SEPARUH RAMADHAN TELAH BERLALU, ADAKAH SUDAH CUKUP AMALAN?

separuh ramadhan telah berlalu

SEPARUH RAMADHAN TELAH BERLALU?

Separuh daripada Ramadhan telah berlalu, adakah kita benar-benar memanfaatkan setiap waktu keemasan ini dengan beribadah. Adakah kita telah mentarbiahkan diri kita agar melazimi diri dengan amal kebaikan? Sesungguhnya Allah telah menciptakan manusia dalam keadaan lemah dan mereka tidak terlepas daripada melakukan dosa.

Sabda Baginda Rasulullah yang bermaksud: “Semua anak Adam itu melakukan kesilapan, dan sebaik-baik orang yang melakukan kesilapan itu adalah mereka yang bertaubat.” (HR Ibn Majah)

Bulan Ramadan merupakan bulan untuk kita berdoa dan meminta keampunan Allah. Tatkala Allah membuka seluas-luasnya pintu syurga dan menutup serapat-rapatnya pintu neraka serta dibuka pintu kerahmatan maka pada waktu inilah kita memohon keampunan Allah dengan kita berdoa: 

DOA MEMOHON AMPUN

Maksudnya: “Wahai Tuhan yang Maha Pengampun dan Maha Mulia dan Engkau menyukai untuk memberikan keampunan, maka ampunilah daku Ya Allah.”

Bulan Ramadan merupakan bulan yang terbaik bagi seorang hamba yang mahu melipat gandakan amalan soleh kerana pada Bulan Ramadan terdapat beberapa faktor yang menyebabkan seseorang itu dapat mendidik jiwanya untuk melakukan kebaikan.

Tetapi di sana terdapat mereka yang cukup rugi apabila masuk dalam bulan Ramadan dan apabila dosa mereka tidak diampunkan Allah.

GOLONGAN YANG RUGI DALAM BULAN RAMADHAN

Dalam sebuah hadis: Ketika Nabi menaiki mimbar, Baginda bersabda yang bermaksud: “Amin, Amin, Amin (sebanyak 3 kali)”. Baginda ditanya: “Wahai Rasulullah, apabila engkau menaiki mimbar, engkau telah berkata amin, amin, amin”. Maka Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya Jibril telah datang kepadaku, lalu dia (Jibril) berkata: Barang siapa yang bertemu dengan bulan Ramadhan tetapi tidak diampunkan baginya maka dia akan dimasukkan ke dalam neraka serta dijauhkan (daripada rahmat) oleh Allah. Katakanlah (wahai Muhammad): Amin. Maka aku katakan: Amin”. (HR Ibn Hibban)

Hadis ini menunjukkan betapa ruginya mereka yang apabila telah sampai dalam bulan keampunan tetapi tidak mendapat keampunan dari Allah. Siapakah mereka sehingga Allah tidak mahu mengampunkan dosa-dosa mereka? Maka kata para alim ulama mereka ialah:

  1. Orang yang sombong dan tidak menghormati bulan mulia

Membesar dan mengagungkan syiar Islam merupakan salah satu sifat ketakwaan bagi orang mukmin. Firman Allah di dalam Surah Al-Hajj ayat 32:

ذَٰلِكَ وَمَن يُعَظِّمْ شَعَـٰٓئِرَ ٱللَّهِ فَإِنَّهَا مِن تَقْوَى ٱلْقُلُوبِ ٣٢

Maksudnya: “Demikianlah (ajaran Allah); dan sesiapa yang menghormati Syiar-syiar agama Allah maka (dialah orang yang bertakwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan dari sifat-sifat takwa hati orang mukmin.”

Bulan Ramadan merupakan salah satu lambang syiar Islam. Oleh kerana itu, Allah memfardukan pada bulan Ramadan supaya kita berpuasa di siang hari. Ini bertujuan untuk mendapatkan ketakwaan kepada Allah.

Malang sekali ada dalam kalangan kita yang tidak menghormati bulan yang penuh dengan kemuliaan seperti membuka puasa tanpa keuzuran, tidak berpuasa kerana mengingkari kewajiban ibadah puasa Ramadan atau tidak berpuasa kerana alasan-alasan yang didasari nafsu.

  1. Orang yang tidak mengerjakan solat sedangkan berpuasa

Apa guna seseorang itu berpuasa tetapi tidak mengerjakan ibadah solat sedangkan solat itu tiang agama. Solat merupakan hubungan hamba dengan Yang Maha Pencipta dan apabila seseorang itu tidak melakukan ibadah solat maka terputuslah hubungannya dengan Yang Maha Esa.

Allah menegaskan kepada mereka yang lalai dalam mengerjakan ibadah solat dengan perkataan celaka. Firman Allah di dalam Surah Al-Maa’uun ayat ke 4-6:

فَوَيْلٌۭ لِّلْمُصَلِّينَ ٤ٱلَّذِينَ هُمْ عَن صَلَاتِهِمْ سَاهُونَ ٥ٱلَّذِينَ هُمْ يُرَآءُونَ ٦

Maksudnya: “(Kalau orang yang demikian dikira dari bilangan orang-orang yang mendustakan agama), maka kecelakaan besar bagi orang-orang Ahli Sembahyang. (laitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya; (Juga bagi) orang-orang yang berkeadaan riyak (bangga diri dalam ibadat dan bawaannya).”

  1. Melakukan maksiat kepada Allah

Bulan Ramadan merupakan bulan untuk memperbaiki diri supaya mentaati segala perintah Allah. Orang yang melakukan maksiat pada Bulan Ramadan maka mereka ini akan mendapat siksaan yang berlipat kali ganda. Syaikh Taqiyuddin mengatakan, maksiat yang dilakukan di waktu atau tempat yang mulia, dosa dan hukumnya dilipatkan, sesuai tingkatan kemuliaan waktu dan tempat tersebut. (al-Adab as-Syar’iyah, 3/430).

Seharusnya seseorang itu memanfaatkan Bulan Ramadan sebagai bulan untuk melipat gandakan amalan agar diredai Allah. Ada dalam kalangan mereka yang menghabiskan malam dengan melakukan perkara maksiat seperti berjudi, berkhalwat dengan wanita yang bukan ajnabi atau melanggar segala perintah Allah maka mereka ini tidak akan mendapat keampunan Ilahi melainkan kembali kepadaNya.

Sabda Baginda Rasulullah yang bermaksud: Pada malam pertama bulan Ramadan syaitan-syaitan dan jin-jin yang jahat dibelenggu, pintu-pintu neraka ditutup, tidak ada satu pintu yang terbuka dan pintu-pintu syurga dibuka, tidak ada satu pun pintu yang tertutup, serta seorang penyeru menyeru, wahai yang mengharapkan kebaikan bersegeralah (kepada ketaatan), wahai yang mengharapkan keburukan/maksiat berhentilah, Allah memiliki hamba-hamba yang selamat dari api neraka pada setiap malam di bulan Ramadan. (HR Tirmizi)

Oleh yang demikian, rebutlah peluang yang berbaki ini di 15 malam terakhir agar kita tidak tergolong dalam golongan orang yang rugi dan golongan yang tidak dilepaskan dari azab api neraka serta tidak mendapat keampunan Allah.

Semoga Ramadan ini menjadi Ramadan yang terbaik dalam kehidupan kita dengan kita patuh segala perintah Allah.

BULAN RAMADHAN BULAN TARBIYAH

Setelah dinyatakan golongan orang yang rugi diatas, adakah kita tergolong dalam golongan tersebut? Jika ya, cepat-cepatlah bertaubat dan perbanyakkan sujud. Jika tidak, ucapkanlah Alhamdulillah. Tidak ada upaya kita sebagai hamba melainkan dengan izinNya. Jika bulan sebelumnya kita tidak mampu untuk solat diawal waktu, perbanyakkan membaca al-Quran, banyak bersedekah, menjaga pemakanan, tetapi di bulan Ramadhan kita mampu menjaganya, itulah bukti bahawa kita sebenarnya mampu untuk berubah.

Sekalipun amal kita tidak sebanyak daripada orang lain, ketahuilah manusia yang terbaik adalah manusia yang memperbaiki dirinya daripada hari sebelumnya. Ingatlah, bahawa amal manusia itu dinilai pada pengakhirannya. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya amalan itu dilihat pada pengakhirannya” (HR Bukhari)

Daripada hadith menunjukkan pada kita bahawa rugi jika amal kebaikan yang berjaya kita lakukan dalam bulan Ramadhan tetapi ditinggalkan pada bulan yang selepasnya. Kadang-kadang kita merasakan diri kita tidak boleh diubah lagi kerana terlalu banyaknya dosa yang dilakukan namun ketahuilah pintu taubat Allah SWT sentiasa terbuka. Biarpun sedikit amalan yang kita lakukan dalam bulan Ramadhan, kekalkanlah ia pada bulan yang seterusnya. Itulah yang dinamakan sebagai bulan tarbiyah dalam bulan Ramadhan.

Wallahualam.

Jika anda ingin menyalurkan sumbangan boleh klik pada butang “Bantu Mereka” dibawah dan salurkan sumbangan. Terima kasih. Semoga kita semua tergolongan dalam golongan orang masuk pintu syurga melalui pintu sedekah. Amiin.

Sudahkah Anda Menjadi Tangan Yang Memberi?

Jika belum jom sama-sama dengan Perkim Datuk Keramat membantu mereka yang dalam kesusahan seperti ibu tunggal, mereka yang menghidap penyakit kronik dan pelbagai lagi. Sesungguhnya sedikit sumbangan anda, memberi 1000 kemanisan untuk mereka

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top