ALLAH MELIPATGANDAKAN PAHALA ORANG BERSEDEKAH

ALLAH MELIPATGANDAKAN PAHALA ORANG BERSEDEKAH

PENGENALAN

Pernahkah kita terfikir bahawa dengan satu amalan boleh menyebabkan kita perolehi pahala yang berterusan? Hanya dengan sedikit rezeki yang dikongsikan, mampu mendatangkan senyuman dan kegembiraan pada orang yang memerlukan. Hebat bukan? Betapa kasihnya Allah SWT pada hambanya untuk memberikan ganjaran yang besar walaupun dengan amalan yang mudah untuk dilakukan. Sebelum kita ketahui apakah amalan tersebut, marilah kita amati konsep dosa dan pahala yang boleh mempengaruhi kepada kehidupan kita didunia dan akhirat. 
 

KONSEP PAHALA DAN DOSA

Sebagai seorang muslim kita dituntut untuk yakin dan beriman dengan Hari Akhirat yang padanya ada pengadilan dan pembalasan. Kita yakin dan percaya bahawa setiap amal perbuatan kita di dunia ini ada perkiraan pahala dan dosa yang akan menerima balasan seadil-adilnya. Ini adalah untuk menguji siapakah yang terbaik amalannya dari kalangan mereka. Inilah tujuan kehidupan manusia di dunia, lalu dimatikan oleh Allah SWT dan kemudiannya dihidupkan semula pada kehidupan yang kekal abadi di akhirat kelak. Hakikat ini dijelaskan oleh Allah SWT dalam Surah Al-Mulk ayat 2:

ٱلَّذِى خَلَقَ ٱلْمَوْتَ وَٱلْحَيَوٰةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًۭا ۚ وَهُوَ ٱلْعَزِيزُ ٱلْغَفُورُ ٢

Maksudnya: “Dialah yang telah menciptakan adanya mati dan hidup untuk menguji kamu; siapakah antara kamu yang lebih baik amalannya. Dia Maha Perkasa (dalam melakukan pembalasan terhadap orang yng derhaka) lagi Maha Pengampun (bagi orang yang bertaubat)”.

Sesungguhnya amalan seseorang itu adalah sebagai ukuran yang dapat memperlihatkan tahap sebenar kehambaan manusia di sisi Tuhannya. Siapakah yang tinggi ketaqwaannya dengan amal ibadah yang diganjari pahala dan siapakah pula yang rendah mertabat kehambaannya lalu hidup di dunia bergelumang dengan kemungkaran dan dosa.

Sungguhpun begitu, jika kita memahami dan menghayati konsep pahala dan dosa yang telah ditetapkan oleh Allah kepada umat manusia, kita akan melihat betapa rahmat Allah SWT begitu luas kepada kita mengatasi kemurkaan-Nya. Hadis daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Sesiapa yang berniat untuk melakukan suatu kebaikan namun dia tidak melakukannya, ditulis juga untuknya satu kebaikan. Sesiapa yang berniat melakukan kebaikan lalu dia melakukannya, dituliskan untuknya sepuluh kebaikan sehingga tujuh ratus gandaan. Sebaliknya sesiapa yang berniat melakukan kejahatan namun dia tidak melakukannya, tidak akan ditulis sebarang kejahatan untuknya, jika dia melakukannya barulah ditulis (satu kejahatan untuknya)”. (Riwayat Muslim)

Lihatlah betapa luasnya rahmat Allah SWT kepada umat Muhammad SAW. Berniat melakukan kebaikan pun sudah diberi pahala, berjaya melakukannya bakal diberi ganjaran sepuluh kali ganda dan boleh mencapai tujuh ratus gandaan pahala. Namun kejahatan yang baru diniatkan tidak dikira sebagai dosa, setelah benar-benar melakukan kejahatan barulah dicatat sebagai satu dosa tanpa sebarang gandaan. Bahawa sesungguhnya Allah SWT Maha Pengasih terhadap hambahambaNya kerana perkiraan pahala dan dosa ini sebenarnya mendorong manusia mencapai kebahagian dan kesejahteraan di akhirat dengan ganjaran Syurga. Persoalannya mengapa masih ramai yang gagal menghargai semua kurniaan Allah ini? Sesungguhnya semua kepincangan dan permasalahan ini adalah berpunca daripada kegagalan memahami apakah hakikat sebenar pahala dan dosa di dalam kehidupan kita di dunia.

Al-Quran jelas menyatakan bahawa kita hendaklah melakukan sebanyak mungkin kebaikan kerana ia boleh menghapuskan dosa-dosa kecil yang kita lakukan. Ini bererti amal kebaikan bakal menyelamatkan kita daripada azab dan sesaan Allah SWT. Firman Allah dalam surah Hud ayat 114:

وَأَقِمِ ٱلصَّلَوٰةَ طَرَفَىِ ٱلنَّهَارِ وَزُلَفًۭا مِّنَ ٱلَّيْلِ ۚ إِنَّ ٱلْحَسَنَـٰتِ يُذْهِبْنَ ٱلسَّيِّـَٔاتِ ۚ ذَٰلِكَ ذِكْرَىٰ لِلذَّٰكِرِينَ ١١٤

Maksudnya: “Sesungguhnya amal-amal kebaikan itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah yang demikian itu menjadi peringatan bagi orang yang mahu beringat”.

Kesimpulannya, marilah kita mengambil beberapa intipati penting sebagai panduan berguna untuk memastikan kesejahteraan hidup kita, antaranya:

Pertama : Bahawa setiap amal perbuatan kita akan diperhitungkan di akhirat kelak. Hidup dan mati adalah medan ujian untuk menilai siapakah manusia terbaik di kalangan hamba-hamba Allah.

Kedua : Bahawa konsep pahala dan dosa dalam Islam benarbenar menunjukkan besarnya rahmat dan kasih sayang Allah kepada kita hamba-hamba-Nya.

Ketiga : Bahawa pahala dan dosa adalah faktor utama penentu kebahagiaan dan kesengsaraan hidup manusia di dunia dan di akhirat

AMAL KEBAIKAN BAGI ORANG BUKAN ISLAM

Firman Allah SWT, dalam surah al-Furqan ayat ke-23:

وَقَدِمْنَا إِلَىٰ مَا عَمِلُوا مِنْ عَمَلٍ فَجَعَلْنَاهُ هَبَاءً مَّنثُورًا

Maksudnya: “Dan Kami tujukan perbicaraan kepada apa yang mereka telah kerjakan dari jenis amal (yang mereka pandang baik), lalu Kami jadikan dia terbuang sebagai debu yang berterbangan”

Imam al-Qurtubi mengatakan dalam tafsirnya bahawa ayat di atas menerangkan keadaan orang kafir di akhirat kelak. Amalan baik orang-orang kafir atau orang bukan Islam di akhirat kelak tidak akan dihitung oleh Allah SWT kerana tiada manfaat. Ini kerana mereka hidup dalam keadaan batil dan kafir, maka setiap amalan kebaikan akan menjadi debu, seperti tanah yang asalnya kelihatan namun apabila ditiup debunya bertebangan dan hilang begitu sahaja. 

Prof. Dr. Wahbah az-Zuhaili pula dalam tafsirnya mengatakan, amalan baik orang bukan Islam seperti memuliakan orang lain, sedekah, membebaskan tahanan, memberi perlindungan kepada mereka yang memerlukan, serta amal kebajikan mereka yang lain tidak akan dapat menyelamatkan mereka di akhirat kelak. Allah SWT menjadikan amalan-amalan tersebut hancur lebur sehingga tidak bermanfaat dan memberi kebaikan sama sekali, lantaran mereka tidak memiliki syarat secara syariat untuk diterima sesuatu amalan – iaitu mengerjakannya kerana Allah SWT dan sesuai dengan syariat-Nya. 

Walaupun begitu, amalan orang bukan Islam di atas dunia akan dibalas dengan kebaikan di atas dunia juga, sebagai bukti bahawa sifat maha penyayang Allah SWT yang kasihkan akan hamba-Nya. Ini berdasarkan hadis Nabi SAW:

Maksudnya: “Sesungguhnya orang kafir jika dia melakukan amalan kebaikan, maka dia akan dibalas dengan kebaikan di atas dunia. Ada pun orang yang beriman, Allah SWT akan membalas amalan kebaikannya di akhirat kelak, dan menyediakan ganjaran rezeki di atas dunia kerana ketaatannya. Dalam riwayat yang lain: Sesungguhnya Allah SWT tidak menzalimi seorang mukmin yang membuat amalan kebaikan kerana dia akan diberi balasan kebaikan di atas dunia, dan akan dibalas juga di akhirat kelak. Ada pun orang kafir mereka akan diberi ganjaran kebaikan di atas dunia terhadap perbuatan mereka tetapi di akhirat kelak tiada ganjaran yang akan diberikan” (Riwayat Muslim)

Syeikh Ali Abdul Hamid menjelaskan hadis ini bahawa para ulama bersepakat tentang orang yang mati dalam keadaan kafir tidak akan mendapat ganjaran pahala di akhirat, dan segala amalan kebaikannya di dunia tidak berguna di akhirat kelak. Namun hadis ini juga mengatakan bahawa orang kafir akan diberi rezeki di dunia kerana amalan kebaikan mereka, yang mana amalan itu jika dilakukan oleh orang mu’min maka akan dikira sebagai perkara yang mendekatkan diri kepada Allah SWT. Tetapi amalan itu hanya terpakai pada perbuatan kebaikan yang tidak perlu kepada niat untuk menjadikan perbuatan itu sah sebagai ibadah (contohnya solat memerlukan niat) seperti amalan silaturrahim, bersedakah, membantu orang yang susah dan lain-lain.

ALLAH MELIPATGANDAKAN PAHALA ORANG BERSEDEKAH

Setelah mengetahui tentang konsep pahala dan dosa  sepatutnya kita lebih teruja untuk melakukan amal kebaikan. Terutama bagi kita yang beragama Islam, sudah jelas bahawa setiap amal kebaikan kita akan dihitung dan boleh menyelamatkan kita daripada api neraka. Berbeza halnya dengan orang kafir yang melakukan kebaikan di dunia tetapi hanya diberikan balasan di dunia sahaja.

Salah satu daripada kebaikan yang boleh dilakukan adalah dengan bersedekah. Allah melipatkali gandakan pahala bagi orang yang bersedekah.

Allah SWT berfirman, dalam surah al-Baqarah ayat ke-261:

مَثَلُ الَّذِينَ يُنْفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنْبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِي كُلِّ سُنْبُلَةٍ مِائَةُ حَبَّةٍ ۗ وَاللَّهُ يُضَاعِفُ لِمَنْ يَشَاءُ ۗ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ

Maksudnya: “Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai, tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi Meliputi ilmu pengetahuan-Nya. (Surah al-Baqarah: 261)

Bayangkan, kita mengalihkan penghalang di jalan dan memudahkan perjalanan orang lain yang menggunakan jalan tersebut. Seberapa banyak pahala yang telah kita perolehi daripada satu tindakan itu sahaja. Bersedekah juga dalah salah satu amal yang pahalanya tetap dikira secara berterusan walaupun setelah kita meninggal dunia. Walau sedekah yang dihulurkan hanya RM1 tetap besar manfaatnya buat orang lain. Jangan bertangguh dan tunggu lagi. Bersedekahlah seberapa yang kita mampu. Semoga dengan amalan itu, rezeki menjadi lebih berkat dan pahalanya dihitung sepanjang masa selagi mana ia memberikan manfaat kepada golongan yang memerlukan. Jika masih mempunyai keraguan untuk menyalurkan sumbangan atau sedekah, boleh click pada template dibawah.

Wallahua’alam.

Sudahkah Anda Menjadi Tangan Yang Memberi?

Jika belum jom sama-sama dengan Perkim Datuk Keramat membantu mereka yang dalam kesusahan seperti ibu tunggal, mereka yang menghidap penyakit kronik dan pelbagai lagi. Sesungguhnya sedikit sumbangan anda, memberi 1000 kemanisan untuk mereka

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top