kami turun ke langit dunia pada setiap malam ketika masih tinggal sepertiga malam yang terakhir sambil berkata, “Sesiapa yang berdoa (pada waktu ini), maka Aku akan perkenankannya, siapa yang ingin meminta sesuatu (pada waktu ini) maka Aku akan kurniakannya, sesiapa yang ingin memohon ampun (pada waktu ini) maka Aku akan ampunkannya” (HR Bukhari & Muslim)

Jom edekah

TIPS MUDAH BANGUN QIAMULLAIL

Pada penulisan yang sebelumnya telah membahaskan tentang tips mudah bangun sahur. Jika anda berjaya bangun dengan awal untuk bersahur, tahniah! Namun, untuk bangun qiamullail lebih mencabar kerana perlu bangun lebih awal lagi.

Oleh itu, apakah amalan yang membantu kita mudah bangun malam?

Kemampuan bangun malam daripada tidur yang selesa dan meninggalkan dakapan orang tersayang semata-mata kerana Allah SWT, bukanlah perkara yang mudah dilakukan. Di bawah ini adalah beberapa amalan yang boleh dilakukan bagi membantu anda bangun qiam:

Amalan Sebelum Tidur

  • Berniat Dan Berazam Untuk Berqiamullail

Azam yang kuat perlu ada dalam diri seorang mukmin yang mahu bangun malam bagi beribadah. Tidak memadai sekadar angan-angan kosong ataupun tidur dalam keadaan tidak bercadang mahu bangun. Apabila bertekad mahu bangun, seseorang itu pasti melakukan pelbagai usaha bagi membolehkan dia bangun seperti menggunakan jam loceng, meminta orang lain mengejutkan, ataupun tidur dalam keadaan kurang selesa.

Allah SWT mengiktiraf niat dan azam hambaNya yang mahu bangun menyembahNya pada waktu malam. Oleh itu, apabila seseorang itu tidak bangun sehingga subuh, Allah SWT tetap memberikan ganjaran lumayan atas keinginannya itu. Saidatina Aisyah r.a menyatakan perkara ini berdasarkan penjelasan yang didengari daripada suaminya, Rasulullah SAW: “Sesiapa yang berniat mengerjakan solat pada waktu malam, tetapi tertidur, pasti Allah menetapkan baginya ganjaran solatnya. Sementara tidurnya adalah sedekah untuknya.” (hr Nasaie & Abu Daud)

  • Meninggalkan Dosa & Maksiat Terutama Pada Waktu Siang

Qiamullail adalah ibadah istimewa yang dianugerahkan kepada mereka yang beriman dan menjauhi maksiat. Apabila seseorang melakukan maksiat, ia menjadi penghalang besar untuk bangun bermunajat kepada Allah SWT. Kenyataan ini dapat dilihat pada jawapan Ibrahim bin Adham apabila diajukan persoalan berkenaan kesukaran bangun malam.

Beliau menasihatkan: “Janganlah kamu melakukan maksiat pada waktu siang, pasti Allah membangkitkan kamu dihadapanNya pada waktu malam. Sesungguhnya berdirinya kamu dihadapanNya pada waktu malam adalah antara kemuliaan yang besar dan orang yang melakukan maksiat tidak berhak atas kemuliaan itu.”

Oleh itu, sesiapa yang berazam bangun malam perlu meninggalkan maksiat sebelum mendapatkan kemuliaan munajat malam ini. Elakkan menonton perkara kotor dan lucah. Jauhkan diri daripada mendengar lagu-lagu yang merangsang syahwat dan lirik yang kesat serta jijik. Usah sesekali melangkah ke tempat yang mengheret ke lembah maksiat seperti kelab malam, karoeke, konsert dan pesta.

  • Menghadkan Pengambilan Makanan dan Minuman Terutama Makan Malam

Bagi mereka yang mahu bangun malam, kawalan makanan perlu dihadkan terutama pada waktu malam. Elakkan makan terlalu banyak terutamanya makanan yang berat seperti nasi, mee, pizza, burger dan sebagainya. Makanan yang diambil pada waktu malam terutamanya selepas Isyak memaksa sistem pencernaan bekerja keras sepanjang malam bagi memproses semua makanan ini.

Dalam proses ini, sudah tentu banyak tenaga digunakan. Kesannya, orang yang banyak makan pasti berasa begitu letih sehingga tertidur dengan nyenyak. Sekiranya dia dapat bangun pada pertengahan malam, dia juga berasa malas bagi melaksanakan solat. Rasulullah SAW menasihati para sahabat supaya bersederhana dalam perihal makan dan tidak berlebihan.

Sabda baginda yang bermaksud: “Tidaklah seseorang anak Adam itu memenuhi satu bekas yang lebih buruk daripada perutnya. Cukuplah untuk anak Adam itu beberapa suap bagi menguatkan tulang belakangnya. Sekiranya tiada jalan lain, maka jadikanlah (perutnya) sepertiga untuk minumannya, dan sepertiga untuk nafasnya.” (HR Tirmizi & Ibnu Majah)

  • Mengamalkan Tidur Qailullah Pada Waktu Siang

Qailullah ialah tidur sebentar pada waktu siang sebelum ataupun selepas zohor. Ia bertujuan merehatkan diri dan menghilangkan rasa mengantuk akibat tidak cukup tidur ataupun keletihan. Rehat yang baik seperti ini membantu seseorang itu bangun pada malam hari.

Anas Bin Malik melaporkan daripada Ibnu Abbas, Rasulullah SAW bersabda: “Mohon pertolongan bagi berpuasa pada siang hari dengan sahur, dan berqiamullail dengan qailullah.”

  • Berwuduk Sebelum Tidur

Rasulullah SAW mengajarkan kepada umatnya supaya tidur dalam keadaan suci dari segi pakaian dan badan. Malah, dianjurkan berwuduk sebelum masuk tidur. Dalam hadis al-Bara’ Bin A’zib, Rasulullah SAW berkata, “Apabila kamu ingin masuk tidur, maka ambillah wuduk dengan cara berwuduk untuk solat”.

Sehubungan dengan itu, Muaz bin Jabal meriwayatkan Rasulullah SAW menyatakan: “Setiap Muslim yang tidur dengan membaca zikir dan dalam keadaan suci (berwuduk), lalu dia terjaga pada waktu malam, lantas berdoa kepada Allah memohon kebaikan urusan dunia dan akhirat, pasti Allah akan mengurniakan kebaikan itu kepadanya.” (HR Ahmad & Abu Daud)

Amalan Selepas Bangun Tidur

  • Menyapu Muka Selepas Bangun Daripada Tidur dan Berzikir

Setiap hari kita diizinkan Allah untuk hidup kembali setelah beberapa jam dimatikan oleh Allah, atau dengan kata lain, menikmati nikmat tidur yang nyenyak.

Islam telah menganjurkan sunnah yang sangat baik iaitu membaca doa bangun tidur.

Maksudnya:Segala puji bagi Allah yang telah menghidupkan kami sesudah kami mati (membangunkan dari tidur) dan hanya kepada-Nya kami dikembalikan”

  • Menyucikan Diri & Tubuh Badan

Biasanya jika kita bangun tidur, pasti kita tidak sedar apa yang berlaku sepanjang kita tidur. Mungkin najis keluar dari mulut seperti air liur basi, ataupun keluar dari kemaluan. Sama ada bermimpi ataupun yang seumpama dengannya. Jika bermimpi yang menyebabkan hadas besar, wajiblah kita mandi junub.

Jika yakin tidak bermimpi, adalah baik untuk tetap membersihkan juga badan. Kemudian, bersugi dan mengambil wudhu untuk persediaan solat sunat (qiamullail)

Bangun pada waktu malam ketika orang lain nyenyak diulit mimpi dan meninggalkan tilam yang empuk bukan perkara yang mampu dilakukan oleh semua orang. Justeru, qiamullail adalah solat istimewa bagi hamba Allah yang benar-benar dekat denganNya.

SOLAT YANG BOLEH DILAKUKAN

Ada banyak solat sunat yang boleh dilakukan ketika qiamullail. Antara solat yang boleh dilakukan ketika qiamullail adalah seperti berikut:

  • Solat Sunat Tasbih
  • Solat Sunat Tahajjud
  • Solat Sunat Hajat
  • Solat Sunat Taubat
  • Solat Sunat Witir

Setiap solat itu ada perinciaan dan kaedahnya yang tersendiri. Ada yang disebutkan didalam nas tentang bacaan surah dibacakan dalam solat-solat tersebut. Untuk mengetahui lebih lanjut klik pada solat tersebut untuk mengetahui perinciannya. Bagi solat witir pula, ia adalah solat penutuk bagi solat sunat ketika qiamullail. Namun, jika melakukannya ketika bulan ramadan sudah tentu kita telah melakukannya selepasa solat tarawih, betul? Oleh itu, tidak perlu lagi melakukan solat witir ketika qiamullail.

Pada 10 malam yang terakhir ini, sepatutnya kita melakukan pecutan dalam melakukan ibadah terhadapNya. Sepertimana dalam larian, pelari akan memecut sehabis laju ketika di saat-saat akhir bagi memastikan diri mereka dapat mengekalkan kedudukan teratas atau memecut pelari yang lain.

Inilah bonus yang Allah SWT kurniakan untuk hambaNya agar dapat memohon keampuanan, memohon apa yang dihajati dan mendekatkan diri dengan Yang Maha Pencipta.

Wallahua’lam.

Jika anda ingin menyumbang, boleh klik pada butang “Bantu Mereka” dibawah dan  salurkan sumbangan. Terima kasih.

Sudahkah Anda Menjadi Tangan Yang Memberi?

Jika belum jom sama-sama dengan Perkim Datuk Keramat membantu mereka yang dalam kesusahan seperti ibu tunggal, mereka yang menghidap penyakit kronik dan pelbagai lagi. Sesungguhnya sedikit sumbangan anda, memberi 1000 kemanisan untuk mereka

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top