PERJALANAN SISTEM PILIHAN RAYA UMUM DI MALAYSIA

SISTEM PILIHAN RAYA UMUM DI MALAYSIA

Pilihan Raya Umum di Malaysia akan melalui beberapa fasa iaitu pembubaran parlimen, pengeluaran writ, penamaan calon dan pembentangan manifesto, kempen, pengundian, penjumlaha rasmi undi dan pengumuman keputusan. Selepas pembubaran Parlimen pada 10 Oktober lalu, telah bermulanya hari yang bakal menjawab semua persoalan mengenai Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Bertempat di ibu pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Putrajaya, mesyuarat khas pada 20 Oktober akan membincangkan dan menentukan tarikh penting PRU15.

Mesyuarat khas yang dipengerusikan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh, akan membincangkan tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian, daftar pemilih yang akan digunakan dan pelbagai persiapan lain.

Semua yang dibincangkan dalam mesyuarat khas itu sebenarnya ialah proses sistem Pilihan Raya Umum (PRU) atau Pilihan Raya Kecil (PRK) yang mempunyai enam peringkat, iaitu seperti berikut:

PENGELUARAN WRIT

Apabila Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan atau terdapat kekosongan di luar jangka, SPR akan mengeluarkan writ, iaitu surat kuasa untuk menjalankan pilihan raya kepada Pegawai Pengurus.

Pada masa sama, satu notis pilihan raya akan diwartakan dan ditampal di tempat-tempat yang mudah untuk semakan orang ramai. Notis tersebut akan mengandungi tarikh penamaan dan tarikh pengundian yang akan dijalankan.

PENAMAAN CALON

Pada hari penamaan calon yang ditetapkan, antara jam 9 hingga 10 pagi, Pegawai Pengurus akan menerima borang-borang penamaan daripada calon, pencadang atau penyokong atau ketiga-tiga sekali.

Selain menyerahkan tiga salinan borang penamaan; calon, pencadang atau penyokong perlu menyertakan deposit pilihan raya dan Borang Akaun Berkanun, iaitu Borang 5 untuk calon bagi ahli Dewan Rakyat dan Borang 5A untuk calon bagi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun)

Borang-borang ini perlu dimatikan setem di Pejabat Duti Setem. Pegawai Pengurus akan mengisytiharkan calon-calon yang layak bertanding. Jika hanya seorang calon yang layak, Pegawai Pengurus akan mengumumkan calon berkenaan sebagai menang tanpa bertanding.

KEMPEN

Selepas sahaja urusan penamaan calon selesai, calon-calon atau wakilnya boleh mula berkempen, iaitu memasang poster, berceramah, mengedar risalah dan berkempen dari rumah ke rumah. Aktiviti kempen perlu dihentikan pada jam 12 tengah malam sebelum hari mengundi.

Ketika inilah rakyat akan diperlihatkan banjiran bendera parti politik yang dipacakkan di kebanyakan tempat. Sehinggakan ada juga yang memacakkan bendera disekeliling rumah menunjukkan semangat yang diperjuangkan bagi sesebuah parti yang disokong.

Untuk tujuan kempen, calon-calon dikehendaki membayar deposit bahan kempen sebanyak RM5,000 bagi pilihan raya Parlimen dan RM3,000 bagi pilihan raya DUN. Begitu juga pemasangan poster yang perlu membayar sejumlah wang kepada pihak berkuasa tempatan. Bagi membolehkan calon-calon mengadakan ceramah terbuka, kelulusan polis diperlukan.

PENGUNDIAN

Pada hari mengundi yang ditetapkan, pemilih-pemilih yang namanya ada dalam daftar pemilih akan keluar mengundi di pusat-pusat mengundi yang telah ditetapkan. Pada amnya, masa mengundi yang ditetapkan oleh SPR ialah antara jam 8 pagi hingga 6 petang di Semenanjung Malaysia dan mulai jam 7.30 pagi hingga 5.30 petang di Sabah dan Sarawak.

Namun ada kawasan yang masa mengundi dipendekkan atas alasan keselamatan dan kesukaran pengangkutan terutama di Sabah dan Sarawak. Setiap pusat mengundi biasanya mempunyai lebih dari satu tempat mengundi (saluran). Ia diketuai oleh seorang Ketua Tempat Mengundi dan dibantu oleh dua hingga empat orang Kerani Pengundian.

Pengundi awal, iaitu anggota tentera dan polis serta pasangan, akan mengundi pada Hari Mengundi Awal. Pengundi yang layak mengundi secara pos pula akan menerima kertas undi pos selepas proses pengeluaran kertas undi pos dilaksanakan. Semua kertas undi pos yang telah ditandakan perlu dihantar dan diterima oleh Pegawai Pengurus selewat-lewatnya pada jam 5 petang hari mengundi.

PENJUMLAHAN RASMI UNDI

Sebaik saja urusan pengundian selesai, Ketua Tempat Mengundi akan membuat pengiraan kertas undi. Keputusan pengiraan undi akan dimasukkan dalam Borang 14. Semua Borang 14 ini akan dibawa kepada Pegawai Pengurus untuk dibuat Penjumlahan Rasmi Undi.

Pegawai Pengurus setelah menyemak Borang 14 dan jika didapati betul, akan mengumumkan kepada orang ramai satu persatu dan jika terdapat keraguan, akan menyemak semula dengan Borang 13 Penyata Kertas Undi. Apabila semua keputusan Borang 14 – Penyata pengundian Selepas Pengiraan Undi dan Borang 15 – Penyata Pengundian Selepas Pengiraan Kertas Undi Pos, diterima dan diumumkan, beliau akan menjumlahkan keseluruhan keputusan untuk menentukan pemenang

PENGUMUMAN KEPUTUSAN PILIHAN RAYA

Setelah selesai menjumlahkan Borang 14 dan 15, Pegawai Pengurus sesuatu kawasan pilihan raya akan mengisytiharkan calon yang mendapat undi majoriti dan mengesahkannya sebagai pemenang di kawasan  berkenaan.

Keputusan itu tidak boleh dipertikaikan. Mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan pilihan raya boleh mengemukakan petisyen di Mahkamah Pilihan Raya.

Sementara itu, calon-calon yang hendak menyertai PRU perlu membayar wang deposit  seperti berikut:-

Pilihan Raya Parlimen – RM10,000
Pilihan Raya DUN – RM5,000

Wang deposit perlu dibayar kepada Pegawai Pengurus atau Pengarah Pilihan Raya Negeri, selewat-lewatnya pada jam 10 pagi hari penamaan calon. Calon-calon akan hilang wang deposit jika gagal memperolehi 1/8 daripada jumlah undi yang diperolehi oleh semua calon yang bertanding dalam kawasan pilihan raya berkenaan.

Sudahkah Anda Menjadi Tangan Yang Memberi?

Jika belum jom sama-sama dengan Perkim Datuk Keramat membantu mereka yang dalam kesusahan seperti ibu tunggal, mereka yang menghidap penyakit kronik dan pelbagai lagi. Sesungguhnya sedikit sumbangan anda, memberi 1000 kemanisan untuk mereka

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top