SEDEKAH BAGI ORANG MISKIN

SEDEKAH BAGI ORANG MSIKIN

SEDEKAH AMALAN ORANG KAYA?

Pada artikel yang lepas telah membincangkan betapa besarnya ibadah bersedekah dari segi maknanya, kelebihan dan kisah yang boleh diambil pengajaran. Kesemuanya berkait dengan memberikan sesuatu yang berharag daripada harta yang dimiliki kepada orang yang memerlukan.

Timbul persoalan, bagaimana pula dengan keadaan orang yang pada lahirnya dalam keluarga yang miskin. Adakah bagi mereka tidak boleh menikmati nikmatnya bersedekah? Adakah bersedekah ini hanya pada golongan yang kaya sahaja?

Oleh itu, mari amati hadith Rasulullah SAW tentang sedekah bagi orang miskin

SEDEKAH BAGI ORANG MISKIN

Daripada Abu Zarr R.A. juga, (beliau meriwayatkan), maksudnya: “Bahawa sebahagian sahabat Rasulullah S.A.W berkata kepada Nabi S.A.W: Wahai Rasulullah! Orang-orang kaya telah mendapat banyak pahala. Mereka sembahyang sebagaimana kami sembahyang, mereka berpuasa sebagaimana kami berpuasa dan mereka bersedekah dengan lebihan harta mereka. Baginda bersabda: Bukankah Allah S.W.T telah menjadikan bagi kamu sesuatu yang kamu boleh bersedekah dengannya? Sesungguhnya dengan setiap kali tasbih itu adalah sedekah, setiap kali takbir itu adalah sedekah, setiap kali tahmid itu adalah sedekah, setiap kali tahlil itu adalah sedekah, menyuruh amar ma’aruf itu sedekah, menegah mungkar itu sedekah dan pada kemaluan seseorang kamupun adalah sedekah. Mereka bertanya: Ya Rasulullah! Adakah apabila salah seorang kami melepaskan syahwatnyapun dia beroleh pahala? Baginda bersabda: Bagaimana pandangan kamu kalau dia melepaskan syahwatnya pada tempat haram, adakah dia berdosa? Maka demikian jugalah apabila dia melepaskannya pada tempat yang halal, dia beroleh pahala.”
(Riwayat Muslim)

Sedekah merupakan ajaran Islam yang berdimensi sosial (keumatan). Dalam al-Quran  dan hadith bertebaran mengajak dan menganjurkan untuk bersedekah dan dibahaskan tentang keutamaannya. Allah SWT  telah menjanjikan balasan bagi yang menginfakkan hartanya minimal 700 kali lipat.

Maka dari itu, tidak hairan apabila banyak orang kaya pada zaman Nabi SAW  yang bersedekah sebagian besar atau hampir seluruh hartanya, seperti Abu Bakar As-Siddiq RA. Lalu, bagaimana dengan orang-orang yang susah untuk mennyelesaikan keperluan hariannya yang tidak tentu keadaan tiap harinya?

Syeikh Soleh bin Abdul Aziz menulis dalam kitabnya Syarhul Arba’in An-Nawawiyah, bahwa sedekah bermakna, “Menyampaikan kebaikan dan kemanfaatan bagi orang lain”. Hemat beliau, sedekah bukanlah sebatas pemberian harta atau material kepada orang lain. Dalam hadith ini pun, Nabi SAW menjelaskan kepada kita betapa luasnya makna  sedekah.

Salah satunya ialah dengan bertasbih (subahanallah), tahmid (alhamdulillah), tahlil (laa-ilaha illa Allah) dan zikir lainnya. Dengan menyebutnya kita akan mendapatkan pahala dan ampunan dosa meski sebanyak buih di lautan (HR Ahmad, Darimi, Maliki). Itulah salah satu implementasi dari ayat “Menyampaikan kebaikan dan manfaat”, yang tertuju pada diri sendiri.

Allah SWT pun bersedekah kepada hamba-Nya. Ketika itu Rasulullah ditanya oleh sahabat tentang mempersingkat solat dalam perjalanan, beliau pun menjawab “Itu (Qasr solat) sedekah Allah kepada kalian, maka terimalah sedekah tersebut.” (HR Muslim) 

Imam Ibnu Daqiq Al-‘Iid dalam karyanya Syarhul Arba’in Hadisan An-Nawawiyah menjelaskan, sesungguhnya menghadirkan niat baik pada hal-hal yang dibolehkan, seperti makan, tidur, berniaga dan sebagainya  akan membuahkan ketaatan kepada Allah SWT. Maka perbuatan itupun bernilai sedekah  kepada diri sendiri.

Beralih dari hadith yang dipaparkan di atas, paling tidak ada dua intisari yang dapat kita serap:

Pertama, bentuk ibadah sosial yang variatif. Maksudnya, sedekah tidak hanya berwujud dengan wang ringgit (material), tapi juga seluruh amal (ucapan dan perbuatan) yang menunjukkan kepada kebaikan dan melarang dari keburukan. Begitu ditegaskan oleh Syeikh Hisyam Kamil dalam kitabnya,  Tuhfatul Kiram.

Kedua, ajaran bersedekah diperuntukkan bagi semua kalangan, bukan hanya orang berada dan kaya akan tetapi juga yang papa kedana. Sesungguhnya Rasulullah tidak memberatkan orang fakir untuk jadi orang kaya, tapi mengarahkan mereka kepada jalan yang sesuai dengan kemampuan masing-masing. Bersedekah sesuai dengan kemampuan yang dimiliki, baik harta, tenaga, waktu, ilmu, pengalaman dan lainnya. 

Hadith di atas mengajarkan kita bahawa bagaimanapun keadaan kita, tetap harus bersedekah. Rasulullah SAW  menyuruh orang-orang kaya dengan keluasan rezekinya menghulurkan tangan untuk menolong mereka yang memerlukan. Lalu, Baginda SAW pun menyemangati kaum fakir dan miskin bersedekah dengan kalimah toyyibah dan amal kebaikan lainnya seperti menyingkirkan duri dari jalan. Maka Itulah sedekahnya orang-orang miskin.

BAGAIMANA JIKA ORANG MISKIN INGIN SEDEKAH JUGA?

Umat Islam tidak kira kaya atau miskin digalakkan bersedekah mengikut kemampuannya. Bagaimanapun, orang miskin yang bermurah hati tetap hendak bersedekah, bersedekahlah ala kadar, asalkan tidak menyusahkan diri sendiri dan orang yang menjadi tanggungannya. Selepas itu, kalau ada yang berlebih daripada yang diperlukannya, barulah boleh disedekahkan sebahagian daripadanya kepada orang lain.

Hadith daripada Jabir bin Abdullah RA, katanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila seseorang daripada kamu dalam keadaan miskin (dan dia hendak bersedekah), maka hendaklah dia terlebih dahulu mengutamakan keperluan dirinya sendiri. Kalau ada yang berlebih, hendaklah disedekahkan kepada anak isteri dan orang yang ditanggung nafkahnya. Kalau ada juga yang berlebih, hendaklah disedekahkan kepada kerabatnya (atau kepada orang yang ada pertalian kerabat dengannya). Kalau ada juga yang berlebih, maka hendaklah disedekahkan kepada orang lain yang memerlukan bantuan, yang ada di sana sini.” (HR Ahmad)

SEDEKAH TIDAK MENJADIKAN SESEORANG MISKIN

Jelas diatas bahawa amalan bersedekah merupakan amal bagi semua orang tanpa mengira pangkat, keturunan dan kekayaan. Sedang orang miskin yang tidak punya harta pun boleh bersedekah inikan pula kita yang serba berkemampuan. Janganlah pernah berkira dengan harta yang dimiliki. Jika kita sering melihat yang diatas, kita akan selalu untuk bersyukur. Secara tidak sedar, kita telah menanamkan suatu dogma bahawa sedekah boleh menyebabkan kemiskinan atau takut untuk miskin. Allah SWT tidak pernah menyuruh hambanya untuk mengejar kekayaan, tetapi berilah manfaat dengan dengan kelebihan dan kemampuan yang dimiliki.

Sesusah manapun kita lihatlah yang lebih bawah daripada kita, sudah tentu kita akan menjadi manusia yang bersyukur. Terlalu banyak nikmat yang Allah kurniakan buat hambanya sehingga kita terlupa untuk mengucapkan syukur. Dengan melihat yang dibawah juga, tanpa disedari kesusahan yang kita lalui tidak begitu memberi impak berbanding mereka yang memerlukan pertolongan di luar sana.

Rasulullah SAW mendidik umatnya agar tidak kedekut dengan harta dunia. Bahkan Baginda amat yakin bahawa tidak akan berkurang harta orang yang bersedekah. Sabda Rasulullah S.A.W:

مَا نَقَصَتْ صَدَقَةٌ مِنْ مَالٍ، وَمَا زَادَ اللَّهُ عَبْدًا بِعَفْوٍ إِلَّا عِزًّا، وَمَا تَوَاضَعَ أَحَدٌ للَّهِ إِلَّا رَفَعَهُ اللَّهُ

Maksudnya“Tidaklah sedekah itu mengurangkan harta seseorang dan Allah akan menambahkan kemuliaan bagi orang yang memberi kemaafan. Begitu juga Allah akan mengangkat kedudukan seorang yang bersifat tawaduk.” (HR Muslim)

Malah Rasulullah SAW mendidik Saidatina Aisyah bahawa harta yang kita sumbangkan akan kekal sebagai amalan. Perkara ini difahami melalui dialog Rasulullah SAW bersama isterinya itu.

Aisyah menceritakan kepada Rasulullah SAW bahawa para sahabat telah menyembelih kambing untuk sumbangan. Lalu Rasulullah SAW bertanya kepada Aisyah:

مَا بَقِيَ مِنها؟ قالت: مَا بَقِيَ مِنها إِلَّا كَتِفُهَا، قَالَ: بَقِي كُلُّهَا غَيرَ كَتِفِهَا

Maksudnya“Apakah masih berbaki kambing tadi wahai Aisyah? Aisyah menjawab: Tiada yang tinggal melainkan bahagian bahu sahaja. Lalu Rasulullah membetulkan kenyataan Aisyah: (bukan begitu Wahai Aisyah) kekal semuanya yang telah disumbangkan tadi (sebagai amalan) melainkan bahagian bahunya sahaja (yang tertinggal bukan sebagai amalan).“ (HR al-Tirmizi)

Perhatikan bagaimana Rasulullah SAW mendidik Aisyah agar faham bahawa bahagian yang kita sumbangkan akan kekal sebagai pahala di sisi Allah. Firman Allah SWT dalam surah al-Muzammil ayat ke-20:

وَمَا تُقَدِّمُوا لِأَنْفُسِكُمْ مِنْ خَيْرٍ تَجِدُوهُ عِنْدَ اللَّهِ هُوَ خَيْرًا وَأَعْظَمَ أَجْرًا

Maksudnya“Dan (ingatlah), apa jua kebaikan yang kamu kerjakan sebagai bekalan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasannya pada sisi Allah.”

Jelas disini bahawa sedekah tidak akan membuatkan kita menjadi miskin bahkan Allah SWT telah menjadikan begitu banyak kebaikan dan manfaat bagi orang yang bersedekah. Ayuh sama-sama manfaatkan harta dan tenaga yang ada untuk sedekah dan disumbangkan kepada yang memerlukan.

Wallhua’lam.

Sudahkah Anda Menjadi Tangan Yang Memberi?

Jika belum jom sama-sama dengan Perkim Datuk Keramat membantu mereka yang dalam kesusahan seperti ibu tunggal, mereka yang menghidap penyakit kronik dan pelbagai lagi. Sesungguhnya sedikit sumbangan anda, memberi 1000 kemanisan untuk mereka

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top