ISU VIDEO MASHY: MEMUATNAIK VIDEO TANPA KEBENARAN MENIMBULKAN KEKELIRUAN

ISU VIDEO MASHY MEMUATNAIK VIDEO TANPA KEBENARAN MENIMBULKAN KEKELIRUAN

VIDEO MASHY TENTANG MALAIKAT

Usahawan yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan, Masitah Mohd Affandy memohon maaf atas salah faham dan kekeliruan yang timbul selepas tular satu videonya di laman sosial baru-baru ini. Permohonan maaf terbuka itu dibuat menerusi video dimuat naik di akaun TikTok dan Facebook (FB) miliknya, tengah malam tadi.

Menjelaskan perkara sebenar, Mashy, 32, berkata, video itu dirakam tanpa pengetahuannya sebelum dia buta. “Ia juga dimuat naik tanpa pengetahuan dan keizinan tetapi saya juga tidak bermaksud marah, sedih dan sebagainya. Menerusi video yang tular, wanita mesra disapa Mashy itu dilihat bersembang dengan beberapa individu sambil menyatakan secara kiasan yang malaikat sebagai perantara doa manusia kepada Allah.

Perkongsian video oleh seorang pengguna TikTok itu mengundang pelbagai reaksi dan mendapat teguran daripada banyak pihak yang menganggap fahaman itu salah serta mengelirukan. Menurut Mashy, video itu bukan untuk tatapan umum atau disebarkan sebagai bahan pendidikan.

“Apa ‘content’ yang saya cakap tentang malaikat dan sebagainya itu adalah bukan bertujuan pendidikan, bukan untuk disebarkan apatah lagi diamalkan. Tak nak lah nanti orang cakap Mashy ajar kita doa cakap kat malaikat. Bukan …” menurut Mashy.

Justeru, Mashy memohon jasa baik semua termasuk rakan dan warga TikTok yang sudah memuat naik dan menyebarkan video berkenaan supaya memadam atau menurunkannya daripada platform laman sosial masing-masing. “Saya dengan rendah hati, rendah diri memohon maaf atas kekeliruan yang berlaku, saya juga dengan rasa bersyukur ucapkan terima kasih kepada mereka yang alert (beritahu) saya tentang kewujudan video itu.

Terdahulu, Harian Metro pernah melaporkan kisah Mashy yang dahulunya normal namun buta kedua matanya selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya pada 21 Mac lalu iaitu dua hari sebelum Ramadan. Berikutan kemalangan itu, Mashy dirawat selama 24 hari di wad hospital namun apa yang berlaku tidak menyebabkannya murung sebaliknya terus positif dalam meneruskan kehidupan.

Daripada isu ini, yang menjadi perbincangan dan perbualan orang ramai apabila terdapat kata-kata yang boleh menimbulkan kekeliruan orang ramai yang mana terdapat perkataan memohon kepada Malaikat, dan ada yang mempertikaikan memohon mestilah dengan Allah SWT. Namun, perkara terjadi adalah kerana memuat naik video dan penularan video tanpa pengetahuan orang yang bercakap. Boleh jadi kata-kata tersebut boleh difahami dengan baik dan terdapat penerangan tentang hal itu yang tidak terdapat didalam video tersebut. Justeru, artikel ini membincangkan apakah terdapat kata-kata yang boleh menyebabkan seseorang itu syirik dan melihat konteks zaman kini yang mudah menyebarkan maklumat orang lain tanpa keizinannya.

KETAHUI JENIS-JENIS SYIRIK

Syirik adalah dosa besar yang paling besar. Oleh itu, ianya diletakkan sebagai dosa besar yang pertama daripada 76 dosa besar yang dihimpunkan oleh Imam al-Zahabi dalam kitabnya al-Kaba’ir. Maka jelas syirik merupakan perkara yang sangat diharamkan dalam Islam.

Firman Allah SWT dalam surah an-Nisa’ ayat ke-48:

إِنَّ اللَّهَ لَا يَغْفِرُ أَنْ يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَلِكَ لِمَنْ يَشَاءُ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNya (dengan sesuatu apajua), dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan SyariatNya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya ia telah melakukan dosa yang besar.”

Ibn Kathir berkata: “Allah Ta’ala tidak akan mengampuni dosa syirik yaitu ketika seorang hamba bertemu Allah dalam keadaan berbuat syirik.”

 Menurut Ibn al-Jauzi, Allah tidak akan mengampuni orang yang musyrik yang mati dalam kesyirikan.

Rasulullah SAW bersabda:

أَكْبَرُ الْكَبَائِرِ الإِشْرَاكُ بِاللَّهِ

Maksudnya: “Dosa besar yang paling besar, adalah menyekutukan (sesuatu) kepada Allah.” (HR Bukhari)

Terdapat 6 jenis syirik yang telah dinyatakan melalui laman web Mufti Wilayah Persekutuan dan salah satunya ialah Syirik Asbab.

Syirik asbab : Menyandarkan satu kesan terhadap sebab tertentu yang bersifat adat seperti berpegang bahawa manusia kenyang kerana makan, dan bukan Allah SWT yang mengenyangkannya.

Kebanyakan orang selalu terlepas pandangn dan terlepas mulut dalam menyatakan sesuatu perkara. Sebagai contoh menyatakan nasi mengenyangkan sedangkan yang memberikan rasa kenyang adalah Allah SWT. Kenyataan seperti bersifat kiasan kerana menjadikan nasi itu sebagai asbab cuma dalam konteks ayat menyatakan nasi itu yang mengenyangkan walaupun tidak bermaksud sedemikian rupa.

Adapun ayat ini, ia memerlukan perincian. Jika ianya disandarkan kepada sebab tertentu semata-mata, maka dia dikira kufur secara ijmak. Jika dia meyakini bahawa ianya memberi kesan melalui daya yang dijadikan oleh Allah kepada makhluk, dia dikira fasik dan ahli bid’ah.

Oleh sebab itu, kita perlu bersyukur atau mengucap apa-apa zikir sebelum menyebut sesuatu perkara agar dapat menyucikan lidah dan fikiran kita daripada sebarang sesuatu selain daripada Allah SWT. Namun, ada sesetengah perkataan yang benar-benar boleh mengundang syirik kepada Allah SWT adalah seperti “Tuhan itu adalah makhluk halus” yang mana kenyataan ini pernah dikeluarkan suatu tika dahulu secara meluas dengan alasan Tuhan itu tidak dapat melihat sedangkan ayat tersebut secara tidak langsung menyamakan Tuhan dengan makhluk halus yang lainnya seperti jin dan syaitan. Oleh itu, berhati-hatilah dalam berkata-kata agar Aqidah kita terpelihara.

RAKAM TANPA KEBENARAN MELANGGAR HAK PRIVASI

Berbalik kepada soal isu tadi, perkataan yang dinyatakan itu tidak jelas dan memerlukan perincian daripada tuan badan iaitu Mashyi itu sendiri. Namun, menjadi kecaman tanpa sebarang penjelasan kerana video tersebut dimuatnaik oleh orang lain tanpa pengetahuannya. Apakah ianya wajar dilakukan?

Budaya mengambil gambar dan video individu terutama ketika berlaku sesuatu insiden sudah menjadi lumrah sejak kebelakangan ini. Bagaimanapun, tindakan tersebut tanpa sedar sebenarnya melanggar hak privasi seseorang terutama sekiranya gambar atau video tersebut dimuat naik di media sosial.

Apabila bercakap mengenai hak privasi, apakah yang dimaksudkan sebagai ‘hak privasi’? Secara kasarnya, hak privasi adalah hak peribadi anda yang anda tidak mahu kongsikan atau dedahkan kepada orang lain.

Jika didedahkan tanpa kerelaan, berkemungkinan akan memberi impak negatif kepada diri anda seperti trauma dan tekanan mental.Pada dasarnya, Perlembagaan Persekutuan tidak mempunyai sebarang peruntukan spesifik mengenai hak privasi.

Namun, pada 2010, Mahkamah Persekutuan dalam kes Sivarasa Rasiah v Badan Peguam Malaysia & Anor [2010] 3 CLJ 507 telah memutuskan bahawa kebebasan diri (personal liberty) yang termaktub dalam Perkara 5(1) Perlembagaan Persekutuan turut termasuk hak privasi seseorang individu. Ini bermaksud, mahkamah di Malaysia sama ada secara langsung mahupun tidak langsung mengiktiraf perlindungan hak privasi di Malaysia.

Walaupun Malaysia mempunyai Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (PDPA), namun PDPA tidak digubal untuk melindungi hak privasi anda. Sebaliknya, PDPA digubal untuk lebih melindungi maklumat diri anda bagi tujuan komersial.

Sebagai contoh, jika anda dirakam secara sembunyi ketika berada di dalam kamar mandi, tiada tindakan perundangan yang boleh diambil di bawah PDPA. Namun, jika maklumat diri anda (seperti nombor kad pengenalan dan nombor telefon) telah dikongsikan kepada mana-mana syarikat lain seperti syarikat pengiklanan dan sebagainya, potensi untuk tindakan diambil di bawah PDPA mungkin ada.

Berbanding negara lain, Malaysia masih tidak mempunyai sebuah akta atau peruntukan undang-undang yang spesifik mengenai perlindungan hak privasi ini. Namun ini tidak bermaksud tiada tindakan yang boleh diambil kepada mana-mana pihak yang melanggar hak privasi anda.

Setelah sekian lama para peguam dan aktivis hak asasi menyeru agar pihak kerajaan menggubal satu undang-undang berkenaan pelanggaran hak privasi, namun sehingga kini masih tiada ura-ura yang menunjukkan undang-undang sebegitu akan digubal. Kita harus menggesa pihak kerajaan agar menggubal satu peruntukan undang-undang yang mapan dalam isu pelanggaran hak privasi agar rakyat sentiasa dilindungi oleh undang-undang dan pelanggaran hak privasi seseorang tidak diambil secara sambil lewa.

Dengan teknologi yang serba canggih sekarang terlalu mudah kita menerima maklumat dan jangan terlalu mudah untuk menghukum. Adakalanya ianya bukan disebarkan oleh tuan badan sendiri. Ingatlah, di zaman fitnah ini kita lebih diuji dengan mencari kesalahan orang dan menyebarkan aib daripada menjaga amalan sendiri yang sudah lama berkarat. Jangan terlalu cepat menghukum dan elakkan lah diri daripada menyebarkan aib bahkan memuatnaik privasi diri yang boleh menjadi fitnah kelak.

Wallahu a’lam.

Sudahkah anda bersedekah hari ini? Jika belum, mari tekan butang “Bantu Mereka” dibawah dan memilih mana-mana agensi/madrasah untuk disalurkan sumbangan. Sesungguhnya tangan yang memberi itu lebih baik daripada tangan menerima. Terima kasih.

Sudahkah Anda Menjadi Tangan Yang Memberi?

Jika belum jom sama-sama dengan Perkim Datuk Keramat membantu mereka yang dalam kesusahan seperti ibu tunggal, mereka yang menghidap penyakit kronik dan pelbagai lagi. Sesungguhnya sedikit sumbangan anda, memberi 1000 kemanisan untuk mereka

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top