PENJELASAN SYAHADAH (RUKUN ISLAM PERTAMA)

APA ITU 2 KALIMAH SYAHADAH?

Setiap Muslim mengetahui bahawa mengucapkan dua kalimah syahadah merupakan rukun Islam yang pertama. Namun, adakah kita benar-benar mengetahui apa makna syahadah tersebut? Setelah kita dilahirkan sebagai Muslim, bila pula kita mengucapkan syahadah sebagai memenuhi tuntutan rukun Islam yang pertama? Oleh itu, harus diketahui dahulu makna syahadah.

Syahadah menurut huraian definisi beberapa kamus arab menyatakan syahadah adalah kesaksian seseorang yang hadir dalam suatu peristiwa dengan memberitahu, menceritakan atau mengakui apa yang diketahuinya melalui pancainderanya sama ada melihat, mendengar, merasa atau menyentuh akan suatu perkara. Jika didalam suatu perbicaraan kesaksian antara elemen penting dalam memudahkan hakim untuk memutuskan hukuman ke atas suatu masalah.

Begitu juga dengan agama Islam, syahadah merupakan pintu gerbang suci bagi seorang manusia untuk menjadi pemeluk agama Islam yang setia. Kalimah tersebut berbunyi:

أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ

Maksudnya: “Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah”

وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُوْلُ اللهِ

Maksudnya: “Dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad adalah utusan Allah”

TANGUNGGJAWAB SELEPAS MENGUCAPKAN SYAHADAH

Di sebalik kalimah syahadah yang terdiri daripada dua lafaz pengakuan yang selalu diucapkan oleh lisan manusia, ia mengandungi makna yang besar ketika proses penyebutan lafaz tersebut. Dua perkataan tersebut merupakan janji dan sumpah setia yang hanya dilakukan bagi orang yang betul-betul mengetahui dan yakin dengan apa yang ia lafazkan.

Hal ini sama seperti keadaan apabila seseorang mengangkat ikrar untuk menjalankan tugas ataupun seorang tentera yang melafazkan sumpah setia kepada sesebuah angkatan tentera demi negara. Lafaz yang disebutkan mestilah difahami, mengambil tanggungjawab sesudah mengucapnya, meyakini dan bersedia dengan segala bentuk cabaran yang mungkin akan menggoyahkan dirinya terhadap janji dan sumpah setia itu.

Begitu juga dengan dua kalimah syahadah, bukan sekadar ucapan yang menitip di bibir sahaja tetapi harus diyakini dengan i’tiqad yang kuat dan mesti dibuktikan dengan anggota selepas mengucapnya. Setelah mengucapkannya, ia bermaksud seseorang telah bersedia untuk menerima amanah serta melakukan apa yang diperintahkan keatasnya dan meninggalkan apa yang ditegah keatasnya. Barangsiapa yang telah mengucapkan syahadah, maka diharamkan baginya neraka berdasarkan hadith Rasulullah SAW:

عَنْ عُبَادَةَ بْنِ الصَّامِتِ، أَنَّهُ قَال: سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: «مَنْ شَهِدَ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ، حَرَّمَ اللَّهُ عَلَيْهِ النَّارَ

Maksudnya:“Dari Ubadah bin Shomit R.A. berkata: “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa yang bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah dan Nabi Muhammad SAW utusan Allah, maka Allah mengharamkan ke atasnya api neraka.” (HR. Tirmidzi)

Ini bermakna seseorang itu terselamat apabila berada di jalan yang benar iaitu agama Islam sebagai suatu cara hidup dengan mengamalkan segala kewajipan, mempertingkatka ibadah kerana Allah SWT, meninggalan perkara yang ditegah baginya dan mengajak muslim yang lain ke jalan yang benar.

PERKARA YANG MEMBATALKAN SYAHADAH

Seperti mana sebuah perjanjian, ia akan terbatal jika sesebuah pihak melanggar peraturan yang telah ditetapkan. Begitu juga dengan janji dan sumpah setia syahadah ini, tidak boleh bagi seseorang untuk mengambil mudah dan memandang ringan tentang hal ini terutamanya hal-hal yang melibatkan agama lain dan menyekutukan Allah SWT. Bukan itu sahaja, apa-apa sahaja perbuatan yang menunjukkan bahawa seseorang itu ‘murtad’ maka, terbatallah syahadah baginya. Menyekutukan (mensyirikkan) Allah boleh berlaku dari sudut keyakinan, sebutan dan perbuatan. Mensyirikkan Allah dari sudut keyakinan, boleh terjadi dalam banyak hal terutama mengamalkan dan berpegang kepada sesebuah aliran yang sesat dan menyeleweng daripada agama Islam sehingga ada yang menyamakan makhluk dengan Allah dari sudut zat, sifat dan perbuatan. Bukan itu sahaja, kemajuan sains masa kini menyebabkan lahirnya golongan yang menolak agama dan secara tidak langsung menolak kewujudan Tuhan.

Mensyirikkan Allah dari segi sebutan pula boleh berlaku apabila kita mengucapkan sesuatu yang berlaku etapi tidak disandarkan kepada Allah SWT. Sebagai contoh, kita menyebut bahawa kekayaan yang kita alami sekarang adalah kerana ihsan dan kebaikan pemimpin sedangkan yang Maha Memberi Rezeki adalah Allah SWT. Bahkan ada sesetengah pihak yang mencerca nabi dan menghina Allah Azza Wajalla secara terang-terangan juga adalah suatu keadaan yang membawa kepada syirik.

Menyekutukan-Nya secara perbuatan pula adalah meyakini bahawa makhluk yang mengatur alam semesta dan rezeki yang diperoleh oleh manusia. Adapun terdapat juga sesetengah kelompok yang masih mengamalkan fahaman animisme yang menyembah alam sebagai tuhannya. Lebih teruk lagi, muslim yang mengaku dirinya adalah muslim sejati namun menyimpan tangkal, menggunakan khidmat bomoh seperti saka, susuk dan sebagainya juga adalah salah satu bentuk syirik yang perlu dijauhi. Syirik dalam apa jua bentuk sekalipun telah dan akan ditolak selamanya oleh ajaran Islam agar kebersihan hati penganutnya dapat dijaga daripada terpesong mengikuti ajaran-ajaran yang aneh tersebut. Dengan solatlah dapat memelihara diri daripada kesyirikan kepada Allah SWT.

SYAHADAH ULANGAN

Timbul persoalan apabila seseorang yang telah dilahirkan sebagai muslim kerana berketurunan muslim, adakah perlu melakukan syahadah dihadapan ulama atau mana-mana pihak yang berautoriti? Jawapannya adalah tidak perlu. Hal ini kerana kita telahpun dilahirkan sebagai muslim dan dididik sejak kecil melalui garis panduan agama Islam. Bukan itu sahaja, kewajipan harian seorang muslim adalah untuk menunaikan solat yang mana terkandung di dalamnya syahadah ketika bacaan tahiyat. Oleh sebab itu, cukuplah mengucapkan syahadah itu dihadapan Allah SWT melalui solat dan tidak disyaratkan bagi muslim untuk mengucapkan semula dua kalimah syahadah dihadapan mana-mana ulama’ atau pihak berautoriti.

Anak-anak yang baru lahir tetapi berketurunan selain agama Islam pula semuanya dilahirkan bersih dan suci serta tidak mempunyai kecenderungan untuk menganut mana-mana agama. Justeru, syahadah hanyalah perlu diucapkan setelah seseorang itu benar-benar ingin memeluk agama Islam dan dosa-dosanya yang lampau akan diampunkan dan tidak perlu diucapkan bagi yang sudah dilahirkan sebagai muslim.

Tambahan lagi, menjadi kewajipan kepada seorang muslim yang pernah murtad dan ingin memeluk agama Islam semula untuk mengucapkan dua kalimah syahadah. Telah memadai bagi seorang muslim itu untuk menjaga perkara-perkara yang dilarang oleh syarak untuk tidak dilakukan khususnya perkara yang boleh membatalkan syahadah. Syahadahnya akan kembali diperakui dan diterima oleh Allah SWT apabila dia bertaubat dan melaksanakan segala perkara yang dituntut ke atasnya dengan sebaik-baik dan seikhlas-ikhlas amalan. Demikian itulah sunnah Nabi SAW yang sebenar-benarnya

Wallahua’lam

Sudahkah Anda Menjadi Tangan Yang Memberi?

Jika belum jom sama-sama dengan Perkim Datuk Keramat membantu mereka yang dalam kesusahan seperti ibu tunggal, mereka yang menghidap penyakit kronik dan pelbagai lagi. Sesungguhnya sedikit sumbangan anda, memberi 1000 kemanisan untuk mereka

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top