GOLONGAN YANG DIBERIKAN KEUZURAN DALAM BULAN RAMADHAN

GOLONGAN YANG DIBERIKAN KEUZURAN

BULAN RAMADHAN

Sedia maklum bahawa setiap Muslim itu diwajibkan baginya untuk berpuasa didalam bulan Ramadhan. Hal ini berdasarkan ayat al-Quran dalam surah al-baqarah ayat ke-183:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ كُتِبَ عَلَيْكُمُ ٱلصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ ١٨٣

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu supaya kamu bertaqwa”.

Dalam ayat ini telah tertulis bagi setiap muslim untuk berpuasa selama sebulan. Selama sebulan kita perlu menahan lapar dan dahaga dan perkara yang boleh membatalkan puasa. Pada penulisan yang lepas telah dibincangkan tentang sejarah pensyariatan puasa. Namun, tahukah anda bahawa terdapat juga golongan yang diberikan keuzuran dalam bulan Ramadhan daripada berpuasa?

Bila dengar keuzuran sudah tentu ramai yang ternanti-nanti. Betul? Oleh marilah kita hayati bersama konteks golongan yang diberikan keuzuran dan syarat yang diperlukan.

SIAPAKAH GOLONGAN YANG DIBERIKAN KEUZURAN DALAM BULAN RAMADHAN

  • Wanita Yang Dalam Keadaan Haid & Nifas

Para ulama telah bersepakat bahawa wanita yang dalam keadaan haid diharamkan baginya untuk berpuasa. Sekiranya dia tetap berpuasa maka puasanya adalah tidak sah. Sama ada puasa tersebut merupakan puasa wajib, sunat, kaffarah, ataupun nazar. Wajib ke atas mereka untuk menggantikan puasa ini apabila mereka suci dari haid. Ini berdasarkan sabda Nabi S.A.W:

 أَلَيْسَ إِذَا حَاضَتْ لَمْ تُصَلِّ وَلَمْ تَصُمْ

Maksudnya: “Tidakkah seorang wanita itu apabila dia datang haid dia tidak boleh solat dan tidak boleh berpuasa ?” (HR Bukhari 1951)

  • Orang Yang Dalam Keadaan Sakit

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat ke-184:

أَيَّامٗا مَّعۡدُودَٰتٖۚ فَمَن كَانَ مِنكُم مَّرِيضًا أَوۡ عَلَىٰ سَفَرٖ فَعِدَّةٞ مِّنۡ أَيَّامٍ أُخَرَ

Maksudnya: “(Puasa) itu adalah bilangan hari-hari yang tertentu. Siapa dari kalangan kalian yang sakit ataupun dalam keadaan bermusafir maka gantikanlah ia (puasa) pada hari yang lain.

Walaupun begitu, ada dhabit (piawaian) bagi kategori sakit yang dibenarkan berbuka dari ayat ini. Antaranya ialah:

Sakit tersebut adalah sakit yang teruk (berat) yang mana apabila orang tersebut berpuasa ia akan menambahkan lagi kesakitan ataupun melewatkan kesembuhan yang terdapat pada dirinya.

Apabila seseorang yang sakit itu berpuasa ia datang bersamanya masyaqqah (kepayahan) ke atas dirinya.

Oleh itu, bukan sembarangan sakit dibenarkan untuk berbuka puasa. Jika mampu untuk ditahan, maka teruskanlah berpuasa.

  • Orang Yang Sedang Bermusafir

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat ke-184:

أَيَّامٗا مَّعۡدُودَٰتٖۚ فَمَن كَانَ مِنكُم مَّرِيضًا أَوۡ عَلَىٰ سَفَرٖ فَعِدَّةٞ مِّنۡ أَيَّامٍ أُخَرَ

Maksudnya: “(Puasa) itu adalah bilangan hari-hari yang tertentu. Siapa dari kalangan kalian yang sakit ataupun dalam keadaan bermusafir maka gantikanlah ia (puasa) pada hari yang lain.”

Berdasarkan ayat ini, orang yang sedang bermusafir juga diberikan keringanan untuk tidak berpuasa. Apabila dia berbuka, menjadi suatu kewajipan ke atas dirinya untuk menggantikannya (qadha’) pada hari yang lain. Akan tetapi permusafiran ini juga mempunyai beberapa kriteria untuk menjadikan ia suatu yang mengharuskan berbuka puasa. Antaranya adalah seperti berikut:

Permusafiran tersebut merupakan perjalanan panjang yang terdapat masyaqqah (kepayahan) kepada musafir yang berpuasa untuk meneruskan puasanya.

Jika orang yang bermusafir itu meneruskan puasa semasa bermusafir, akan tetapi puasanya tidak memberi kemudharatan atau kepayahan kepada dirinya, maka adalah lebih afdhal untuk dia teruskan puasa

Jom edekah

BOLEHKAH GOLONGAN INI MAKAN SECARA TERBUKA DI SIANG HARI?

Inilah isu utama yang menjadi tumpuan untuk diulas. Kerana ia menjadi isu yang agak hangat dibincangkan. Sebelum mengulas lebih lanjut, suka untuk dikongsikan bersama beberapa kisah yang boleh dijadikan pengajaran.

Pertama: Rasulullah S.A.W bersabda:

 أَنَا سَيِّدُ وَلَدِ آدَمَ وَلاَ فَخْر

Maksudnya: “Aku adalah ketua (penghulu) bagi seluruh anak Adam dan itu bukan satu kebanggaan.” (HR Abu Daud) 

Ketika mengulas hadis ini, Sulthan al-Ulama al-Izz Ibn Abd al-Salam (w. 660 h.) berkata: Nabi S.A.W menyebut bahawa hal tersebut bukanlah suatu kebanggaan adalah untuk mencantas sangkaan golongan yang bersangka buruk terutamanya apabila baginda menceritakan berkenaan dirinya.

Sekalipun perbuatan menceritakan kelebihan yang ada pada diri sendiri itu bukanlah satu kesalahan, akan tetapi baginda tetap menyebutkan bahawa itu bukanlah suatu kebanggaan bagi mengelakkan fitnah berlaku ke atas diri baginda S.A.W.

Kedua: Di dalam sebuah hadis yang sahih, Rasulullah S.A.W dilihat sedang berdua-duan dengan seorang perempuan. Lalu dua orang lelaki dari kalangan Ansar melalui kawasan tersebut. Sebaik sahaja mereka melihat Nabi, keduanya terus berjalan secara laju. Maka sabda Nabi S.A.W:

 عَلَى رِسْلِكُمَا إِنَّهَا صَفِيَّة بِنْت حُيَي فَقَالَا‏:‏ سُبْحَانَ اللَّه يَا رَسُولَ اللَّهِ‏!‏ ‏:‏‏”‏إِنّ الشَّيطَانَ يجَرِي مِن ابنِ آَدَمَ مَجْرَى الدَّم وَإِنِّي خَشِيْت أن يَقْذِفَ فِي قُلُوبِكُمَا شَرَّا

Maksudnya: “Nanti dahulu wahai kamu berdua, sesungguhnya wanita ini adalah isteri aku Safiyyah binti Huyaiy. Lalu keduanya berkata: Maha Suci Allah wahai Rasulullah. Maka sabda Nabi S.A.W: Sesungguhnya Syaitan itu mengalir dalam tubuh badan manusia mengikut saluran darah dan aku takut dia mencampakkan keburukan dalam hati kamu berdua.” (HR Muslim 2175)

Hadis ini juga turut menunjukkan bahawa baginda S.A.W berusaha untuk mengelakkan fitnah ke atas diri baginda serta sangkaan buruk yang mungkin boleh terhasil ke atas orang lain melalui perbuatan baginda. Sekalipun berdua-duaan dengan isteri itu merupakan suatu yang dibolehkan, akan tetapi sekiranya ia boleh mendatangkan fitnah maka perlu diberikan penjelasan keadaan yang sebenar.

Ketiga: Kisah Ibrahim Nakhaie Dengan Anak Muridnya Sulaiman al-A’masy

Diriwayatkan bahawa Ibrahim al-Nakha’ie adalah seorang yang buta dan anak muridnya, Sulaiman bin Mehran al-A’masy pula seorang yang rabun. Satu hari keduanya berjalan bersama-sama menuju ke masjid. Kata Ibrahim: “Sulaiman, apa kata kamu ikut jalan yang lain manakala aku pula ikut jalan yang lain kerana aku takut nanti orang ramai melihat kita lalu mereka berkata:  Si buta dipimpin si rabun.  lalu mereka mengumpat kita dan mendapat dosa”.

Kata Sulaiman: “Wahai guruku, apa salahnya kita akan mendapat ganjaran pahala dan mereka (yang mengumpat) berdosa”. Jawab Ibrahim: “Tidak, kita selamat dan mereka juga selamat itu lebih baik dari kita diberi ganjaran pahala sedangkan mereka mendapat dosa”

Lihatlah akhlak yang telah ditonjolkan oleh Ibrahim al-Nakha’ie yang mana beliau bertanggungjawab ke atas perbuatannya. Boleh saja mereka berdua berjalan bersama untuk pergi ke masjid. Namun, apabila memikirkan mulut dan hati manusia lain yang tidak boleh di kawal dari mengumpat dan mencaci, maka mereka menggunakan jalan yang lain agar jauh dari manusia yang lain. Mungkin kita lebih suka untuk mendapat pahala hasil daripada umpatan orang lain sedangkan tanpa kita sedari perbuatan kita itu sendiri yang telah mengundang cacian dan umpatan. Ini tidak disukai oleh Ibrahim al-Nakha’ie dan baginya jika kedua-duanya terselamat adalah lebih baik.

Akhir kalam, Mufti Wilayah Persekutuan berpendapat bahawa hukum seseorang yang ada keuzuran untuk tidak berpuasa makan di siang hari bulan Ramadhan adalah HARUS. Adalah lebih afdhal ianya dilakukan di tempat yang sunyi dari penglihatan orang ramai bagi menjaga dan memelihara diri kita dari fitnah serta menyelamatkan orang ramai dari sangkaan buruk lalu mereka mendapat dosa.

Justeru, golongan yang diberikan keuzuran untuk makan di siang ketika berpuasa, elakkanlah daripada makanan di tempat awam bagi menghormati golongan yang berpuasa ketika itu. Sedangkan masyarakat Cina juga rasa malu untuk makan dihadapan orang Muslim, inikan kita yang beragaam Islam dengan bangganya makan dihadapan orang lain. Jauhilah sikap ini. Melainkan, di rumah yang ahlinya telah maklum bahawa kita diberikan keuzuran untuk makan. Maka, fitnah itu dapat dielakkan.

Semoga pencerahan ini dapat difahami dengan sebaiknya. Kami berdoa kepada Allah S.W.T agar menerima segala ibadah kita di bulan Ramadhan ini, seterusnya menjadikan kita tergolong dalam kalangan mereka yang bertakwa. Ameen.

Wallahua’lam.

Jika anda ingin menyalurkan sumbangan untuk membantu golongan yang memerlukan, boleh klik pada butang “Bantu Mereka” dibawah dan  salurkan sumbangan. Terima kasih.

Sudahkah Anda Menjadi Tangan Yang Memberi?

Jika belum jom sama-sama dengan Perkim Datuk Keramat membantu mereka yang dalam kesusahan seperti ibu tunggal, mereka yang menghidap penyakit kronik dan pelbagai lagi. Sesungguhnya sedikit sumbangan anda, memberi 1000 kemanisan untuk mereka

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top