SEJARAH PENSYARIATAN DAN BILANGAN RAKAAT SOLAT TARAWIH

SEJARAH PENSYARIATAN SOLAT TARAWIH

SOLAT TARAWIH

Solat sunat tarawih merupakan solat sunat yang khusus dalam bulan Ramadhan sahaja. Tidak ada solat secara berjemaah ini didalam bulan yang lain. Oleh sebab itu, pada awal Ramadhan setiap masjid dimeriahkan dengan menjemput imam-imam atau pelajar-pelajar tahfiz untuk mengimamkan solat sunat tarawih. Kemeriahan ini sangat dirasai apabila begitu ramai dalam kalangan jemaah yang menghadiri untuk solat tarawih turut diwarnai dengan alunan bacaan al-Quran yang merdu oleh para imam.

Namun, realiti kini lebih menyedihkan apabil menjelang minggu kedua dan seterusnya semakin kurang jemaah yang hadir menunaikan solat sunat ini. Ramai yang lebih memilih untuk ke pusat kompleks membeli belah berbanding beribadah di rumah-rumah Allah SWT.

Sungguhpun begitu, pernah tidak terfikir kenapa ada masjid yang melakukan solat sunat ini sebanyak 8 rakaat dan ada yang melakukan 20 rakaat. Dari kecil kita ikuti ayah ke masjid sampailah ke besar ini. Pernah tahu bilakah solat ini disyariatkan dan berapa rakaat disyariatkan? Mari kita selami apakah sabda Nabi Muhammad SAW dan kata para ulama’ berkaitan hal ini.

PENSYARIATAN SOLAT SUNAT TERAWIH

Solat tarawih merupakan suatu solat yang dituntut bagi umat Islam untuk melaksanakannya. Ganjaran melakukannya adalah sangat besar, sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :

‎مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Maksudnya : “Sesiapa yang melakukan qiyam Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran serta keampunan, akan diampunkan buatnya dosa-dosa yang terdahulu.” (HR Bukhari)

Hadis di atas jelas menunjukkan bahawa perbuatan qiyam Ramadhan yang meliputi solat tarawih, pembacaan al-Quran, zikir dan doa, serta selainnya daripada ibadah yang dilakukan pada malam hari bulan Ramadan, sekiranya ia dilakukan dengan penuh keimanan akan pensyariatannya serta mengharapkan ganjaran pahala dari Allah S.W.T, nescaya pelakunya akan diampunkan dosa-dosa kecilnya yang terdahulu.

Imam Al-Nawawi di dalam kitab beliau Syarah Al-Nawawi ‘Ala Muslim (6/377) mengatakan : ‘’Qiyam Ramadhan adalah solat tarawih’’.

Pensyariatan solat tarawih dapat dilihat melalui sebuah riwayat daripada Umm Al-Mu’minin A’isyah RA bahawa beliau berkata :

 ‎أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم صَلَّى ذَاتَ لَيْلَةٍ فِي الْمَسْجِدِ فَصَلَّى بِصَلاَتِهِ نَاسٌ، ثُمَّ صَلَّى مِنَ الْقَابِلَةِ فَكَثُرَ النَّاسُ، ثُمَّ اجْتَمَعُوا مِنَ اللَّيْلَةِ الثَّالِثَةِ أَوِ الرَّابِعَةِ، فَلَمْ يَخْرُجْ إِلَيْهِمْ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم، فَلَمَّا أَصْبَحَ قَالَ ‏‏ قَدْ رَأَيْتُ الَّذِي صَنَعْتُمْ وَلَمْ يَمْنَعْنِي مِنَ الْخُرُوجِ إِلَيْكُمْ إِلاَّ أَنِّي خَشِيتُ أَنْ تُفْرَضَ عَلَيْكُمْ ‏ وَذَلِكَ فِي رَمَضَانَ

Maksudnya : “Sesungguhnya Rasulullah S.A.W pada suatu malam sedang solat di dalam masjid. Maka orang ramai pun mengikut solat bersama baginda. Kemudian pada malam berikutnya, baginda solat sekali lagi dan jemaah yang mengikutnya semakin banyak. Pada malam yang ketiga atau keempat, orang ramai berkumpul menanti ketibaan Rasulullah S.A.W sebaliknya baginda tidak keluar kepada mereka. Apabila masuk waktu subuh, baginda bersabda kepada para jemaah : Sesungguhnya aku telah melihat apa yang kamu semua lakukan. Dan tidaklah yang menghalang aku dari keluar kepada kamu melainkan aku takut solat itu akan difardhukan ke atas kamu semua. Yang demikian itu berlaku pada bulan Ramadan.” (HR Bukhari)

Berdasarkan hadis di atas, Rasulullah S.A.W pada malam hari pertama bulan Ramadan baginda keluar menuju ke masjid pada waktu malam dan mendirikan solat. Kemudian orang ramai yang berada di sekitar turut serta mengikuti solat malam Rasulullah S.A.W. Demikian juga pada malam yang kedua, Cuma bilangan jemaah yang solat bersama baginda semakin ramai. Manakala malam yang berikutnya, bilangan jemaah semakin ramai sehingga memenuhi masjid. Maka pada malam yang berikutnya, Nabi S.A.W tidak keluar ke masjid dan ramai orang pada ketika itu yang menanti kehadiran baginda. Sebaik sahaja waktu subuh, selepas sahaja solat baginda berpaling seraya mengatakan sebagaimana yang disebutkan dalam hadis di atas.

Syeikh Syams Al-Haq Al-‘Azhim Abadi ketika mensyarahkan hadis ini beliau berkata : ‘’Baginda khuatir solat tarawih akan difardhukan ke atas mereka. Ini kerana boleh jadi berlakunya kefardhuan atas perbuatan qiyam Ramadhan secara berjamaah disebabkan ia dibuat secara berterusan’’.

Jom edekah

BILANGAN RAKAAT SOLAT TARAWIH

Rasulullah SAW tidak menetapkan bilangan tertentu. Sebenarnya, ulama telahpun membincangkan permasalahan ini sejak dahulu lagi, imam al-Suyuti mengatakan: Berdasarkan kepada hadith-hadith sama ada yang sahih, hasan dan juga daif serta targhib (galakan), tidak ada pun yang menetapkan bilangan yang khusus.

Menurut satu riwayat, Nabi SAW solat bersama-sama mereka tiga atau empat malam berturut-turut.

Ibn Qudamah menyatakan, “Pendapat yang dipilih oleh Abi Abdillah (Ahmad bin Hanbal) ialah 20 rakaat. Inilah pendapat as-Thauri, Abu Hanifah dan as-Syafie. Malik berkata: 36 rakaat dalam solat tarawih. Beliau mendakwa ianya (36 rakaat) suatu perkara yang lama yang dilakukan oleh penduduk Madinah.

“Bagi kami, adalah riwayat daripada al-Hassan meriwayatkan bahawa Umar menghimpun orang ramai di bawah Ubai bin Ka’ab dengan 20 rakaat dan membaca qunut selepas pertengahan bulan yang kedua. Ketika sepuluh malam terakhir, Ubai tidak hadir sembahyang menjadi imam kerana melakukannya di rumah. Juga terdapat riwayat daripada Ali bin Abi Talib yang menyuruh supaya bersembahyang sebanyak 20 rakaat. Ini seolah-olah sudah hampir menjadi ijmak iaitu 20 rakaat (di kalangan ulama mazhab).

Sebab berlaku pertambahan bilangan rakaat antara penduduk Madinah ke atas penduduk Mekah ilah kerana penduduk Mekah tawaf sekeliling Kaabah setiap dua rakaat tarawih dan solat sunat tawaf dua rakaat.

Maka ahli Madinah menjadikan setiap tawaf yang dilakukan satu tarawih sehinggalah bilangannya menjadi 36 rakaat.

Syeikh Abdullah al-Ghummari berkata di dalam kitab Asrar as-Siyam bahawa, “Tidak benar daripada Baginda SAW tentang Baginda SAW solat lebih daripada 8 rakaat selain witir. Sesiapa yang hanya melakukannya dengan jumlah itu maka itulah yang paling afdal dan sesiapa yang menambah lebih dari itu maka tidak mengapa (tiada kesempitan) kerana syarak tidak menghalang ditambah bilangannya lebih dari 8 rakaat.”

Imam Ibn Taimiyyah menjelaskan bahawa, “…Solat tarawih jika seseorang solat mengikut mazhab Abu Hanifah, as-Syafie dan Ahmad iaitu 20 rakaat, atau mazhab Malik iaitu 36 rakaat atau 13 rakaat ataupun 11 rakaat maka kesemuanya adalah terbaik.”

Kesimpulannya, mana-mana bilangan rakaat yang hendak dilaksanakan semuanya ada nas dan riwayat yang menyebut demikian. Maka tidak perlu berbahas dan bertelingkah di dalam masalah bilangan rakaat tarawih. Kesemuanya ada kebaikan.

Kebanyakan jumhur ulama berpandangan bahawa hendaklah dilakukan solat tarawih 20 rakaat. Sesiapa yang melakukan 8 rakaat hendaklah memanjangkan bacaan ayat al-Quran kerana ia merupakan sunnah yang diajar kepada kita oleh baginda SAW dan para Khulafa ar-Rasyidin.

Dan bagi yang solat 20 rakaat, janganlah dilakukan dengan begitu cepat sebagaimana yang berlaku di sesetengah masjid di negara kita.

Syeikh al-Qaradawi berkata, “Tidak boleh kita mengingkari mereka yang solat 20 rakaat dengan menyatakan ia mengingkari sunnah atau solat 8 rakaat dengan menyatakan ia menyalahi athar yang menerangkan perbuatan golongan salaf yang terdahulu. Mengikut Imam Syafie, tidak boleh menyalahkan satu sama lain di dalam masalah ini selagi mana dikerjakan dengan tertib dan khusyuk. Dan juga kerana tiada kesempitan (diberi keluasan) padanya untuk melaksanakan apa sahaja yang sesuai bagi dirinya.”

SOLAT TARAWIH DI RUMAH, BOLEH KE?

Berbalik kepada hadis ‘A’isyah RA di atas zahir menunjukkan kepada keharusan mendirikan solat sunat tarawih di rumah. Justeru, tidak ada masalah untuk seseorang itu melakukan solat tarawih secara berjemaah di rumahnya bersama keluarga. Bahkan berjemaah dalam melakukan solat tarawih itu adalah lebih afdhal berbanding secara bersendirian.

Imam Al-Nawawi berkata :

وَتَجُوزُ مُنْفَرِدًا وَجَمَاعَةً وَأَيُّهُمَا أَفْضَلُ فِيهِ وَجْهَانِ مَشْهُورَانِ كَمَا ذَكَرَ الْمُصَنِّفُ وَحَكَاهُمَا جَمَاعَةٌ قَوْلَيْنِ (الصَّحِيحُ) بِاتِّفَاقِ الْأَصْحَابِ أَنَّ الْجَمَاعَةَ أَفْضَلُ

Maksudnya : Dan dibolehkan (solat tarawih itu dilakukan) secara bersendirian dan juga secara berjemaah. Berkenaan yang manakah yang afdhal antara keduanya terdapat dua pendapat yang masyhur semana yang disebutkan oleh musannif dan diceritakan oleh majoriti (al-Syafi’eyyah), yang sahih secara sepakat oleh ashab, secara berjemaah itu adalah lebih afdhal.

Wallahua’lam.

Jika anda berminat untuk membantu golongan yang susah di bulan yang Mulia ini, boleh klik pada butang “Bantu Mereka” dibawah dan  salurkan sumbangan. Terima kasih.

Sudahkah Anda Menjadi Tangan Yang Memberi?

Jika belum jom sama-sama dengan Perkim Datuk Keramat membantu mereka yang dalam kesusahan seperti ibu tunggal, mereka yang menghidap penyakit kronik dan pelbagai lagi. Sesungguhnya sedikit sumbangan anda, memberi 1000 kemanisan untuk mereka

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top