RAMADHAN MAKIN HAMPIR, DAH GANTI PUASA KE BELUM?

RAMADHAN MAKIN HAMPIR DAH GANTI PUASA KE BELUM

RAMADHAN MAKIN HAMPIR

Kurang dari seminggu sahaja lagi bulan Syaaban bakal berakhir, manakala Ramadan pula bakal menjelma.

Ini menandakan umat Islam bakal menunaikan Rukun Islam yang ketiga iaitu melaksanakan ibadah puasa sebulan. Seperti biasa, umat Islam diwajibkan untuk menunaikan ibadah puasa ketika bulan Ramadan, yang mana ia adalah salah satu daripada rukun Islam.

Firman Allah SWT: 

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ كُتِبَ عَلَيْكُمُ ٱلصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ ١٨٣

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa,” 

Namun, seperti kebiasaannya, terdapat segelintir umat Islam yang mungkin masih lagi tidak mengganti atau mengqada puasa yang ditinggalkan pada tahun lalu disebabkan datang bulan, keuzuran atau sebab-sebab tertentu.

PUASA GANTI

Hukum qada’ atau ganti puasa wajib diselesaikan sebelum masuk bulan Ramadan seterusnya, bagi sesiapa yang meninggalkan puasa sama ada dengan sengaja atau sebab-sebab yang dibenarkan syarak iaitu:

1. Orang yang sakit.

2. Orang bermusafir yang dibenarkan syarak.

3. Orang tua yang lemah dan renta (tidak berdaya).

4. Wanita yang haid dan nifas.

5. Wanita hamil.

6. Wanita yang menyusukan anak.

ALLAH SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat ke-185: 

شَهْرُ رَمَضَانَ ٱلَّذِىٓ أُنزِلَ فِيهِ ٱلْقُرْءَانُ هُدًۭى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَـٰتٍۢ مِّنَ ٱلْهُدَىٰ وَٱلْفُرْقَانِ ۚ فَمَن شَهِدَ مِنكُمُ ٱلشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ ۖ وَمَن كَانَ مَرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍۢ فَعِدَّةٌۭ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ ۗ يُرِيدُ ٱللَّهُ بِكُمُ ٱلْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ ٱلْعُسْرَ وَلِتُكْمِلُوا۟ ٱلْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا۟ ٱللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَىٰكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ ١٨٥

Maksudnya: “Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa di antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa pada bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain.  Dengan ketetapan yang demikian itu) ALLAH menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan ALLAH kerana mendapat petunjuk-Nya, dan supaya kamu bersyukur,”

Diriwayatkan daripada Mu’adzah, dia berkata: Saya bertanya kepada Saidatina Aisyah RA: Mengapa wanita yang haid, mengqada’ puasa dan tidak mengqada’ solat?”

Maka Saidatina Aisyah RA menjawab: “Apakah kamu daripada golongan Haruriyah?” Aku menjawab: “Aku bukan Haruriyah, akan tetapi aku hanya bertanya,”

Saidatina Aisyah RA menjawab: “Kami dahulu juga mengalami haid, maka kami diperintahkan untuk mengqada’ puasa dan tidak diperintahkan untuk mengqada’ solat,” (HR Muslim)

HUKUM TIDAK MENGGANTIKAN PUASA

  • Hukum Meninggalkan Puasa Ganti

Haram dan berdosa besar bagi sesiapa yang melewat qada’ atau ganti puasa sehingga masuk bulan Ramadan berikutnya, sedangkan dia mampu untuk melaksanakannya.

Jika seseorang sempat menyelesaikan puasa ganti yang ada, sedangkan dia mampu untuk melaksanakannya sehingga masuk bulan Ramadan seterusnya, individu tersebut bukan sahaja wajib menggantikan puasa itu di hari lain, bahkan dia juga wajib membayar fidyah atau denda.

Ini berdasarkan hadis Saidatina Aisyah RA: “Pernah aku mempunyai hutang puasa Ramadan, aku tidak mampu mengqada’nya melainkan di bulan Syaaban. Kesibukan melayani Rasulullah SAW telah menghalang aku daripada mengqada’nya,” (HR Bukhari & Muslim) 

  • Cara Melaksanakan Puasa Ganti

Menurut jumhur ulama, kata Asma’ Harun, satu hari puasa yang ditinggalkan adalah wajib digantikan dengan satu hari yang lain sebelum masuk bulan Ramadan seterusnya.

“Contohnya, jika seseorang meninggalkan puasa di bulan Ramadan sebanyak 7 hari, maka dia wajib menggantikannya dengan jumlah yang sama iaitu berpuasa sebanyak 7 hari juga.

Walau bagaimanapun, bagi orang sakit yang tiada harapan sembuh serta orang tua yang lemah dan renta (tidak berdaya), tidak diwajibkan untuk qada’ (ganti) puasa melainkan dengan membayar fidyah.

MAKNA FIDYAH DAN KADARNYA

  • Makna Fidyah

Fidyah dari segi bahasa bermaksud gantian, manakala dari segi istilah adalah denda ke atas mukallaf (orang Islam) yang telah baligh (cukup umur) kerana meninggalkan puasa wajib atas sebab-sebab tertentu atau sengaja melewatkan puasa ganti (qada’) Ramadan.

Hukum melunaskannya adalah wajib mengikut bilangan hari yang ditinggalkan.

Hal ini adalah berdasarkan firman ALLAH SWT dalam surah al-Baqarah ayat ke-184: 

أَيَّامًۭا مَّعْدُودَٰتٍۢ ۚ فَمَن كَانَ مِنكُم مَّرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍۢ فَعِدَّةٌۭ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ ۚ وَعَلَى ٱلَّذِينَ يُطِيقُونَهُۥ فِدْيَةٌۭ طَعَامُ مِسْكِينٍۢ ۖ فَمَن تَطَوَّعَ خَيْرًۭا فَهُوَ خَيْرٌۭ لَّهُۥ ۚ وَأَن تَصُومُوا۟ خَيْرٌۭ لَّكُمْ ۖ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ ١٨٤

Maksudnya: “Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin.Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui,” 

  • Sebab-sebab Dikenakan Fidyah:

1. Orang yang sakit dan tiada harapan sembuh.

2. Orang tua yang lemah dan renta (tidak berdaya).

3. Wanita hamil yang risaukan kesihatan kandungannya sahaja.

4. Wanita yang menyusukan anak kerana risaukan anaknya sahaja.

5. Orang yang menunda-nunda untuk qada’ (ganti) puasa sehingga masuk Ramadan yang berikutnya.

6. Orang yang telah meninggal dunia dan tidak sempat untuk menggantikan puasa sedangkan semasa hidupnya, dia mampu melaksanakannya. Maka, waris perlu membayar fidyah mengikut bilangan hari yang ditinggalkan sebelum pembahagian harta dilakukan.

  • Kadar Fidyah

Menurut mazhab Syafie, kadar fidyah yang diwajibkan adalah satu hari puasa yang ditinggalkan perlu dibayar dengan secupak makanan asasi untuk diberikan kepada golongan fakir. Secupak bersamaan kira-kira 600 gram atau seraup atau 1 ⅓ kati Baghdad. 

Wajib bagi seseorang itu menggantikan puasa pada selepas daripada Ramadhan tahun tersebut sebelum menjelangnya Ramadhan tahun berikutnya. Jika tidak sempat melaksanakan wajib menggantikannya selepas Ramadhan tersebut namun, fidyah tetap dikenakan. Hal ini kerana ganti puasa yang dilakukan adalah lambat daripada tempoh yang sebenar.

GOLONGAN YANG TIDAK DIWAJIBKAN MENGGANTIKAN PUASA

Individu yang perlu membayar fidyah sahaja tanpa wajib mengqada puasa adalah bagi mereka yang tidak mampu menunaikan ibadah tersebut.

Mereka terdiri daripada:

1. Orang tua yang terlalu uzur dan lanjut usia. Jika dia berpuasa, berkemungkinan akan memudaratkan dirinya. Ahli keluarga disarankan untuk tidak memaksa warga emas itu untuk berpuasa.

2. Orang yang sakit dan tidak kelihatan akan segera sembuh atau tidak sembuh dan tidak ada harapan sembuh. Contoh orang yang sakit seperti kanser tahap 4.

3. Orang yang mengalami gastrik. Individu seperti ini perlu berjumpa doktor untuk memastikan sama ada tahap gastrik yang dialami itu tidak membolehkannya berpuasa. Biar pihak berwajib mengesahkan dia boleh puasa atau tidak.

4. Perempuan mengandung dan menyusukan anak kerana bimbang keselamatan anak dalam kandungan atau bayi yang disusukan. Sekiranya perempuan itu bimbang akan keselamatan dirinya, mereka hanya wajib qada puasa.

Justeru, jangan sesekali memandang ringan amalan qada dan membayar fidyah puasa ini kerana ia amat dituntut oleh Islam dan haram hukumnya bagi mereka meninggalkan amalan itu tanpa keuzuran.

Malah, ahli keluarga atau wali kepada si mati perlu mengqada puasa individu berkenaan jika dia cuai atau dengan sengaja meninggalkan puasa sedangkan dia mampu melakukan ibadah itu.

Turut disebut dalam sebuah hadis yang maksudnya: “Seorang lelaki menemui Nabi SAW dan bertanya: Wahai Rasulullah! Ibuku meninggal dunia dan dia masih mempunyai hutang puasa bulan Ramadhan. Bolehkah aku menunaikannya? Baginda menjawab: Ya, hutang Allah lebih patut ditunaikan,” (HR Bukhari) 

Ketika ini tidak sukar lagi untuk mengira bagaimana membayar fidyah atau denda menggantikan puasa kerana di laman-laman web pusat pungutan zakat turut disediakan kalkulator bagi memudahkan semua pihak membuat pengiraan dan seterusnya melunaskan hutang mereka. 

Wallahua’lam.

Ayuh kita tambahkan lagi saham akhirat dengan menyumbang pada golongan yang memerlukan seikhlas hati. Boleh klik pada butang bantu mereka di bawah. Terima Kasih.

Sudahkah Anda Menjadi Tangan Yang Memberi?

Jika belum jom sama-sama dengan Perkim Datuk Keramat membantu mereka yang dalam kesusahan seperti ibu tunggal, mereka yang menghidap penyakit kronik dan pelbagai lagi. Sesungguhnya sedikit sumbangan anda, memberi 1000 kemanisan untuk mereka

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top