MENYINGKAP ERTI KEMERDEKAAN HARI KEBANGSAAN MALAYSIA

HARI KEBANGSAAN MALAYSIA 2022

Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Laungan keramat yang sering kali kita dengari menjelangnya Hari Kebangsaan Malaysia pada tanggal 31 Ogos pada setiap tahun sebagai suntikan semangat cinta akan negara yang terdiri daripada pelbagai kaum dan bangsa serta memperingati jasa tokoh-tokoh terdahulu yang memperjuangkan tanah air bagi mendapatkan kemerdekaan daripada penjajah.

Zaman sekarang bukan lagi seperti zaman dahulu. Zaman dahulu kita dijajah oleh bangsa asing dan juga komunis. Para pejuang kemerdekaan bergadai nyawa dalam memastikan negara kita Malaysia tercinta ini bebas dari penjajahan. Detik 31 Ogos 1957, negara kita, Malaysia telah bebas daripada cengkaman penjajah dan kita berjaya membentuk negara bangsa dengan acuan kita sendiri. Kini, dalam era zaman serba maju lagi canggih, kita ‘dijajah’ pula oleh bentuk pemikiran luar yang akhirnya menjejaskan aspek sosialisme, ekonomi, pemerintahan dan banyak lagi.

ERTI KEMERDEKAAN

Menyelami erti kemerdekaan yang sebenar terutamanya di alaf baharu ini, merdekakah kita yang sebenarnya? Banyak aspek sebenarnya yang masih kita belum merdeka kerana terlalu mengagungkan konsep yang disampaikan dari negara moden dan maju di luar sana. Antaranya: 

  • SOSIAL

Jika dilihat dari sudut sosial seperti cara pemakaian, pergaulan dan percakapan telah menunjukkan banyak perubahan yang semakin jauh daripada gaya tradisional yang asal dan agama. Mengikuti fesyen adalah dibenarkan tetapi ketahuilah batas-batasnya yang telah dianjurkan di dalam agama Islam. Terlalu mengikut fesyen dan gaya orang Barat sehingga mendedahkan aurat secara langsung atau tidak langsung. Pendek kata, semakin hilang melayu dan Islam kerana anasir luar yang menguasai. Ikutilah fesyen yang mematuhi Syariah Islam dan cara bergaul yang dibenarkan. Jangan kerana ingin bermusafir mencipta kenangan bersama kawan-kawan atau menghadiri kursus kerja, kita mengabaikan cara bergaul yang betul sehingga hilangnya maruah atau darjat wanita yang sepatutnya kita pelihara.

  • PEMIKIRAN

Bukan sudut sosial sahaja, muncul pula bentuk pemikiran sekularisme dan liberalisme di Malaysia yang menyebabkan tertubuhnya pertubuhan yang menyokong LGBT. Lebih teruk lagi, komuniti ini semakin berani menyuarakan pendapat demi mempertahankan hak mereka yang batil. Kesannya, teralu banyak bentuk pemikiran yang terlalu ‘terbuka’ sehingga menyebabkan melakukan kesalahan dan menayangkannya bukanlah suatu perkara yang memalukan.

Tular baru-baru ini berkenaan dengan konsert artis yang bernama Billie Eilish yang mana dihadiri ramai daripada orang Islam sendiri sehingga sanggup beratur berjam-jam sehingga memakan waktu solat. Bahkan, ramai yang menyatakan kekecewaan di media sosial tentang pengurusan yang menempatkan pentas terlalu jauh daripada bangku penonton. Tanpa kita sedari, kita sebenarnya telah merasakan kesedihan dan kekecewaan kerana pengurusan konsert yang melalaikan dan bukannya kerana kurang menghadiri majlis ilmu dan solat berjemaah.

  • EKONOMI

Sistem ekonomi Kapitalisme dari Barat telah menyerap masuk, sehinggalah lahirnya masyarakat yang terjajah cara berfikirnya. Kapitalisme telah berjaya melahirkan masyarakat yang terbelenggu. Inilah yang dapat kita saksikan hari ini. Begitu banyak sistem pinjaman yang disediakan berunsur riba dan mengenakan ‘faedah’ kepada rakyat Malaysia sehingga ramai yang terkesan dan terbeban.namun memberikan keuntungan kepada golongan yang tertentu. Sistem cukai yang dikenakan kepada rakyat juga sangat banyak sehingga rakyat menganggapnya sebagai suatu perkara yang biasa walhal ianya membebankan. Belum dikira lagi pusat perjudian, bekalan rokok dan arak yang tiada tanda bahawa peniagaan ini akan dihentikan hanya kerana mampu memberikan keuntungan kepada negara dan bukannya manfaat yang baik kepada rakyat. 

Kapitalisme yang telah digambarkan tadi, menyebabkan masyarakat seolah-olah tidak mampu bangkit untuk melawannya. Hal ini kerana, cara berfikir masyarakat hari ini adalah cara berfikir golongan terjajah. Masyarakat seolah-olah sudah tersebati dan terbiasa dengan sistem Kapitalisme ini. Apabila mereka dihurung kemiskinan yang melarat, mereka tidak fikir puncanya adalah sistem Kapitalisme itu. Masing-masing tercari-cari solusi, sedangkan mereka masih berada dalam kerangka Kapitalisme. Sudah pasti jalannya semakin buntu. Mengapa mereka tidak mengkaji kaedah penyelesaian ekonomi Islam?

Masyarakat tidak dapat melihat Islam sebagai satu solusi, bukan kerana Islam itu tiada solusi. Akan tetapi, disebabkan masyarakat sudah tersebati dengan adunan sekularisme. Sekularisme berjaya menjadikan Islam itu dilihat hanya sebagai kepercayaan dan tiada cara hidup yang benar.

SOLUSI UNTUK MERDEKA

Setelah diselami erti kemerdekaan, jelas bahawa kita masih lagi dibawah jajahan luar. Justeru, kembali kepada agama Islam adalah satu-satunya cara untuk memerdekakan kita daripada teruk leka mengikuti anasir luar. Hal ini kerana Islam adalah satu-satunya agama yang diterima di sisi Allah SWT. Firman Allah SWT didalam surah Ali Imran ayat ke-19:

إِنَّ ٱلدِّينَ عِندَ ٱللَّهِ ٱلْإِسْلَـٰمُ ۗ وَمَا ٱخْتَلَفَ ٱلَّذِينَ أُوتُوا۟ ٱلْكِتَـٰبَ إِلَّا مِنۢ بَعْدِ مَا جَآءَهُمُ ٱلْعِلْمُ بَغْيًۢا بَيْنَهُمْ ۗ وَمَن يَكْفُرْ بِـَٔايَـٰتِ ٱللَّهِ فَإِنَّ ٱللَّهَ سَرِيعُ ٱلْحِسَابِ

Maksudnya: “Sesungguh-nya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam…” 

Pengiktirafan Allah SWT mengenai kedudukan Islam tidak boleh diragui sama sekali. Apatah lagi umat Islam yang mengaku dirinya beriman dengan ajaran dibawa Rasulullah SAW. Dalam ayat lain, Allah SWT menjelaskan, sesiapa yang memilih agama selain daripada Islam, maka mereka melakukan perbuatan yang salah dan tidak diterima Allah SWT. Firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat ke-85:

وَمَن يَبْتَغِ غَيْرَ ٱلْإِسْلَـٰمِ دِينًا فَلَن يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِى ٱلْـَٔاخِرَةِ مِنَ ٱلْخَـٰسِرِينَ

Maksudnya: “Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya dan ia pada hari akhirat kelak daripada orang yang rugi.” 

Kedatangan Islam menerusi wahyu disampaikan kepada Rasulullah SAW menjadikan kepercayaan lain tertolak. Malah, syariat yang dibawa rasul sebelumnya juga terhapus. Ajaran Islam yang dibawa Rasulullah SAW adalah untuk semua manusia menerimanya. Islam yang sampai kepada manusia pada hari ini adalah agama yang sama disampaikan oleh Rasulullah SAW. Ia mengandungi ketetapan jelas berdasarkan sumber agama yang tidak pernah berubah dari dulu, kini dan selamanya iaitu al-Quran dan sunah. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Wahai sekalian manusia, sesungguhnya aku telah tinggalkan buat kamu (dua perkara) selagi kamu berpegang dengannya, maka kamu tidak akan sesat selama-lamanya iaitu Kitabullah (al-Quran) dan sunah Nabi-Nya.” (Hadis riwayat al-Baihaqi)

DOA MENETAPKAN HATI

Oleh itu, dapat difahami bahawa rakyat Malaysia secara fizikalnya telah merdeka namun dari segi pemikiran dan spiritual kita masih lagi dijajah oleh pengaruh Barat. Bagi masyarakat yang menginginkan kemajuan negara dengan cara bergerak selari bersama negara maju yang lain adalah baik namun perlulah kita tapis terlebih dahulu mengikut kehendak syara’ dan inovasikannya dengan harapan tanah air kita menjadi sebuah negara yang berdaya saing. Hal ini sangat penting lebih-lebih lagi Malaysia adalah sebuah negara yang bermajoritikan rakyat yang beragama Islam. Sesuai dengan tema Hari Kebangsaan Malaysia 2022 iaitu Keluarga Malaysia Teguh Bersama yang mana rakyat hanya memerlukan rakyat juga untuk menjaga dan memperingatkan sesama sendiri. Selain itu, kita juga memerlukan satu doa sebagai amalan harian bagi menjaga dan menetapkan hati ini hanya untuk agama dan Allah SWT iaitu Doa Memohon Ketetapan Hati. Dengan amalan ini, kita mengharapkan hati-hati rakyat Malaysia semuanya teguh dan kuat kerana Islam.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top